Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Juara tahfiz cilik elak makanan berminyak, pedas, dua minggu sebelum pertandingan

Sep 21, 2025 | 8:56 PM
Maher El Furqan Mohd Syafiq (tengah) yang bergambar bersama ibu bapanya, Ustazah Nuraini Juwita Misti  dan Ustaz Mohd Syafiq Jamil, telah  dinobat sebagai johan dalam kategori Tahfiz dan naib johan bagi kategori Tilawah untuk kanak-kanak lelaki dalam Musabaqah Tilawah, Tahfiz, Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) 2025 pada 21 September.
Maher El Furqan Mohd Syafiq (tengah) yang bergambar bersama ibu bapanya, Ustazah Nuraini Juwita Misti dan Ustaz Mohd Syafiq Jamil, telah dinobat sebagai johan dalam kategori Tahfiz dan naib johan bagi kategori Tilawah untuk kanak-kanak lelaki dalam Musabaqah Tilawah, Tahfiz, Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) 2025 pada 21 September. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dari usia lebih muda, Maher El-Furqan Mohd Syafiq, 10 tahun, telah menunjukkan minat dan bakat menghafal ayat Al-Quran.

Melihat kecenderungan anak mereka itu, ibu bapa Maher, Ustaz Mohd Syafiq Jamil dan Ustazah Nuraini Juwita Misti, kedua-duanya 38 tahun, menghantar Maher menyertai program taranum atau melafazkan ayat Al-Quran secara berlagu dari usia lapan tahun.

Sejak itu, Maher gigih membaca Al-Quran dan selanjutnya mula mengikuti latihan menghafal kitab suci itu.

Usaha gigih Maher, anak bongsu tiga beradik, berhasil pada 21 September, apabila dia dinobat johan dalam kategori Tahfiz (Hafalan) dan naib johan dalam kategori Tilawah (Bacaan) untuk kanak-kanak lelaki di Musabaqah Tilawah, Tahfiz, Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) 2025.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Maher berkata dia mengalami cabaran lebih sukar untuk menghafal ayat Al-Quran.

“Pertandingan Tahfiz lebih susah bagi saya… Surah Yasin panjang dan banyak ayat yang seakan sama dan mudah tersalah ingat,” kata Maher.

Demi memastikan suaranya berada dalam keadaan terbaik, Maher menjaga pemakanannya.

Dua minggu sebelum pertandingan, dia mengelak makanan berminyak, sejuk atau pedas. 

Bapa Maher, seorang pegawai dakwah di Masjid Darul Ghufran, dan ibunya, seorang guru tahfiz di Darul Huffaz berkata mereka tidak pernah memaksa anak mereka menyertai sebarang pertandingan. 

“Kami hanya memberikan galakan dan berusaha mengeluarkan potensi terbaik mereka,” kata Ustazah Nuraini. 

Musabaqah, atau pertandingan Al-Quran 2025 telah menarik lebih ramai peserta muda dan ini perkembangan yang menggalakkan, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dalam ucapannya di Majlis Penyampaian Hadiah MTTTQ, di Masjid Sultan pada 21 September.

Berbanding 2024, kategori tahfiz bagi kanak-kanak menarik 35 peratus lebih ramai peserta, sementara kategori tilawah menarik 26 peratus lebih peserta, menurut Dr Faishal.

“Apabila saya melihat barisan peserta, terutamanya wajah muda di hadapan saya, saya berasa begitu bangga dan amat bersyukur kerana penekanan untuk membudayakan Al-Quran telah berjaya menjangkau setiap generasi sama ada dewasa atau pun muda,” ucap Dr Faishal.

Secara keseluruhan, seramai 272 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan tahunan yang dianjurkan oleh QuranSG.  

Encik Muhammad Mustaffa dinobatkan sebagai johan Tilawah (Qari) manakala Cik A’tii Qah Suhaimi muncul sebagai johan Tilawah (Qariah).

Mereka akan mewakili Singapura ke pertandingan antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2026.

Dr Faishal memuji peserta atas dedikasi mereka. 

“Disiplin, ketabahan dan komitmen sangat penting untuk sampai ke tahap ini. Inilah antara ciri-ciri penting yang membimbing kita dalam menempuh perjalanan hidup sebagai seorang insan,” tambah beliau.

QuranSG ialah inisiatif yang diterajui masjid setempat dengan kerjasama Pejabat Mufti serta Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), untuk menghidupkan pembelajaran Al-Quran menerusi program di masjid.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) adalah tetamu terhormat majlis penyampaian hadiah itu.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) adalah tetamu terhormat majlis penyampaian hadiah itu. - Berita Harian
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg