Sesi pembelajaran Raudhatul Quran Masjid Ar-Raudhah kini menganjurkan Musabaqah Murattal Quran untuk menghargai dan mengenang jasa mantan qari Singapura yang termasyhur, iaitu Allahyarham Mohd Fadzuli Bajuri.
Sebagai rekod, Allahyarham pernah mengungguli tempat pertama musabaqah yang diadakan di Singapura, berturut-turut sejak tahun 1968 hingga 1972 pada peringkat kebangsaan. Allahyarham juga pernah memegang tempat kedua pada tahun 1969 dan 1971 serta memperoleh tempat ketiga pada tahun 1968 dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Selain itu, Allahyarham Mohd Fadzuli juga pernah menjadi hakim Majlis Tilawah Al-Quran Belia-Belia Asean di Bangkok, Thailand, dan selama lebih tiga dekad diundang menjadi antara juri hakim Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) di Singapura.
Jasa berterusan beliau adalah membimbing qari dan qariah mewakili negara ke peringkat antarabangsa di Malaysia seperti Encik Abdul Wahid Muhammad, Encik Mohd Rizal Husin, Encik Khairul Khalid, Encik Nur Muhammad, Encik Mohd Syarafuddin, Ustazah Khamsiah Amir, Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani dan Ustazah Nurul Huda Khamsani.
Pada tahun 1996 hingga 2000 pula, Allahyarham menyandang tugas dan amanah sebagai Ahli Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah. Selain melestarikan dan memartabatkan kedudukan agama serta Al-Quran, Allahyarham turut menjadi penasihat dalam pembangunan serta pengukuhan Jabatan Agama dan Al-Quran Masjid Ar-Raudhah.
Musabaqah Murattal Al-Quran atau Piala Allahyarham Haji Mohd Fadzuli Bajuri kali ini diadakan khusus buat golongan remaja berusia daripada 13 tahun hingga 20 tahun bagi menarik minat mereka dalam menceburi seni Al-Quran, di samping berdaya tahan mengharungi cabaran.
Syarat peraduan Musabaqah Murattal Quran ialah peserta yang telah berdaftar perlu merakam bacaan mereka dan para juri akan menilai mereka yang layak ke peringkat akhir.
Peserta yang berdaftar perlu merakamkan video murattal daripada surah pilihan yang diberikan, selewatnya pada 2 Ogos 2024, 12 tengah hari.
Peringkat akhir akan berlangsung pada 1 September 2024 (Ahad) bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari di Dewan Yam, Aras 1, Masjid Ar-Raudhah.
Pada tahun 2024 ini juga, Masjid Ar-Raudhah sekali lagi dilantik Majlis Agama Islam Singapura (Muis) sebagai tuan rumah Musabaqah Tilawah, Tahfiz, Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) dan Quran FEST.
Istimewa kali ini, terdapat sesi tadabbur (memahami) Al-Quran dalam MTTQ, khusus buat anak-anak yang berumur 9 tahun hingga 12 tahun dan 13 tahun hingga 16 tahun. Bukan setakat latihan membaca dan menghafal Al-Quran sahaja, anak-anak digalakkan memahami isi kandungan Al-Quran dalam majlis tersebut.
“Semoga dengan adanya penambahan Tadabbur Al-Quran, ia dapat memartabatkan Al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam Singapura, di samping memupuk ummah berdaya tahan mengharungi cabaran pada masa akan datang.
“Malah diharapkan agar penganjuran Musabaqah Murattal Al-Quran juga dapat menyemarakkan Majlis Tilawah, Tahfiz dan Tadabbur Al-Quran (MTTQ) yang akan berlangsung tidak lama lagi. Semoga dengan mencintai Al-Quran, maka keluarga akan mendapat berkat,” kata Pengerusi Eksekutif Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Mohamed Ali Atan.
HULUR DERMA
Cara menderma kepada Masjid Ar-Raudhah:
1. PayNow ke: UEN S93MQ0024E. Isikan ‘Infak MUP’ dalam ruangan ‘rujukan’. Selepas membuat sumbangan, sila WhatsApp ke talian 9461-4306.
2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 501-806368-001.
3. Cek atas nama Lembaga Pentadbir Masjid Ar-Raudhah dan poskan ke alamatkan 30 Bukit Batok East Avenue 2, Singapura 659919.
4. Imbas kod QR yang disediakan untuk memberikan sumbangan ikhlas anda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg