Topik diikuti
Pergi ke BHkuJosephine Teo: Inovasi AI harus diukur berdasar kesan kepada rakyat
Josephine Teo: Inovasi AI harus diukur berdasar kesan kepada rakyat
Ukuran sebenar inovasi kecerdasan buatan (AI) bukanlah berapa hebat model-modelnya, tetapi sama ada teknologi itu mempertingkat kehidupan orang ramai, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 22 September.
Beliau menggariskan pendekatan Singapura terhadap pembangunan dan penerimaan AI pada satu platform Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Cik Teo berkata negara ini memberi tumpuan kepada bagaimana AI dapat memberi perbezaan kepada rakyatnya, termasuk dengan menggunakan teknologi itu di seluruh perkhidmatan awam bagi membantu pegawai awam bekerja dengan lebih berkesan dan meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat.
Hampir 70 peratus pegawai awam kini kerap menggunakan alat AI untuk tugas seperti menganalisis maklumat dan menyediakan draf.
Pemerintah Singapura turut meneroka penggunaan ejen AI untuk mereka bentuk semula keseluruhan aliran kerja, sambil terus memastikan pegawai awam bertanggungjawab terhadap keputusan penting, katanya pada segmen utama Digital@UNGA, yang memaparkan bagaimana pemerintah dan industri melaksanakan AI secara inovatif.
AI turut digunakan untuk menyalurkan maklum balas orang ramai kepada agensi berkaitan dengan lebih pantas, serta mengenal pasti anomali dalam berjuta-juta penghantaran kargo di sempadan Singapura, serta mengesan tanda-tanda penipuan pancingan data (phishing) dan penyamaran.
Namun, untuk rakyat terus bergantung pada AI seiring penggunaannya yang semakin luas, mereka perlu mempercayai teknologi itu, kata Cik Teo.
AI berpotensi meningkatkan ancaman sedia ada, seperti menjadikan penipuan lebih meyakinkan dan diperibadikan, serta serangan siber lebih mudah dilaksanakan.
Meletakkan langkah perlindungan untuk menguruskan risiko-risiko ini oleh itu akan membolehkan AI diterima dengan lebih yakin, tambahnya.
“Dari sudut pandangan ini, kepercayaan tidak menyekat inovasi. Malah, kepercayaan membolehkan inovasi berkembang,” kata Cik Teo.
Beliau sedang menjalani lawatan kerja di Amerika Syarikat dari 21 hingga 24 September, dengan beliau akan menyertai beberapa acara yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung PBB, serta berinteraksi dengan pemimpin dalam industri dan akademia di New York dan Boston.
Selain meningkatkan perkhidmatan pemerintah dan melaksanakan langkah perlindungan, keutamaan ketiga adalah memperluas penyertaan dalam AI, supaya lebih banyak negara dan masyarakat dapat memanfaatkan teknologi itu, ujar Cik Teo.
Asia Tenggara, sebagai contoh, mempunyai kepelbagaian dari segi bahasa dan budaya, tetapi kebanyakan model AI mempunyai pemahaman lebih lemah mengenai bahasa, loghat dan konteks budaya rantau ini.
Singapura telah berusaha menangani perkara itu menerusi pembangunan SEA-LION, satu model AI yang direka bentuk berdasarkan bahasa dan budaya Asia Tenggara, termasuk pertuturan berbilang bahasa dan penukaran kod yang lazim digunakan di rantau ini.
Institut penyelidikan AI Singapura turut bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk Yayasan Gates, Google dan Program Pembangunan PBB pada Projek ATLAS, yang bermatlamat membina set data sedia-AI untuk bahasa-bahasa yang kurang diwakili di seluruh dunia.
Cik Teo berkata negara-negara tidak semestinya perlu membangunkan model AI perintis sendiri, yang memerlukan sumber pengkomputeran dan modal yang besar.
Sebaliknya, mereka harus disokong untuk menyesuaikan teknologi AI sedia ada mengikut bahasa, budaya dan keperluan masing-masing.