Topik diikuti
Pergi ke BHkuJosephine: Usaha jalankan misi AI bermula dengan sektor penerbangan
Josephine: Usaha jalankan misi AI bermula dengan sektor penerbangan
Josephine: Usaha jalankan misi AI bermula dengan sektor penerbangan
Membantu penumpang bergerak dari satu pintu ke pintu lain sejauh beberapa kilometer, menghantar bagasi merentasi pelbagai terminal, serta menyusun urutan pendaratan dan pelepasan pesawat di landasan merupakan antara tugas yang boleh diurus oleh alat kecerdasan buatan (AI).
Usaha dalam aspek ini penting sejajar dengan langkah Singapura menggandakan keupayaan trafik udaranya dalam tempoh sedekad akan datang.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata penyelesaian kepada cabaran itu akan meletakkan Singapura pada kedudukan baik di pentas dunia.
Beliau berkata demikian ketika menggariskan empat misi utama AI negara.
“Misi AI negara akan dipacu oleh penyataan masalah yang berbaloi untuk diselesaikan, bukan sahaja untuk Singapura bahkan juga untuk seluruh dunia.
“Misi ini disasarkan menjadi perintis bagi penerapan AI secara mendalam yang mampu mengubah landskap sektor masing-masing. Usaha sudah pun bermula dalam sektor penerbangan,” kata Cik Teo.
“Cabaran ketersambungan kita jelas menunjukkan bagaimana Singapura boleh menjadi ‘makmal hidup’ untuk dunia.”
Beliau berkata demikian pada 20 Mei di Sidang Kemuncak Asia Tech x, di hotel Capella Singapore, Sentosa, anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
“Kita akan memerlukan sistem pengurusan trafik udara generasi seterusnya yang mengutamakan keselamatan dan bukan sekadar jumlah trafik.
“Ini hanyalah salah satu daripada pelbagai peluang menarik di Terminal 5 (T5) yang boleh dibantu oleh AI,” ujar Cik Teo.
T5 Lapangan Terbang Changi, yang sedang dibina, dijadualkan mula beroperasi menjelang pertengahan 2030-an.
Terminal baru itu akan membolehkan Lapangan Terbang Changi mengendalikan lebih 140 juta penumpang setahun dalam tempoh sedekad akan datang – iaitu 55 peratus lebih tinggi berbanding keupayaannya sebanyak 90 juta pada 2025.
Pelabuhan Tuas, yang bakal menjadi terminal kontena automatik terbesar di dunia, juga mempunyai data luas daripada operasi rumit yang berguna untuk membangunkan penyelesaian baru, jelas Cik Teo.
Pelabuhan Tuas sedang dibangunkan dalam empat fasa dan akan siap sepenuhnya pada 2040-an.
Apabila fasa pertama pembangunan itu siap pada 2027, ia akan mempunyai 21 dermaga yang mampu mengendalikan 20 juta kontena perkapalan.
Semasa ia mula dibuka pada September 2022, pelabuhan tersebut hanya mempunyai tiga dermaga yang sedang beroperasi.
Empat misi utama AI Singapura, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2026, merangkumi sektor perkilangan maju, perkhidmatan kewangan, ketersambungan dan penjagaan kesihatan.
Secara keseluruhan, sektor ini menyumbang 40 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura pada 2025.
Dalam sektor perkilangan maju pula, Cik Teo berkata perkembangan dalam bidang AI bersepadu fizikal (embodied AI) dan robotik bakal membawa kesan ketara dan meluas.
‘Embodied AI’ merujuk kepada AI yang boleh mentafsir, bergerak, dan berinteraksi dengan dunia nyata melalui sistem fizikal seperti robot, kenderaan, atau peranti pintar.
“AI fizikal boleh membantu dalam simulasi untuk mereka bentuk semula proses.
“Kembar digital yang lebih baik pula dapat meningkatkan penyelenggaraan jangkaan, mengurangkan pembaziran bahan, serta mengelakkan masa henti pengeluaran,” kata Cik Teo.
Kembar digital atau digital twin ialah replika maya bagi sesuatu objek, sistem, atau proses fizikal yang wujud di dunia nyata, yang dikuasai oleh data.
Rancangan itu digariskan dalam versi terkini Strategi AI Kebangsaan 2.0 (NAIS 2.0) yang diterbitkan pada 20 Mei.
Pelan induk AI kebangsaan Singapura itu kali terakhir dikemas kini pada Disember 2023, selepas pelancarannya pada 2019.
