Malaysia menerima ketibaan Presiden China, Encik Xi Jinping, bermula 15 April, mengukuhkan lagi jalinan persahabatan yang disifatkan era keemasan antara kededua negara itu sejak 50 tahun lalu.
Encik Xi, yang tiba di Malaysia dari Vietnam sempena siri jelajahnya ke tiga negara di Asia Tenggara, diberi sambutan negara dengan kawalan keselamatan ketat sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada hari kedua sempena lawatan tiga harinya ke Malaysia pada 16 April, Encik Xi dan delegasi China turut mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia adalah kunjungan rasmi kedua Encik Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kededua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh.
Lawatan rasmi Encik Xi bukan saja mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh, malah menyerlahkan kedudukan penting Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dan penyelaras hubungan dialog Asean-China.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kepercayaan bahawa Malaysia dan China akan terus memperkasa kerjasama antara dua negara, walaupun wujud pelbagai jurang geopolitik di seluruh dunia.
Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, Malaysia menitikberatkan penyepaduan ekonomi yang lebih mendalam, pengukuhan kerjasama rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan ketersambungan, serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam pembabitan dengan semua rakan kongsi termasuk China.
“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan bermutu tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” kata Sultan Ibrahim ketika menerima kunjungan Encik Xi.
Encik Xi turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Datuk Anwar pada 5 petang 16 April di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya, untuk membincangkan kerjasama dua hala Malaysia-China dan isu serantau serta antarabangsa.
Presiden China itu dalam kenyataan bertulisnya sebaik tiba di KLIA yakin dengan usaha bersama China dan Malaysia, ia dapat memperdalam lagi persahabatan tradisional kededua negara.
Antara lain, ia dapat meningkatkan kepercayaan politik, memajukan kerjasama dalam pemodenan, menggalakkan pembelajaran bersama antara tamadun dan meningkatkan tahap baharu dalam membangunkan masyarakat China-Malaysia dan masa depan bersama.
“Saya yakin dengan usaha bersama, lawatan ini akan membawa hasil yang memberangsangkan.
“Kita bersama akan membuka lembaran baru dalam hubungan kejiranan yang baik dan kerjasama saling menguntungkan, serta memulakan satu lagi era ‘50 tahun keemasan’ dalam hubungan China-Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan China di Kuala Lumpur.
Malaysia dan China meraikan ulang tahun ke 50 pada 2024 sejak kededua negara menjalin hubungan diplomatik bermula 31 Mei 1974.
China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam tempoh 16 tahun sejak 2009.
Jumlah dagangan antara kededua negara bernilai RM484.12 bilion ($144.28 bilion) pada 2024, mewakili 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan sejagat Malaysia (RM2.88 trilion).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg