Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat gambar lucah ‘deepfake’ pelajar Sekolah Sukan

Nov 12, 2024 | 7:00 PM
Menurut bapa seorang mangsa, sekumpulan budak lelaki mula mengeluarkan dan menyebarkan imej lucah ‘deepfake’ rakan sekolah perempuan mereka pada Jun.
Menurut bapa seorang mangsa, sekumpulan budak lelaki mula mengeluarkan dan menyebarkan imej lucah ‘deepfake’ rakan sekolah perempuan mereka pada Jun. - Foto ST

Polis sedang menyiasat gambar lucah ‘deepfake’ pelajar Sekolah Sukan Singapura (SSP) yang dicipta dan disebarkan pelajar lain.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), pengetua sekolah, Encik Ong Kim Soon, berkata SSP “sedar tentang kejadian yang melibatkan penciptaan dan perkongsian foto ‘deepfake’ atau gambar yang dipalsukan, oleh pelajar kami”.

“Pihak sekolah tidak membenarkan tingkah laku merosakkan itu,” katanya, sambil menambah bahawa SSP telah melancarkan siasatan dan membuat laporan polis.

Polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

Seorang pembaca, yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa seorang mangsa, telah memaklumkan ST melalui e-mel pada 12 November mengenai imej lucah ‘deepfake’ yang disebarkan.

Ketika dihubungi, bapa mangsa itu berkata guru wanita turut menjadi sasaran dan pihak sekolah telah menawarkan kaunseling kepada pelajar terjejas.

Encik Ong menambah, pihak sekolah tidak dapat berkongsi maklumat lanjut kerana siasatan polis sedang dijalankan.

Dalam mesej WhatsApp yang dihantar kepada ibu bapa, sekolah itu berkata jawatankuasa disiplinnya sedang bekerjasama dengan polis untuk menangani perkara itu dan ia akan memaklumkan kepada ibu bapa jika ada “perkembangan penting”.

Polis telah diberikan pautan laman web yang berkaitan dengan kes itu dan membantu dalam meminta pembuangan semua imej berkaitan dari laman web tersebut.

“Semua pelajar yang terlibat sedang disoal siasat oleh pihak polis dan peranti mudah alih mereka telah dirampas sementara untuk pemeriksaan forensik,” kata mesej itu.

Langkah itu adalah untuk mengenal pasti dan menghapuskan sebarang kandungan yang tidak sesuai yang masih tertinggal.

Peranti tersebut akan dibersihkan daripada kandungan sedemikian sebelum dikembalikan kepada pelajar, kata sekolah itu, sambil menambah bahawa polis telah meminta kebenaran untuk menjalankan temu bual melalui telefon dengan beberapa pelajar yang terjejas.

Menurut mesej itu juga, pihak sekolah telah mula mengenakan tindakan disiplin, termasuk merotan beberapa pelajar, larangan menyertai lawatan sukan dan penggantungan dari sekolah, latihan serta penginapan asrama, mengikut kesesuaian.

Seorang bapa mangsa memberitahu saluran berita CNA bahawa sekumpulan budak lelaki mula mengeluarkan dan mengedarkan imej lucah ‘deepfake’ rakan sekolah perempuan mereka pada Jun.

Beliau dimaklumkan mengenai kes itu pada 11 November semasa panggilan dengan mentor anak perempuannya.

Kejadian itu berlaku susulan kebimbangan terhadap perkhidmatan ‘deepfake’ berdasarkan permintaan yang kini mudah diakses.

Ia membolehkan pengguna menghasilkan ‘deepfake’ realistik dalam beberapa saat sahaja dan selalunya secara percuma.

Hanya dengan memuat naik gambar wajah seseorang ke laman web yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggabungkannya dengan tubuh digital, gambar lucah ‘deepfake’ boleh dicipta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg