Kerumitan cara minda manusia berfikir sentiasa memikat sikap ingin tahu Nurul Izzah Azemi, yang berusia 12 tahun.
Ini memandangkan pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah itu bercita-cita menjadi seorang pakar psikiatri pada satu hari kelak.
“Saya sangat kagum dengan cara otak kita berfungsi… Minat saya terhadap minda manusia semakin mendalam dengan setiap pelajaran baru mengenainya,” kata Nurul Izzah, semasa bercakap dengan Berita Harian (BH).
Walau bagaimanapun, dia sedar dedikasi, kerja keras, dan pengorbanan diperlukan untuk mencapai impiannya.
Semangat itu, sekali gus, merupakan pembakar semangat yang memacu komitmen untuk meraih keputusan peperiksaan yang baik.
Kini, Nurul Izzah selangkah lebih dekat dalam mencapai impiannya selepas meraih keputusan Peringkat Pencapaian (AL) AL13 dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Nurul Izzah merupakan antara 332 pelajar madrasah yang menerima keputusan PSLE pada 25 November.
Mengulas keputusannya, dia berkata kededua subjek akademik dan ukhrawi, akan membantunya dalam berkhidmat dengan cemerlang sebagai pakar psikiatri apabila dewasa kelak.
“Kededua bidang itu akan membantu saya berkomunikasi dan berkhidmat untuk orang yang saya ingin bantu dengan lebih berkesan. Misalnya, saya mampu bertutur dalam bahasa ibunda pesakit Arab,” tambah Nurul Izzah.
Namun, ketua pengawas itu mengakui tugas mengimbangi pelbagai subjek dan tanggungjawab di sekolah sungguh mencabar.
Mengimbas kembali perjalanan pembelajarannya, Nurul Izzah berkata dia perlu bergelut dengan kekecewaan hampir gagal dalam keputusan beberapa subjek, termasuk Matematik, semasa peperiksaan percubaan.
“Peristiwa itu menjejas keyakinan saya… Tetapi, saya mengingatkan diri saya yang ia hanya peperiksaan percubaan, yang biasanya lebih mencabar berbanding peperiksaan PSLE,” katanya.
Nurul Izzah seterusnya bangkit daripada detik itu dengan membuat perubahan pada cara dia melakukan tugasan sekolah di rumah.
“Saya menghentikan tabiat melewatkan tugasan sekolah dan memberikan semangat sepenuhnya menjelang peperiksaan PSLE,” katanya lagi.
Turut di sisinya pada setiap langkah mencapai kejayaan ialah ayah dan ibunya, Encik Azemi Manap, 51 tahun, dan Cik Suriyanti Said, 49 tahun, masing-masing bertugas sebagai guru adjung bahasa Inggeris dan guru bahasa Melayu.
Kebanggaan Encik Azemi menyerlah semasa memuji ketabahan anaknya dalam persiapan untuk PSLE.
Encik Azemi berkata: “(Tugasnya) agak mencabar tetapi dia seorang anak yang amat fokus tentang matlamat yang ingin dicapai, dan saya bersyukur dia sentiasa cuba memberikan yang terbaik.”
Selain menyediakan bahan bacaan mengenai bidang psikiatri, Encik Azemi dan Cik Suriyanti turut mewajibkan pertuturan dalam bahasa Melayu pada Rabu dan Sabtu, demi membantu Nurul Izzah menguasai bahasa ibundanya.
Seiringan dengan itu, mereka juga memastikan Nurul dapat waktu rehat yang mencukupi, serta memperuntukkan masa untuk bersantai atau berbasikal bersama keluarga untuk menghilangkan tekanannya.
Pencapaian Nurul Izzah juga menjadikannya suri teladan kepada adik-adiknya yang berusia sembilan dan 10 tahun, yang menuntut di madrasah yang sama.
“Adik-adiknya selalu melihat kepada Nurul sebagai inspirasi dan sumber dorongan,” tambah Encik Azemi.
Kini, langkah seterusnya bagi Nurul adalah untuk meneruskan pembelajarannya di Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah.
Katanya: “Saya mahu meneruskan perjalanan saya di sekolah yang saya rasa selesa dan disokong untuk terus berkembang.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg