Siasatan terhadap sebuah gudang di pusat kitar semula di Kranji yang terbakar pada 19 Februari sedang dijalankan bagi memastikan ia mematuhi keperluan pelesenan dan peralatan keselamatan kebakaran yang berkaitan.
Ini memandangkan syarikat itu tidak mempunyai lesen untuk menyimpan bahan toksik, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Dr Amy Khor, di Parlimen pada 6 Mac.
Kebakaran itu sangat besar sehinggakan mengambil masa empat hari untuk dipadamkan anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), lapor The Straits Times.
“Gudang itu mengandungi bahan seperti kertas, plastik, kaca, besi buruk, sisa kayu dan sisa elektronik. Tetapi ia tidak dilesenkan untuk menyimpan sisa perusahaan toksik atau bahan berbahaya,” kata Dr Khor.
Menurut beliau, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan SCDF sedang menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada firma itu telah melanggar sebarang peraturan.
Seorang individu telah dibawa ke hospital kerana kecederaan melecur dan terhidu asap.
Dr Khor menerangkan demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, yang bertanya sama ada penduduk berhampiran telah terdedah kepada bahan pencemar toksik daripada kebakaran itu.
Beliau menambah, kediaman terdekat terletak kira-kira 2 kilometer dari kawasan itu.
Menurut Dr Khor lagi, mutu udara di kawasan itu kekal dalam julat normal dalam tempoh empat hari ketika api sedang dipadamkan, berdasarkan ukuran yang diambil oleh NEA.
NEA, katanya, bekerjasama dengan SCDF untuk memastikan gudang sedemikian sentiasa menyemak langkah keselamatan kebakaran.
Ini berlaku apabila firma kitar semula dan pengurusan sisa itu disaman tujuh kali kerana kesalahan keselamatan kebakaran antara 2018 dengan 2024.
Empat notis pengurangan bahaya kebakaran telah diberikan untuk pelanggaran seperti papan tanda jalan keluar yang rosak dan halangan pada pintu keluar, gulungan hos serta alat pemadam api.
Tiga notis kesalahan telah dikeluarkan bagi kesalahan lebih berat seperti kerja-kerja keselamatan kebakaran yang dilakukan tanpa kebenaran yang melibatkan pembinaan satu pelantar keluli.
Dr Khor berkata semua pelanggaran tersebut telah diperbetulkan oleh firma itu.
SCDF sebelum ini telah dipanggil bagi memadamkan tiga kejadian kebakaran di sana pada 2018, 2023 dan 2024.
Siasatan mendapati kebakaran tersebut tidak disengajakan, ekoran bara api yang membara atau bahan buangan am yang menyala secara spontan.
Sebagai jawapan kepada Cik Poa, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata SCDF akan terus menerima pakai pendekatan meningkat apabila bertindak terhadap pelanggaran peraturan keselamatan kebakaran.
Ini akan terdiri daripada notis pengurangan dan denda komposisi untuk kes kecil berupa ketidakpatuhan, kepada denda yang lebih tinggi dan pendakwaan di mahkamah bagi pesalah berulang.
Beliau berkata: “Kami tidak akan teragak-agak, bukan sahaja untuk mengambil tindakan, (tetapi) untuk terus melakukan pemeriksaan, memastikan ia selamat... kami akan terus memastikan keselamatan kebakaran dipatuhi oleh pemilik syarikat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg