Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara silat cilik atur langkah imbangi masa antara pelajaran, sukan demi PSLE

Dec 1, 2025 | 4:14 PM
 Cik Nur Aini Rasul ,  Encik Mohd Andishahril Malek,  Muhammad Adiel
Sokongan kuat daripada ibunya, Cik Nur Aini Rasul (tengah), dan bapa, Encik Mohd Andishahril Malek (kanan) menjadi pembakar semangat bagi Muhammad Adiel, mengatur langkah memberikan yang terbaik dalam pelajaran dan penyertaannya dalam silat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Mengimbangi tuntutan pelajaran dan kegiatan silat menjadi amanah besar buat Muhammad Adiel Mohd Andishahril.

Pada usia 12 tahun, dia tidak seperti rakan sebayanya yang menuntut di Darjah 6, kerana sudah rasakan debaran bertanding dalam sukan silat di peringkat antarabangsa.

Justeru, menyertai latihan intensif di samping bersiap sedia bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) bukan tugas mudah.

Namun, bagi murid Sekolah Rendah Naval Base di  Yishun Avenue 4 itu, kedua-duanya adalah amanah yang dilaksanakan dengan penuh disiplin.

Dia gembira dan bersyukur lulus PSLE dan dapat melangkah ke fasa pendidikan selanjutnya.

Muhammad Adiel mula mencuri perhatian dalam dunia silat apabila muncul sebagai Juara Antarabangsa seawal usia 10 tahun.

Pada tahun yang sama (2023), dia dipilih menyertai pasukan kebangsaan dan mewakili Singapura dalam Kejohanan Silat Timur Tengah 2023 di Dubai.

Pencapaian itu merupakan satu pencapaian besar buat atlet cilik ini.

Sejak itu, dia terus mengasah teknik melalui pertandingan seperti Kejuaraan Terbuka Batam dan Rise of the Pendekar, mewakili kelab Grasio.

Bagaimanapun, pada 2025, Adiel menghentikan latihan sebentar untuk memberi tumpuan kepada PSLE, satu keputusan yang menunjukkan kematangannya dalam menentukan keutamaan dalam hidup.

“Cabaran paling besar ialah mengawal dan mengatur masa. Saya perlu seimbangkan latihan dan ulang kaji. Kadang-kadang, latihan dulu, baru belajar. Ada masanya, saya belajar dulu. Saya perlu rancang betul-betul,” jelasnya kepada Berita Harian (BH).

Sebagai atlet kebangsaan, Adiel perlu menjalani latihan empat kali seminggu, iaitu latihan peringkat nasional sebanyak tiga kali seminggu dan latihan kelab sekali seminggu.

Seisi keluarga Muhammad Adiel (kiri) yang mengenakan seragam silat Kelab Grasio, aktif dalam sukan silat. Mereka terdiri daripada ibunya, Cik Nur Aini Rasul; adiknya, Naura Aqeela Mohd Andishahril; bapanya, Encik Mohd Andishahril Malek; dan abangnya, Mohd Adyan Mohd Andishahril.
Seisi keluarga Muhammad Adiel (kiri) yang mengenakan seragam silat Kelab Grasio, aktif dalam sukan silat. Mereka terdiri daripada ibunya, Cik Nur Aini Rasul; adiknya, Naura Aqeela Mohd Andishahril; bapanya, Encik Mohd Andishahril Malek; dan abangnya, Mohd Adyan Mohd Andishahril. - Foto ihsan MUHAMMAD ADIEL MOHD ANDISHAHRIL

Menurut Adiel, sokongan sekolah amat penting dalam memastikan dia tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Guru-gurunya menyediakan nota, sesi konsultasi selepas sekolah serta akses kepada bahan pembelajaran dalam talian apabila latihan semakin intensif.

“Seorang guru kanan di sekolah saya selalu tanya tentang pertandingan saya. Kalau saya datang lambat, dia akan tanya sebab dia ambil berat tentang saya,” kata Adiel sambil tersenyum.

Bapanya, Encik Mohd Andishahril Malek, 47 tahun, merupakan seorang pengawal keselamatan, manakala ibunya, Cik Nur Aini Rasul, 41 tahun, ialah suri rumah.

Adiel bersyukur ibu bapanya memastikan segala keperluan asas akademik dan sukan sentiasa terjaga daripada pemakanan sihat, waktu rehat teratur hinggalah pemantauan berat badan sebelum pertandingan.

“Ibu masak makanan sihat. Kededua ibu dan ayah saya akan pantau berat bedan saya bagi memastikan saya tetap tergolong dalam ‘weight class’ atau berat badan yang diperlukan bagi bertanding secara adil dan selamat.

“Kalau berat badan saya terlebih, mereka akan minta saya lakukan latihan berjeda keamatan tinggi (Hiit). Kalau berat badan saya berkurangan dari sewajarnya, mereka akan minta saya makan telur,” jelasnya.

Hiit merupakan senaman dalam masa singkat yang disusuli dengan pemulihan dalam masa singkat bagi mengembalikan kadar denyutan jantung yang normal.

Ini termasuk kegiatan berbasikal dan berlari pecut.

Sementara itu, bagi mengukuhkan pemahaman dalam mata pelajaran tertentu, ibu bapa Adiel turut mendapatkan pembimbing persendirian.

“Tutor saya beri saya panduan dan ajar perihal yang saya kurang fahami,” kata anak kedua tiga beradik itu.

Walaupun jadualnya padat, Adiel tetap dikenali sebagai rakan sedarjah yang ceria, yakin dan tidak lokek membantu.

Nilai disiplin dan rendah hati yang dipupuk melalui silat membentuk perwatakan dan cara Adiel membawa diri di sekolah.

Motivasi terbesarnya datang daripada keluarganya termasuk datuk dan adik-beradiknya yang aktif bersilat.

“Saya nak banggakan mereka,” katanya ringkas.

Di ambang menyertai sekolah menengah, Adiel berhasrat untuk terus menajamkan teknik dan bercita-cita menjadi jurulatih suatu hari nanti.

“Cita-cita saya nak jadi jurulatih bola atau jurulatih silat. Saya nak ajar orang lain,” katanya yang sering membimbing adiknya yang bakal menyertai pasukan silat kebangsaan sepertinya.

Apakah pesan Adiel kepada pelajar yang ingin mengikuti jejak langkahnya tetapi bimbang tidak dapat mengimbangi antara tuntutan persekolahan dengan sukan?

“Kawal masa anda. Nak bersukan boleh tetapi pelajaran tetap ‘Nombor Satu’,” ujarnya.

Mengimbau kembali perjalanannya dalam Darjah 6, Adiel menyifatkan tahun PSLE sebagai sesuatu yang benar-benar bererti.

“Saya akan rindu kawan-kawan dan cikgu-cikgu saya. Tahun ini (2025) memang bermakna,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg