Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jualan rumah privet baru S’pura junam 86.6% pada Nov, susulan kekurangan projek baru yang besar

Menurut penganalisis, kemerosotan ini sebahagian besarnya ekoran tiada pelancaran projek baru yang besar
Dec 15, 2025 | 4:26 PM
jualan rumah privet, URA, hartanah
Dilancarkan pada November, The Sen, yang terletak di Jalan Jurong Kechil di Upper Bukit Timah, adalah projek baru terakhir yang memasuki pasaran pada 2025. - Foto fail

Pemaju di Singapura menjual sebanyak 325 rumah baru, tidak termasuk kondominium eksekutif (EC), pada November, berikutan penurunan jualan berbanding lonjakan luar biasa yang dicatatkan pada Oktober.

Data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 15 Disember menunjukkan, jualan rumah baru merosot sebanyak 86.6 peratus bulan ke bulan, daripada 2,424 unit pada Oktober. Jumlah bagi Oktober adalah tertinggi yang dijual dalam sebulan bagi sepanjang 2025, lapor The Business Times (BT). 

Jumlah bagi November itu juga sekitar 87.3 peratus lebih rendah berbanding 2,560 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2024.

Penganalisis berpendapat, kemerosotan jualan ini sebahagian besarnya disebabkan ketiadaan pelancaran projek baru yang besar.

Hanya 347 unit dilancarkan untuk dijual pada November 2025, merosot sebanyak 84.5 peratus berbanding Oktober, dan sebanyak 87.9 peratus berbanding November 2024, apabila lima projek besar dilancarkan. 

Satu-satunya projek baru yang dilancarkan pada November ialah The Sen.

Mengikut segmen pasaran, Baki Kawasan Tengah (Rest of Central Region) mendahului jualan kondominium dan apartmen privet, menyumbang 66.2 peratus daripada jumlah jualan. 

Ini diikuti oleh Kawasan Luar Tengah (Outside Central Region) dengan 24.6 peratus, manakala Kawasan Tengah Utama (Core Central Region) menyumbang sebanyak 9.2 peratus daripada jualan baru pada November.

Encik Mohan Sandrasegeran, ketua penyelidikan dan analitik data di Singapore Realtors Inc, memaklumkan bahawa kira-kira 10,624 unit, tidak termasuk EC, telah dijual dalam 11 bulan pertama 2025. Angka ini melebihi 6,469 unit yang dicatatkan sepanjang 2024, meletakkan 2025 jauh di hadapan berbanding tiga tahun kebelakangan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Huttons Asia, Encik Mark Yip, berkata rakyat Singapura membentuk sebanyak 84.4 peratus daripada pembeli pada November, manakala penduduk tetap menyumbang 12.8 peratus.

Kadar jualan dalam julat harga antara $2.5 juta dengan kurang daripada $5 juta kekal menjadi bahagian terbesar untuk bulan keempat berturut-turut. 

Rakyat Singapura menyumbang lebih 80 peratus daripada pembeli dalam julat harga ini, mencerminkan tahap kekayaan yang tinggi dalam kalangan isi rumah, tambah beliau.

Jika termasuk EC, 346 unit telah dijual pada November, dengan 347 unit dilancarkan, berbanding 2,894 unit yang dijual dan 3,375 unit dilancarkan pada bulan yang sama pada 2024. Sebagai perbandingan, 2,446 unit dijual dan 2,233 unit dilancarkan pada Oktober 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg