Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah kes ekzema tahap sederhana hingga parah di S’pura meningkat

Baka, haba dan kelembapan S’pura sebab utama radang kulit itu
Dec 16, 2024 | 4:38 PM
Faris Zafran, lima tahun, disyorkan agar menggunakan ubat ‘Dupixent’ apabila dia dirawat di hospital bagi menangani keadaan ekzemanya yang teruk, dengan luka bernanah di kaki.
Faris Zafran, lima tahun, disyorkan agar menggunakan ubat ‘Dupixent’ apabila dia dirawat di hospital bagi menangani keadaan ekzemanya yang teruk, dengan luka bernanah di kaki. - Foto ST

Kelaziman penyakit ekzema (radang kulit) di Singapura secara umum kekal stabil dekad lalu, dengan seorang daripada setiap lima kanak-kanak dan seorang daripada setiap 10 orang dewasa menghidapinya.

Namun, jumlah pesakit tersebut yang mengalami paras sederhana hingga parah – dengan kulit yang bernanah, berkerak atau berdarah – kelihatan meningkat. 

Kedua-dua Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Pusat Kulit Nasional (NSC) mengatakan terdapat lebih ramai pesakit dengan ekzema atopik paras sederhana hingga parah, tetapi jumlahnya tidak jelas kerana tiada kajian baharu dijalankan. 

Ekzema atopik atau dermatitis atopik, merupakan jenis ekzema yang paling sering dihidap.

Ia biasanya bermula selepas beberapa minggu atau bulan selepas lahir. 

KKH, yang menangani 20 kes ekzema atopik baru dalam sehari, melihat lebih ramai kanak-kanak dengan penyakit tersebut di tahap sederhana hingga parah, dan 20 hingga 30 peratus pesakit ekzema itu terdiri daripada kanak-kanak ini, kata Profesor Madya Mark Koh, Pengerusi dan Perunding Kanan di jabatan dermatologi hospital tersebut. 

Di NSC, pakar dermatologi kanan yang juga perunding utama Klinik Ekzema, Dr Yew Yik Weng, kata jumlah kes ekzema di NSC secara umum kekal stabil, tetapi jumlah kes ekzema tahap sederhana hingga parah mungkin telah meningkat sedikit. 

Ia telah menangani lebih 14,000 kes ekzema baru dalam setahun berakhir 31 Mac 2023.

Daripada kajian epidemiologi NSC, 25 peratus kes ekzema terdiri daripada kes sederhana dan parah, dengan 15 peratus kes sederhana dan 10 peratus kes parah, tambah Dr Yew. 

Menurut doktor, genetik serta haba dan kelembapan Singapura adalah sebab utama ekzema di sini.

“Alahan hama juga banyak menyumbang. Hama hidup dalam sekitaran lembap.

“Secara umum, haba, peluh dan habuk adalah antara pencetus paling lazim dan faktor yang memperburuk (keadaan) ekzema di Singapura,” ujar Dr Yew. 

Selain faktor alam sekitar, kes sederhana hingga parah boleh disebabkan masalah imun pesakit ini, tambah beliau. 

Sementara itu, Profesor Koh dari KKH berkata tekanan juga antara sebab penting kemunculan ekzema atopik dan terjadinya peningkatan jumlah kes ekzema atopik dalam kalangan masyarakat kelas sosioekonomi yang lebih tinggi.

Namun sebab terperincinya kurang jelas. 

Beliau menambah bahawa kebanyakan pesakit mempunyai keadaan genetik, dengan ahli keluarga lain yang juga menghidap dermatitis atopik atau penyakit atopik lain seperti rinitis alahan (sinus), semput dan alahan konjunktivitis. 

“Jika seorang daripada ibu bapa mempunyai penyakit atopik, setiap anak mempunyai risiko menghidap AD (dermatitis atopik) sebanyak 40 hingga 50 peratus; jika kededuanya pula, setiap anak mempunyai risiko menghidap AD sebanyak 70 hingga 80 peratus,” tambahnya. 

“Mutasi gen filaggrin (gen penting dalam fungsi penghalang kulit) ditemui dalam beberapa pesakit, namun bukan semua pesakit AD, tetapi ada sebab genetik lain yang belum diterangkan. 

Profesor Koh kata bahawa tanpa penyelesaian jangka panjang untuk menangani gejala ekzema, pesakit akan terus berada dalam kitaran berterusan ekzema diiringi dengan rasa gatal berterusan, sakit dan keradangan.

Sebelum ubat dupilumab, yang tergolong dalam kelas baru ubat biologi dan dijual dengan jenama Dupixent, dikeluarkan beberapa tahun lalu, pilihan rawatan bagi ekzema atopik tahap sederhana hingga parah agak terbatas.

Rawatan bagi kes sederhana antara lain termasuk perubahan gaya hidup, penggunaan ubat sapu mengandungi steroid dan penggunaan pelembap.

Namun, pesakit dengan kes sederhana hingga parah mungkin memerlukan fototerapi, dupilumab atau ubat kelas baru dikenali sebagai perencat JAK (Janus Kinase).

Dupilumab, ubat biologi pertama disahkan bagi rawatan dermatitis atopik paras sederhana hingga parah, merupakan satu-satunya terapi yang diluluskan di Singapura. 

Menurut Dr Yew, menerusi penggunaan dupilumab, terdapat pengurangan ketara pada rasa gatal, yang diikuti dengan ruam kulit yang berkurangan dalam tempoh sesingkat dua minggu bagi 25 peratus individu.

Ibu Faris mulanya menggunakan krim steroid dan pelembap, serta terapi balutan basah.
Ibu Faris mulanya menggunakan krim steroid dan pelembap, serta terapi balutan basah. - Foto ST

Hingga kini KKH sudah merawat lebih 250 kanak-kanak dan orang dewasa dengan dupilumab.

Antaranya ialah Faris Zafran, lima tahun, yang disyorkan agar menggunakan Dupixent apabila mendapat rawatan di hospital bagi ekzema teruk, dengan luka bernanah di kakinya. 

Dengan bantuan kewangan KKH dan insurans, dia kini mendapat rawatan tersebut setiap enam minggu.

Dia juga menggunakan pelembap dan krim steroid yang dibubuh pada beberapa bahagian badannya.

Ibunya, pakar operasi Syidatulindah Baharom, 42 tahun, berkata pada mulanya beliau menggunakan krim steroid yang disapu serta pelembap bagi Faris, dan juga terapi balutan basah.

Namun, dia cepat mendapat gatal-gatal baru lagi. 

Cik Syidatulindah menghidap penyakit ekzema di seluruh badannya sejak remaja dan mendapati ubat yang sama itu berkesan, tetapi terpaksa berhenti menggunakannya kerana tidak mampu membayarnya.

Beliau kini menggunakan krim steroid, ubat dan pelembap. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg