Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jufrie Mahmood, Calvin Cheng temu hurai isu saman fitnah

Aug 12, 2025 | 8:15 PM
Jufrie Mahmood, Calvin Cheng
Mantan Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood (kiri), menarik balik kenyataannya yang mengkritik perwatakan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, selepas mereka berdua bertemu dan berbincang dengan satu sama lain secara terus-terang dan beradab. - Foto FACEBOOK CALVIN CHENG

Mantan Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood, telah menarik balik kenyataan yang dibuatnya terhadap mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, menyusuli satu pertemuan antara mereka berdua.

Encik Cheng sebelum ini telah mengambil tindakan guaman terhadap Encik Jufrie selepas mantan pengerusi SDP itu menuduh beliau dilanda Islamofobia (ketakutan dan kebencian terhadap agama Islam dan orang Muslim) serta ancaman kepada keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Ini selepas Encik Cheng dalam satu hantaran Facebook pada 13 Mac mengkritik aktivis pro-Palestin yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat, sambil menambah beliau akan menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.

Sebagai respons, Encik Jufrie dalam catatan Facebook menyifatkan kenyataan Encik Cheng itu sebagai “memupuk Islamofobia dan sentimen ekstremis”, dan telah membuat laporan polis.

Pada 2 April, Encik Cheng telah memberi respons dalam satu catatan Facebook yang menyatakan tuduhan Encik Jufrie itu adalah tidak benar dan dibuat berdasarkan “ketidaktepatan fakta” dan “pembohongan”.

Beliau turut mengambil tindakan guaman terhadap mereka yang menurutnya membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya, termasuk Encik Jufrie.

Encik Jufrie, dalam satu catatan Facebook pada 12 Ogos, berkata beliau menarik balik kenyataannya mengkritik watak Encik Cheng dan yang membayangkan bahawa beliau telah melakukan kesalahan jenayah.

Ini seperti memberi bayangan bahawa Encik Cheng “mempunyai rekod sentimen ekstremis anti-Islam dan anti-Muslim” dan “seorang mantan NMP Islamofobia terkenal yang bebas dengan kata-kata anti-Islamnya yang menimbulkan ancaman serius kepada keharmonian kaum/agama kita yang dikecapi secara susah payah”.

Encik Jufrie menulis bahawa Encik Cheng telah memfailkan saman fitnah terhadap beliau atas beberapa kenyataan yang dibuatnya, dan beliau telah mendapatkan peguam untuk pembelaan.

Namun, kedua-dua beliau dan Encik Cheng bersetuju untuk bertemu dan berbincang dengan satu sama lain secara terus-terang dan beradab.

“Selepas pertemuan kami, saya menerima bahawa Encik Cheng bukanlah seorang yang bersifat perkauman mahupun seorang yang mempunyai Islamofobia.

“Walaupun saya fikir Encik Cheng tidak sensitif, sesuatu yang beliau terima, saya kini menyedari bahawa saya terlalu keras dalam beberapa kenyataan saya yang lain.

“Berdasarkan pertemuan kami dan maklumat lanjut yang diberikan kepada saya, kami berdua bersetuju menyelesaikan perselisihan kami secara baik dan kes mahkamah berkenaan,” tulis beliau.

Encik Cheng turut memuat naik satu catatan Facebook pada 12 Ogos, sambil berkata Gaza merupakan satu isu yang memecahbelahkan dan mencetus emosi, “tetapi sebagai rakyat Singapura, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju”.

“Saya bertemu dengan Encik Jufrie di pejabat peguam saya. Kami bersetuju bahawa kami berdua mahukan yang terbaik untuk Singapura,” kata beliau.

Tentang mengapa tiada permohonan maaf, Encik Cheng, ketika dihubungi Berita Harian (BH), berkata bahawa beliau tidak tersinggung dan perasaannya tidak terluka.

“Saya hanya perlukan kenyataan (Encik Jufrie) ditarik balik,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Jufrie, ketika dihubungi BH, berkata beliau dan Encik Cheng telah bersetuju untuk bekerjasama demi mempertingkat kesejahteraan dan keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Encik Jufrie menambah bahawa beliau akan bertemu dengan Encik Cheng sekali lagi untuk berbincang lebih mendalam lagi tentang isu-isu yang penting bagi negara ini.

“Kami telah bersetuju untuk bekerjasama demi kepentingan Singapura. Meskipun kami mempunyai pandangan berbeza, kami harus terus bekerjasama demi keharmonian negara,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg