Topik diikuti
Pergi ke BHkuJumlah firma jalankan R&D di S’pura, pekerjaan R&D naik antara 2018 hingga 2023
Lebih banyak firma di Singapura kini menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), dengan jumlah firma yang menjalankan R&D meningkat daripada 855 pada 2018, kepada 1,030 pada 2023.
Dalam tempoh yang sama, jumlah pekerjaan R&D dalam sektor industri meningkat daripada 24,466 kepada 32,509, mencatatkan pertumbuhan purata tahunan sekitar 5.8 peratus.
Lebih 70 peratus daripada pekerjaan tersebut diisi oleh penduduk Singapura.
Angka-angka tersebut dilaporkan dalam Laporan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2025 (RIE2025), yang diperkenalkan oleh Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat, semasa majlis Anugerah Presiden bagi Sains dan Teknologi (PSTA) 2026 di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 28 Ogos.
Ini di samping Pelan RIE2030 yang juga diumumkan Encik Heng semasa majlis tersebut. Laporan tersebut menyediakan akaun maklumat, pelan, dan inisiatif utama bagi fasa seterusnya.
Kedua-dua laporan tersebut telah dikeluarkan sepenuhnya pada 31 Ogos.
Menyentuh tentang penglibatan R&D di sini, NRF berkata intensiti R&D ekonomi Singapura telah meningkat seiring dengan peningkatan penyertaan sektor swasta dalam ekosistem R&D negara.
Menurut Laporan RIE2025, nilai tambah yang dijana oleh firma-firma yang menjalankan R&D meningkat lebih 75 peratus, daripada S$91.2 bilion pada 2018 kepada S$161.2 bilion pada 2023.
Ini meskipun jumlah firma berkenaan meningkat sekitar 20 peratus dalam tempoh lima tahun tersebut.
Sehubungan itu, Perbelanjaan R&D Perniagaan (BERD) melonjak sebanyak 64 peratus, daripada S$5.5 bilion pada 2018 kepada S$9.0 bilion pada 2023.
Mengenai bentuk sokongan yang ditawarkan kepada graduan universiti baharu dan penyelidik pada peringkat awal kerjaya, seorang jurucakap NRF memberitahu Berita Harian (BH) bahawa pihaknya akan terus melabur dalam bakat muda di bawah RIE2030 dan membantu mereka membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perubahan pesat dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
Ini termasuk biasiswa Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star) yang membiayai pelajar berpotensi tinggi untuk mengikuti program STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) di institusi terkemuka dunia, selain memberi mereka pendedahan kepada kerja penyelidikan di makmal bertaraf tinggi.
Ini di samping Geran Penyelidikan Individu Muda dan Fellowship NRF yang terus menyokong penyelidik pada peringkat awal kerjaya dalam membina kelayakan dan rekod penyelidikan mereka.
“Kami juga akur bahawa para penyelidik kini semakin memerlukan pendedahan di luar bidang akademik, misalnya bagi memperoleh kemahiran yang relevan dengan industri serta kemahiran dalam menterjemahkan hasil penyelidikan.
“Menerusi Program Pascasiswazah Industri, pelajar Doktor Falsafah (PhD) diselia bersama oleh universiti dan syarikat rakan kongsi bagi menjalankan projek R&D bersama, sekali gus membolehkan mereka memperoleh pengalaman penyelidikan secara praktikal serta pendedahan kepada aplikasi komersial penyelidikan akademik,” kongsi jurucakap itu.
Selain menyumbang kepada hasil ekonomi, pelaburan RIE turut menyokong usaha menangani cabaran dan keutamaan strategik negara, termasuk menerusi R&D dalam bidang kesihatan penduduk dan penuaan, daya tahan terhadap perubahan iklim serta penyahkarbonan.
Antaranya ialah penubuhan Institut Penyelidikan dan Keselamatan Nuklear Singapura (SNRSI) sebagai sebuah institut sepenuhnya di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Julai 2025, yang diperkukuh dengan dana sebanyak S$66 juta.
SNRSI menggantikan inisiatif terdahulu yang ditubuhkan pada 2014.
