Jumlah mangsa yang meminta bantuan kerana diganggu dalam talian dan maklumat serta gambar peribadi mereka dikongsi di media sosial meningkat hampir dua kali ganda dari 2023 ke 2024.
SheCares@SCWO, yang membantu mangsa gangguan dalam talian, telah menolong 32 mangsa ‘doxxing’ pada 2024, naik dari 13 pada 2023.
‘Doxxing’ bermaksud identiti atau maklumat peribadi seseorang disebarkan dalam talian tanpa izin untuk mengganggu atau menimbulkan kebimbangan.
Bagi kes gangguan dan buli siber, jumlahnya meningkat dari 48 pada 2023 kepada 80 pada 2024.
Jumlah mangsa yang mengalami penderaan seksual akibat perkongsian imej atau video intim secara tidak sah, meningkat dari 27 kepada 46 dari 2023 ke 2024, lapor The Straits Times.
Secara keseluruhan, SheCares@SCWO membantu 158 mangsa pada 2024, meningkat dari 99 pada 2023, tahun pertama operasi mereka.
Separuh daripada mangsa yang menghubungi pusat itu mengalami pelbagai gangguan dalam talian pada masa yang sama.
Angka terbaru ini dikeluarkan oleh SG Her Empowerment (SHE) dalam laporan baru mengenai gangguan dalam talian, sempena simposium tahunan organisasi itu pada 24 Februari.
Acara ini diadakan di YWCA Fort Canning dan dihadiri oleh kumpulan wanita dan rakan-rakan SHE.
Peningkatan kes penderaan seksual yang dipermudahkan dengan penggunaan teknologi juga diamati di Pusat Penjagaan Serangan Seksual kendalian Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware), yang menyokong mangsa jenayah seksual.
Pada 2023, Aware menerima 113 kes keganasan seksual yang melibatkan teknologi, dengan peningkatan 19 peratus dalam kes penderaan seksual berdasarkan perkongsian imej atau video intim secara tidak sah, berbanding 2021.
SheCares@SCWO, yang dikendalikan oleh SHE dan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura, menyediakan talian bantuan, kaunseling dan panduan undang-undang percuma untuk mangsa.
Pusat itu juga bekerjasama dengan polis untuk mempercepatkan kes serius dan melaporkan kandungan berbahaya kepada platform seperti Meta, X dan TikTok.
Kajian Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) mendapati kebanyakan syarikat media sosial mengambil masa purata lima hari atau lebih untuk bertindak susulan laporan kandungan berbahaya.
Dengan bantuan SHE yang terus melaporkan kepada platform dalam talian, 45 peratus hantaran yang mendatangkan bahaya kepada kliennya dipadam dalam masa 24 jam, manakala lebih 70 peratus dipadam dalam masa 72 jam.
Sembilan daripada 10 klien pusat ini adalah wanita.
Mangsa lelaki yang dilihat di pusat itu kebanyakannya berhadapan dengan ‘sextortion’, iaitu ancaman untuk menyebarkan kandungan eksplisit kecuali jika sejumlah wang dibayar.
Ketua Pegawai Operasi SHE, Cik How Kay Lii, berkata peningkatan kes gangguan dalam talian sebahagiannya disebabkan oleh usaha mereka dan kesedaran yang lebih tinggi sejak dua tahun lalu (2023).
“Namun, kami juga sedar bahawa banyak kes yang tidak dilaporkan, kerana tingkah laku negatif dalam talian kini dianggap biasa.
“Berdasarkan usaha kami, kami tahu masih ramai mangsa yang belum tampil membuat laporan,” katanya.
SHE melancarkan panduan dalam talian tentang cara mengatasi gangguan siber semasa simposium sehari, yang merangkumi perbincangan tentang misogini dalam talian dan bengkel sokongan untuk mangsa gangguan dalam talian.
Panduan ini memberi nasihat mengenai tempat untuk mendapatkan bantuan dan cara mengenal pasti serta menolong golongan yang terjejas.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang berucap di acara tersebut, berkata kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupan harian dan mengubah cara orang ramai bekerja dan berinteraksi.
Namun, AI generatif juga telah mencipta palsu mendalam atau ‘deepfake’ yang lebih meyakinkan – satu masalah besar, tambahnya.
‘Deepfake’ ialah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Cik Rahayu berkata pemerintah sedang meningkatkan langkah untuk mengawal ruang dalam talian dan melindungi mangsa dari gangguan.
Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling yang berucap pada penutup acara itu pula berkata membina persekitaran selamat untuk wanita dan gadis memerlukan lebih daripada perlindungan undang-undang yang lebih kuat.
“Norma yang sudah tertanam dalam masyarakat mempengaruhi cara wanita dilayan, cara wanita dituturkan dalam talian dan luar talian, bagaimana sumbangan wanita dihargai atau sebaliknya.
“Jika tidak dicabar untuk ubah, sikap berbahaya ini boleh menyebabkan tingkah laku yang berbahaya dan ini akan mengehadkan kebebasan dan keupayaan wanita untuk berkembang maju,” kata Cik Sun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg