Kenyataan Facebook bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, yang mencadangkan agar warga Singapura berpindah ke Gaza sama sekali tidak sensitif dan tidak boleh diterima, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Dalam catatan Facebook pada 10 April, Encik Wong berkata Singapura adalah sebuah masyarakat yang majmuk dan harmoni untuk semua kaum dan agama.
Justeru, adalah penting untuk menghargai, melindungi dan memupuk perpaduan ini yang telah dibina merentasi generasi, katanya.
“Singapura adalah sebuah masyarakat yang rencam tetapi ia tetap harmoni di mana semua kaum dan agama mempunyai tempat di dalam negara ini.
“Perpaduan ini adalah hasil kesabaran dan kerja keras merentasi generasi. Kita mesti menghargainya, melindunginya, dan memupuknya,” kata PM Wong.
Beliau membuat kenyataan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Masyayikh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dan anggota majlis itu, Ustaz Pasuni Maulan, dalam lawatannya ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah di Victoria Lane pada 10 April.
Sehari sebelumnya, kededua Ustaz Mohamad Hasbi dan Ustaz Pasuni telah bertemu Encik Cheng di Masjid Yusof Ishak di Woodlands, di mana Encik Cheng meluahkan rasa sesal yang mendalam atas kenyataan yang dibuatnya di media sosial yang telah mencetus kemarahan dan rasa sakit hati dalam masyarakat Islam.
Dalam catatannya itu, Encik Wong berkata dalam persekitaran yang tidak menentu di mana terdapat banyak kuasa luar negara yang boleh memecahbelahkan masyarakat di Singapura, adalah penting untuk meneruskan usaha memupuk perpaduan sosial.
“Semasa kita menjadi sebahagian daripada Malaysia, beberapa segmen masyarakat Malaysia menggelar orang Cina tempatan sebagai “pendatang”.
“Ia menimbulkan kemarahan ramai orang Cina yang merasakan bahawa mereka adalah warga kelas kedua. Jadi apabila Singapura mencapai kemerdekaan, kami memutuskan untuk tidak memperlakukan golongan minoriti kita seperti itu,” kata PM Wong.
Lantaran itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Mohamad Hasbi dan Ustaz Pasuni atas peranan mereka dalam memupuk keharmonian antara agama, dan menyeru rakyat Singapura untuk terus membina dan memastikan Singapura kekal sebagai oasis kestabilan dan keharmonian.
Dalam catatan Facebook beliau pada 10 April, Encik Cheng berkata beliau telah menemui Ustaz Mohamad Hasbi dan Ustaz Pasuni di Masjid Yusof Ishak pada petang 9 April.
Melahirkan rasa kesalnya dalam catatan tersebut, Encik Cheng berkata: “Saya sedar bahawa saya sepatutnya lebih sensitif dengan kenyataan saya. Saya tidak sepatutnya berkata sedemikian (walaupun dalam gurauan) bahawa orang harus pergi ke zon konflik.
“Saya memberitahu kededua Ustaz bahawa saya amat kesal dengan kenyataan saya yang mencadangkan agar orang kita pergi ke zon konflik. Mereka menasihati saya untuk lebih sensitif pada masa hadapan, dalam apa jua yang saya katakan,” katanya.
Encik Cheng menjelaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menyerang mana-mana masyarakat atau kepercayaan.
Beliau menekankan bahawa komennya itu ditujukan khusus kepada kumpulan aktivis Monday for Palestine, yang merangkumi orang Cina dan India, dan mempunyai pengikut berbilang agama.
“Saya amat bersyukur kerana Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi sudi bertemu saya dan mendengar serta bercakap tentang perdamaian dan penyembuhan. Saya berterima kasih kepada mereka atas kebaikan, pemahaman dan belas kasihan mereka,” kata Encik Cheng.
Beliau menambah beliau telah berkongsi dengan Ustaz Pasuni dan Ustaz Mohamad Hasbi bahawa sesetengah orang telah salah mengaitkan beberapa kenyataan lain kepadanya, walaupun beliau tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan itu.
Justeru, beliau menjelaskan bahawa beliau berhasrat meneruskan tindakan undang-undang ke atas pihak-pihak tersebut atas kenyataan yang disifatkannya sebagai tidak benar itu.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu, termasuk oleh mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Jufrie Mahmood yang menyifatkan kenyataan Encik Cheng itu sebagai “memupuk Islamofobia dan sentimen ekstremis”.
Kenyataan Encik Cheng pada 10 April itu dibuat sehari selepas Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata bahawa hantaran Facebook Encik Cheng berhubung Gaza tidak beradab dan telah menggores perasaan masyarakat Melayu/Islam. Beliau berkata demikian dalam podcast Berita Harian (BH), BHerbual #No Tapis.
Pada 13 Mac, Encik Cheng telah memuat naik satu catatan di Facebook, mengkritik kumpulan aktivis Monday of Palestine Solidarity, yang mengganggu Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di beberapa tempat, dan berkata akan menaja mereka untuk dipindahkan ke Gaza, dengan syarat mereka tidak kembali ke Singapura.
Beliau juga akan menawarkan “kelas penerbangan bisnes“ kepada ketua kumpulan itu, dan akan membeli “beberapa kasut berjalan” untuk “928 pengikut mereka”.
Kenyataannya telah mengundang kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Melayu/Islam, yang menyifatkan kata-katanya itu sebagai tidak sensitif dan kurang peka kepada penderitaan warga di Gaza.
Ia juga mengundang respons daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang melahirkan rasa tidak setuju dengan kenyataan itu.
“
“Singapura adalah sebuah masyarakat yang rencam tetapi ia tetap harmoni di mana semua kaum dan agama mempunyai tempat di dalam negara ini. Perpaduan ini adalah hasil kesabaran dan kerja keras merentasi generasi. Kita mesti menghargainya, melindunginya, dan memeliharanya”“
“Saya sedar bahawa saya sepatutnya lebih sensitif dengan kenyataan saya. Saya tidak sepatutnya berkata sedemikian (walaupun dalam gurauan) bahawa orang harus pergi ke zon konflik. Saya amat bersyukur kerana Ustaz Pasuni dan Ustaz Hasbi sudi bertemu saya dan mendengar serta bercakap tentang perdamaian dan penyembuhan. Saya berterima kasih kepada mereka atas kebaikan, pemahaman dan belas kasihan mereka”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg