Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah kebakaran di tempat lupus sampah awam berkurang

Susut selepas pihak berkuasa perhebat usaha tingkat kesedaran tentang keselamatan daripada kebakaran pada 2022
Mar 13, 2025 | 2:43 PM
Kejadian kebakaran besar di sebuah loji kitar semula di Kranji pada 19 Februari telah menarik semula perhatian orang awam terhadap keselamatan dalam menangani kebakaran.
Kejadian kebakaran besar di sebuah loji kitar semula di Kranji pada 19 Februari telah menarik semula perhatian orang awam terhadap keselamatan dalam menangani kebakaran. - Foto ST

Jumlah kebakaran yang dicatat di tempat kemudahan pelupusan sampah umum telah turun dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini selepas pihak berkuasa memperhebat usaha mempertingkat kesedaran mengenai keselamatan kebakaran pada 2022.

Sejak itu, purata kes kebakaran tahunan telah berkurang hampir separuh – daripada 16 kes pada 2021 dan 2022 kepada sembilan kes pada 2023 dan 2024, menurut data yang dikeluarkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Jumlah pengeluaran saman kepada kemudahan pelupusan sampah atas pelanggaran peraturan keselamatan kebakaran turut merosot daripada 51 pada 2023 kepada 12 pada 2024, seperti yang dilaporkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) lapor The Straits Times (ST).

Kejadian kebakaran besar di sebuah loji kitar semula di Kranji pada 19 Februari telah menarik semula perhatian orang awam terhadap keselamatan kebakaran dalam sektor itu.

Kebakaran itu mengambil masa empat hari untuk dipadamkan dan merupakan kes keempat yang dilaporkan sejak 2018 di 11 Kranji Crescent – tapak firma kitar semula dan pengurusan sampah, Wah & Hua.

Firma tersebut telah disaman tujuh kali atas pelanggaran peraturan keselamatan kebakaran antara 2018 dengan 2024, tiga daripadanya untuk kesalahan lebih serius.

Pihak berkuasa sedang menyiasat jika firma tersebut telah melanggar sebarang peraturan keselamatan kebakaran, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, dalam sidang Parlimen pada 6 Mac.

Daripada 440 kemudahan pelupusan sampah umum di Singapura, kebanyakan daripadanya tidak melaporkan sebarang kebakaran dalam lima tahun lalu, jelas NEA.

Kemudahan pelupusan sampah umum, yang turut merangkumi kemudahan kitar semula, adalah tempat yang menerima, menyimpan, memproses, atau merawat sampah.

Menurut NEA, ia telah mempertingkat usaha menambah kesedaran mengenai langkah keselamatan kebakaran sejak 2022, seperti mengadakan sesi dialog dan nasihat industri dengan kerjasama SCDF, Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan Persatuan Pengurusan Sampah dan Kitar Semula Singapura (WMRAS).

SCDF berkata ia turut menjalankan pemeriksaan yang dijadualkan atau secara mengejut – berdasarkan maklumat orang awam, untuk memeriksa risiko bahaya kebakaran.

Ini termasuk penggunaan gelung hos yang rosak, papan tanda laluan kecemasan yang tidak berfungsi, serta kewujudan halangan di pintu keluar dan tangga.

Firma yang didapati melanggar peraturan boleh diberi amaran bertulis untuk membetulkan bahaya kebakaran dalam tempoh ditetapkan, atau notis kesalahan bagi kes serius tidak mematuhi peraturan, kata SCDF.

Mereka yang menerima notis kesalahan boleh didenda hingga $5,000 atau didakwa jika gagal membetulkan kesalahan tersebut.

Daripada 12 saman yang dikeluarkan SCDF pada 2024, enam merupakan notis pembetulan bahaya kebakaran, manakala selebihnya adalah notis kesalahan.

Jurucakap firma pakar pencegahan kebakaran Linkgas memberitahu ST: 

“Sifat bahan buangan yang disimpan – daripada kertas dan plastik hingga bahan kimia berbahaya – menjadikan kemudahan ini terdedah kepada kebakaran.”

Kebakaran ini boleh terjadi di bawah runtuhan, menjadikannya sukar dikawal dan mengambil masa lebih lama untuk dipadamkan, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg