Mereka yang melatih pengamal kewangan di Singapura harus mempunyai kelayakan profesional minimum dan dikawal selia, kata sebuah badan industri.
Persatuan Pengamal Insurans dan Kewangan Singapura (Ifpas) pada 26 November berkata dalam satu kenyataan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan individu yang menyediakan latihan sedemikian walaupun mereka sendiri tidak terlatih dalam bidang kewangan atau merupakan pengamal kewangan yang tidak berlesen.
Jurulatih tersebut sering mengenakan bayaran apabila mengajar teknik menjual atau memberi nasihat, dan boleh mempengaruhi cara pengamal kewangan mendekati pengguna, tambahnya.
Jurulatih harus memiliki kelayakan dalam bidang kewangan yang diiktiraf dan pengalaman relevan untuk melatih pengamal kewangan, tegas Ifpas.
Ia menambah bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) harus memantau kandungan dan metodologi latihan yang disampaikan jurulatih bagi memastikan apa yang mereka ajar selaras dengan piawaian peraturan dan etika, lapor The Straits Times.
Bagi memastikan kebertanggungjawaban dan kualiti latihan, MAS juga harus menyediakan rangka kerja untuk mengawal selia individu atau entiti yang menyediakan latihan profesional dalam sektor perkhidmatan kewangan, cadangnya.
“Jurulatih yang tidak dikawal selia, terutama yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kewangan atau pengalaman yang relevan, mungkin tanpa disedari, menyebarkan amalan yang tidak selaras dengan garis panduan dan jangkaan MAS untuk kerjaya sebagai penasihat kewangan,” kata Ifpas.
Kenyataan Ifpas itu dikeluarkan hampir dua minggu selepas ahli lembaga MAS, Encik Alvin Tan, berkata di Parlimen bahawa pempengaruh kewangan yang memberikan nasihat kewangan mesti berlesen dan dikawal selia di bawah Akta Penasihat Kewangan.
Dikenali juga sebagai ‘finfluencers’, singkatan untuk financial influencers, pempengaruh kewangan itu, yang semakin popular, berkongsi petua dan pandangan mengenai topik berkaitan kewangan seperti pelaburan dan perancangan belanjawan melalui media sosial.
Pada 13 November, Encik Tan berkata institusi kewangan yang mengambil pempengaruh kewangan untuk mengiklankan produk atau perkhidmatan mereka perlu memastikan individu tersebut menyampaikan maklumat dengan cara yang jelas dan seimbang yang menunjukkan ciri-ciri dan risiko apabila membuat keputusan kewangan.
MAS menjelaskan bahawa individu yang dibayar untuk membuat cadangan atau menyatakan pendapat mengenai pembelian, penjualan atau pemegangan produk pelaburan akan dianggap sebagai memberikan nasihat kewangan.
“
“Jurulatih yang tidak dikawal selia, terutama yang tidak mempunyai kelayakan dalam bidang kewangan atau pengalaman yang relevan, mungkin tanpa disedari, menyebarkan amalan yang tidak selaras dengan garis panduan dan jangkaan MAS untuk kerjaya sebagai penasihat kewangan.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg