Cik Zoe Lalitha, seorang jurulatih kecergasan, sedang menunggu di platform MRT Serangoon pada 10 Oktober 2024, apabila beliau terlihat seorang budak lelaki sedang bergerak dengan cara yang mencurigakan.
“Dia nampak (seperti) baru berumur sekitar 11 atau 12 tahun. Dia asyik meninjau keadaan sekeliling untuk melihat jika ada sesiapa yang sedang memandangnya, dan matanya tertumpu pada wanita di hadapan saya,” kata Cik Zoe, 56 tahun.
Apabila Cik Zoe melihat budak lelaki itu cuba mengambil gambar bawah skirt wanita itu menggunakan telefonnya, beliau segera menghampirinya, menepuk lengannya dan memarahinya.
Mangsa sedang leka menggunakan telefon bimbit dan tidak menyedari perkara yang telah berlaku sehingga diberitahu oleh Cik Zoe.
Kededua wanita itu kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada kakitangan SMRT.
Cik Zoe merupakan salah seorang daripada 15 individu yang menerima anugerah pada Majlis Anugerah Semangat Awam (PSA) Komand Keselamatan Pengangkutan Awam (TransCom) di Dewan Pegawai Kanan Polis pada 8 Januari, lapor The Straits Times (ST).
Penolong Pesuruhjaya Polis dan Komander TransCom, Encik Masagoes Idris Hussain, meluahkan rasa penghargaan beliau kepada para penerima anugerah atas semangat kemasyarakatan mereka dalam menjadikan rangkaian pengangkutan awam sebagai tempat yang lebih selamat dan terjamin.
Cik Zoe menjelaskan bahawa beliau nampak budak lelaki itu sedang membuka aplikasi kamera pada telefonnya dan mendekati wanita tersebut untuk mengambil gambar bawah skirt.
Apabila Cik Zoe bersemuka dengannya, budak itu cuba menafikan tindakannya.
Budak itu akhirnya mengaku dan merayu agar Cik Zoe tidak menghubungi polis, namun, Cik Zoe perlu bertegas dalam perkara itu.
Cik Zoe berharap insiden itu dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kes sebegini, dan berkata:
“Dalam era digital, ramai daripada kita sering terpaku dengan peranti kita. Kita perlu sesekali memandang ke atas dan memerhati keadaan sekeliling. Saya juga berharap kita dapat saling menjaga antara satu sama lain sebagai sebuah masyarakat.”
Penerima anugerah lain yang mendapat pengiktirafan atas semangat kemasyarakatan mereka termasuk Encik Chew Kian Leong Daniel, 43 tahun, seorang pengurus besar ruang niaga di Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang telah mencegah kejadian pengambilan gambar bawah skirt di stesen Woodlands; dan Cik Tan How Miang, 55 tahun, pengurus kanan stesen TEL Orchard, yang membantu seorang wanita membuat laporan tentang lelaki yang mengganggunya di dalam tren.
Kes mencabul kehormatan dan perbuatan intai (voyeurism) meningkat pada separuh pertama 2024, dengan pengangkutan awam menjadi antara tiga lokasi tumpuan bagi kejadian kes sebegini.
Bagi mencegah jenayah tersebut, polis antaranya telah bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC), untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenayah ini di dalam pengangkutan awam.
Langkah ini termasuk menyiarkan mesej anti-voyeurisme yang memberi amaran tentang mencabul kehormatan serta pengambilan gambar dan video bawah skirt penumpang lain di semua stesen MRT semasa waktu sibuk.
Mereka yang disabitkan kesalahan mencabul kehormatan orang lain boleh dipenjara sehingga tiga tahun, dikenakan denda, dirotan, atau mana-mana gabungan daripada ketiga-tiga hukuman tersebut.
Manakala mereka yang disabitkan kesalahan voyeurisme boleh dipenjara sehingga dua tahun bersama denda atau rotan.
Hukuman boleh ditambah jika jenayah tersebut dilakukan terhadap seseorang yang berumur bawah 14 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg