Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah cawangan pusat penuaan aktif naik lebih tiga kali ganda

Tambah dari 60 cawangan pada 2021 kepada 214 pada 2024; terkini dibuka di Bukit Panjang
Dec 2, 2024 | 8:27 PM
Menteri Ehwal Luar yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan (empat dari kiri), diberi taklimat tentang Pusat Penuaan Aktif Vanguard @ Pusat Kesejahteraan 3G di Bukit Panjang semasa pembukaannya pada 2 Disember.
Menteri Ehwal Luar yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan (empat dari kiri), diberi taklimat tentang Pusat Penuaan Aktif Vanguard @ Pusat Kesejahteraan 3G di Bukit Panjang semasa pembukaannya pada 2 Disember. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bilangan Pusat Penuaan Aktif (AAC) meningkat lebih tiga kali ganda daripada 60 pada 2021 kepada 214 cawangan hari ini, dan berada di landasan yang betul untuk mencapai 220 cawangan menjelang 2025.

Mengumumkan demikian semasa pembukaan Pusat Penuaan Aktif Vanguard @ Pusat Kesejahteraan 3G di Bukit Panjang pada 2 Disember, Menteri Ehwal Luar yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Timah, Dr Vivian Balakrishnan, berkata pusat itu dapat menyokong warga emas yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.

Beliau menambah, pusat AAC itu, yang merupakan usahasama Vanguard Healthcare dan Kelab Masyarakat (CC) Senja-Cashew, bakal menyediakan ruang untuk kakitangan penjagaan kesihatan mendekati dan membantu warga emas di Bukit Panjang dengan lebih baik.

Vanguard Healthcare dibangunkan pada 2015 dengan tujuan menyokong dan menyumbang kepada pembangunan perkhidmatan penjagaan warga emas di Singapura.

Ia kini mengendalikan lima rumah rawatan, empat pusat jagaan warga emas dan dua pusat penuaan aktif.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vanguard Healthcare, Cik Chan Wei Ling, berkata pelancaran Pusat Penuaan Aktif Vanguard @ Pusat Kesejahteraan 3G bakal memperkenalkan pelbagai kegiatan yang lebih luas untuk membantu warga emas, serta kekal aktif dan terlibat.

“Lokasi strategik AAC dalam taman kejiranan dan Kolam Pang Sua membolehkan pusat ini memanfaatkan persekitaran semula jadi, memperkayakan program dalam dan luar rumah, di samping memupuk kegiatan antara generasi dalam satu masyarakat,” kata Cik Chan.

Menurut kenyataan akhbar, kerjasama itu bakal memberi manfaat kepada lebih 1,600 warga emas di kawasan Bukit Panjang.

Semasa pelancaran pusat tersebut, Dr Vivian berkata jumlah penduduk yang semakin menua adalah perkembangan yang tidak dapat dielakkan di Singapura.

“Sekurang-kurang 21 peratus daripada penduduk kita bakal berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2026,” ujar Dr Vivian.

Oleh itu, warga emas yang lebih tua mungkin memerlukan lebih banyak rawatan perubatan.

Namun, Dr Vivian juga menambah bahawa majoriti warga emas di Singapura masih ‘muda’.

“Walaupun sesetengah mungkin memerlukan rawatan perubatan, kebanyakannya masih aktif, sihat dan menjalani kehidupan yang bermakna,” tambahnya.

Menurut beliau, warga emas ingin terus bekerja, menyumbang sebagai sukarelawan dan menjalani kehidupan tersendiri.

Oleh itu, pusat AAC boleh menjadi tempat untuk membantu warga emas yang mudah terjejas dan bagi mereka yang ingin mendapatkan nasihat untuk dirujukkan kepada sesuatu khidmat penjagaan.

“Ia juga tempat bagi warga emas bertemu dengan rakan-rakan hobi yang sama dan sertai pelbagai kegiatan sosial,” kata Dr Vivian.

Salah seorang penduduk yang meraih manfaat daripada program baru itu ialah Cik Asiah Mohd Hanifa, 60 tahun.

Sebagai penjaga utama bagi ibu mentuanya, Cik Aminah Beevi K Madien, 84 tahun, beliau berasakan bahawa cawangan itu membawa kemudahan lebih besar baginya.

Memandangkan Cik Aminah menghidap sesak nafas dan kencing manis Jenis 1, beliau hanya mampu tidur pada waktu tertentu pada sebelah pagi.

Bagi Cik Asiah, inilah waktu yang diketepikan untuk dirinya dan beliau menggunakan kesempatan itu untuk melakukan senaman rintangan, Zumba dan berjalan pantas.

“Pusat AAC memberi saya peluang melakukan kegiatan kesejahteraan dan berkawan dengan warga emas lain dalam kawasan saya,” kata Cik Asiah.

Cik Asiah Mohd Hanifa, 60 tahun, bersama rakannya, Cik Chen Yi Ru, 80 tahun, di Kolam Pang Sua pada 2 Disember. Mereka berdua berkenalan semasa program Pusat Penuaan Aktif (AAC) yang sebelum ini terletak di Poliklinik Bukit Panjang.
Cik Asiah Mohd Hanifa, 60 tahun, bersama rakannya, Cik Chen Yi Ru, 80 tahun, di Kolam Pang Sua pada 2 Disember. Mereka berdua berkenalan semasa program Pusat Penuaan Aktif (AAC) yang sebelum ini terletak di Poliklinik Bukit Panjang. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg