Jumlah Kadi, Naib Kadi ditambah kepada 62 mulai Apr

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah Kadi, Naib Kadi ditambah kepada 62 mulai Apr

Mar 5, 2026 | 4:59 PM

Jumlah Kadi, Naib Kadi ditambah kepada 62 mulai Apr

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kadi Naib Kadi, perkahwinan Muslim, sokongan perkahwinan
Sesi bersemuka tambahan antara pasangan dengan Kadi atau Naib Kadi selepas majlis pernikahan, akan diadakan bagi memastikan mereka mendapat permulaan lebih kukuh dalam perjalanan perkahwinan mereka. - Foto fail

Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) akan meningkatkan jumlah Kadi dan Naib Kadi daripada 41 kepada 62 orang bermula April 2026 bagi menyokong pasangan pengantin baru Muslim dengan lebih baik, terutamanya mereka yang memerlukan lebih banyak bantuan.

Pasangan boleh memanfaatkan sesi bersemuka tambahan selepas majlis pernikahan, bagi memastikan mereka mendapat permulaan lebih kukuh dalam perjalanan perkahwinan mereka.

Ini adalah sebahagian peluasan program Bersamamu yang menyediakan akses kepada sokongan dan bimbingan perkahwinan daripada Kadi dan Naib Kadi kepada pasangan.

Sejak dilancarkan pada 2019, Bersamamu telah menyokong lebih 36,000 pasangan.

Bagi memudahkan masyarakat mengakses perkhidmatan sokongan perkahwinan, pegawai Pembangunan Keluarga akan ditempatkan di masjid terpilih di seluruh Singapura untuk membimbing pasangan mengenai pelbagai program nasional dan masyarakat yang paling sesuai dengan keperluan mereka.

Selain itu, Projek ARIF – yang bertujuan untuk mempersiapkan pasangan bagi alam keibubapaan serta memperkukuh kesejahteraan ibu dan pembangunan kanak-kanak – juga akan dijadikan sebagai komponen tetap di bawah Bersamamu bermula Jun 2026.

Pembaharuan tersebut diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) mengenai ehwal masyarakat Islam di Parlimen pada 5 Mac.

Dr Faishal berkata: “Keluarga yang utuh bermula dengan perkahwinan yang stabil, maka, program Bersamamu amatlah penting bagi masyarakat Islam di Singapura.”

Lantas, untuk membantu lebih ramai pasangan Muslim, program Bersamamu akan diperluaskan untuk terus memperkukuh sokongan perkahwinan, dan ini termasuk memperluaskan jumlah Kadi dan Naib Kadi.

“Kami akan meningkatkan jumlah Kadi dan Naib Kadi sekitar 50 peratus, bagi menyokong pasangan pengantin baru Muslim dengan lebih baik, terutamanya mereka yang memerlukan lebih banyak bantuan,” tambahnya.

Dengan penambahan jumlah Kadi dan Naib Kadi, program Bersamamu akan memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada pasangan Muslim – termasuk pasangan muda dan mereka yang berkahwin semula.

Penambahan itu membolehkan sesi bersemuka tambahan diadakan selepas nikah, selain daripada sesi sedia ada yang dijalankan sebelum nikah.

Sesi tersebut akan menyediakan pemeriksaan berkala dan bimbingan peribadi bagi melengkapkan pasangan dengan lebih baik dengan sumber yang mereka perlukan untuk perkahwinan yang berjaya.

Program Bersamamu dilancarkan sejak Julai 2019 yang bertujuan menyokong pasangan Islam dengan memberi bimbingan sebelum pernikahan dan dilanjutkan hingga dua tahun selepas pernikahan mereka.

Sokongan dan bimbingan itu diberikan Kadi atau Naib Kadi yang bertanggungjawab dalam urusan pernikahan mereka.

Sejak dilancarkan pada 2019, Bersamamu telah menyokong lebih 36,000 pasangan.
Sejak dilancarkan pada 2019, Bersamamu telah menyokong lebih 36,000 pasangan. - Foto fail

Selain itu, Dr Faishal menjelaskan bahawa selain daripada membimbing pasangan mengenai pelbagai program nasional dan masyarakat, peranan pegawai Pembangunan Keluarga di masjid akan membimbing mereka yang mempunyai tanggungjawab dua penjagaan (dual caregiving).

Bermula Jun 2026, sokongan tambahan ini memastikan pasangan menerima penjagaan menyeluruh dan akses awal kepada sumber-sumber yang dapat membantu memperkukuh perkahwinan mereka.

“Secara keseluruhannya, pasangan boleh mendapatkan lebih banyak bantuan dan susulan bersasaran bagi mereka yang berada dalam perkahwinan berisiko lebih tinggi, supaya isu dapat ditangani lebih awal sebelum ia memuncak menjadi teruk,” jelas beliau.

Sementara itu, berkongsi mengenai penerapan Projek ARIF secara tetap di bawah Bersamamu, Dr Faishal berkata program itu akan memberikan penjagaan berterusan kepada pasangan serta menyediakan permulaan yang baik untuk anak-anak.

Dimulakan sejak akhir 2020 sebagai satu projek rintis, Projek ARIF bertujuan untuk mempersiapkan pasangan bagi alam keibubapaan, serta memantapkan kesejahteraan ibu dan pembangunan kanak-kanak.

Di bawah projek itu, pekerja perubatan dan sosial daripada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) menyokong golongan ibu dalam perjalanan sebelum dan selepas bersalin, bersama dengan Naib Kadi yang menyediakan kaunseling keluarga.

 Sekitar 5,000 pasangan telah meraih manfaat daripada Projek ARIF.
Sekitar 5,000 pasangan telah meraih manfaat daripada Projek ARIF. - Foto fail

Susulan kejayaan Projek ARIF yang memanfaatkan sekitar 5,000 pasangan, program itu akan menjangkau sokongan perkahwinan bagi menyediakan kesediaan keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak untuk keluarga Muslim.

Ini akan dilaksanakan melalui sokongan bersepadu daripada Kadi, Naib Kadi, pekerja sosial perubatan, serta karyawan penjagaan kesihatan.

“Daripada bimbingan perkahwinan kepada sokongan keibubapaan, kami meluaskan rangkaian penjagaan berterusan bagi memupuk keluarga yang lebih berdaya tahan dan memberikan anak kita permulaan terbaik dalam kehidupan,” ujar Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg