Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenaikan harga flat jual semula HDB suku ketiga terendah dalam 5 tahun

Pasaran rumah sewa HDB pula kekal stabil secara keseluruhan
Oct 24, 2025 | 3:54 PM
Indeks harga hartanah Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) naik 0.9 peratus pada suku ketiga, sedikit rendah daripada kenaikan 1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.
Indeks harga hartanah Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) naik 0.9 peratus pada suku ketiga, sedikit rendah daripada kenaikan 1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua. - Foto fail ST

Harga flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mencatat peningkatan suku tahunan paling perlahan dalam tempoh hampir lima tahun pada suku ketiga 2025, sejajar dengan pasaran yang terus perlahan.

Menurut Indeks Harga Flat Jualan Semula (RPI), harga meningkat sebanyak 0.4 peratus dari Julai hingga September, berbanding 0.9 peratus pada suku kedua dan 1.6 peratus pada suku pertama 2025.

Ini merupakan suku keempat berturut-turut yang menunjukkan pertumbuhan sederhana, dengan peningkatan terkini merupakan yang paling rendah sejak suku kedua 2020, kata HDB dalam satu kenyataan pada 24 Oktober.

Aktiviti jualan semula meningkat 1.7 peratus dengan 7,221 urus niaga dari Julai hingga September, berbanding 7,102 urus niaga pada suku sebelumnya. 

Namun, berbanding tempoh sama pada 2024, jumlah jualan semula turun 11.3 peratus, jelas HDB.

Pasaran perumahan sewa kekal stabil secara keseluruhan pada suku ketiga.

Bilangan permohonan yang diluluskan untuk menyewa flat HDB meningkat 0.6 peratus kepada 10,123 kes pada suku ketiga, berbanding 10,066 kes pada suku kedua.

Secara tahun ke tahun, kadar permohonan sewa yang diluluskan meningkat 11 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.

Setakat akhir September, sebanyak 59,001 flat HDB telah disewakan, meningkat 0.5 peratus berbanding 58,720 unit yang disewakan pada suku sebelumnya.

Pasaran privet pula mencatat pertumbuhan harga lebih pantas dengan jumlah jualan turut meningkat, lapor The Straits Times (ST).

Indeks harga hartanah Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) naik 0.9 peratus pada suku ketiga, sedikit rendah daripada kenaikan 1 peratus pada suku kedua.

Harga hartanah berhalaman meningkat 1.4 peratus, manakala harga hartanah bukan berhalaman meningkat 0.8 peratus.

Berdasarkan subpasaran, harga rumah bukan berhalaman di semua kawasan menunjukkan peningkatan – termasuk kenaikan 1.7 peratus di kawasan tengah utama (CCR), 0.3 peratus di baki kawasan tengah (RCR), dan 0.8 peratus di luar kawasan tengah (OCR).

Harga sewa secara keseluruhan, meningkat 1.2 peratus pada suku ketiga, berbanding kenaikan 0.8 peratus pada suku kedua.

Jumlah jualan meningkat dengan ketara apabila pemaju mempergiat pelancaran kediaman privet kepada 4,191 unit, tidak termasuk kondominium eksekutif. 

Dari Julai hingga September, pemaju berjaya menjual 3,288 unit, peningkatan ketara berbanding 1,212 unit yang dijual dari April hingga Jun. 

URA turut mencatat sebanyak 3,881 urus niaga jualan semula privet dan 235 urus niaga subpenjualan dari Julai hingga September.

Urus niaga jualan semula menyumbang 52.4 peratus daripada semua urus niaga pada suku ketiga, berbanding 71.1 peratus pada suku kedua, menurut URA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg