Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari keuntungan mudah ke penderitaan memilukan

Lebih ramai terpedaya dengan muslihat penipuan dan jadi mangsa pelaburan palsu
Sep 8, 2024 | 5:30 AM
Jangan terpedaya dengan keuntungan besar yang dijanjikan oleh pelaburan palsu yang tidak dikawal atau ditadbir oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Jangan terpedaya dengan keuntungan besar yang dijanjikan oleh pelaburan palsu yang tidak dikawal atau ditadbir oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS). - Foto ISTOCKPHOTO

Telefon anda berbunyi. Anda disertakan dalam WhatsApp Chat yang kerap mempromosikan pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi tanpa risiko. Anggota lain mempamerkan “keuntungan” mereka yang menakjubkan, menggesa anda supaya menyertai pelaburan tersebut.

Bagi sesetengah orang, ini mungkin sesuatu yang mencurigakan. Namun, masih ramai yang terpedaya dan terperangkap.

Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan angka penipuan bagi kes pelaburan palsu terus naik mendadak. Pada separuh pertama 2024, kes yang dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda kepada 3,330 daripada 1,577 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Penipuan ini mengakibatkan kerugian yang besar, dan ada antara mangsa kehilangan purata $40,080 bagi setiap kes. Hanya penipuan penyamaran pegawai pemerintah menyebabkan kerugian yang lebih tinggi, iaitu kira-kira $116,534 setiap kes.

Mengapakah lebih ramai orang menjadi mangsa penipuan pelaburan, dan mengapa kerugiannya begitu tinggi?

Superintenden Polis Rosie Ann McIntyre, penolong pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, berkata kaedah penipuan kompleks digunakan.

“Dalam melakukan penipuan pelaburan terutamanya, mereka (penipu) mengambil masa untuk berkawan dan menyakinkan si mangsa dalam tempoh yang tertentu (bagi membina kepercayaan),” jelasnya. Akibatnya, mangsa cenderung “membuat banyak urus niaga dan (akhirnya kehilangan) sejumlah wang yang besar”.

Polis mengenal pasti tiga variasi penipuan pelaburan biasa di Singapura:

*Kumpulan sembang pada platform mesej pesanan: Mangsa dimasukkan dalam kumpulan sembang (chat) atau saluran di platform komunikasi seperti Telegram, Facebook dan WhatsApp, di mana “peluang pelaburan yang menguntungkan” dipromosikan. Bagi menjadikan penipuan itu kelihatan sahih, anggota lain dalam kumpulan sembang (yang juga penipu) turut berkongsi tangkap layar palsu keuntungan mereka.

*Berteman dengan modus penipuan ‘pig butchering’: Penipu menghubungi mangsa dan berkawan melalui platform media sosial, atau dalam aplikasi janji temu (seperti Coffee Meets Bagel). Penipu akan membina kepercayaan sebelum memperkenalkan pelaburan palsu. Mangsa sering menerima pulangan awal, menyebabkan mereka yakin pelaburan itu adalah benar. Penipuan itu akhirnya terbongkar apabila mereka tidak dapat mengeluarkan “keuntungan” mereka walaupun telah membayar “yuran pentadbiran” yang besar. Penipu itu juga lenyap dan tidak dapat dihubungi.

*Iklan dalam talian: Mangsa menemui “peluang pelaburan” dalam iklan atau rencana Facebook ketika melungsuri Internet. Rencana dan iklan ini biasanya menggunakan tajuk yang menarik perhatian (seperti “penangkapan” atau “pengeluaran maklumat rahsia”) dan menampilkan selebriti tempatan atau tokoh politik yang mencadangkan “peluang pelaburan”.

Jadi, bagaimana anda boleh melindungi diri anda? “Lakukan semua pemeriksaan yang diperlukan sebelum berurusan dengan mana-mana individu yang menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan,” nasihat jurucakap daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

MAS menggalakkan pelabur dan orang ramai agar berurusan hanya dengan individu yang berkelayakan dan bertauliah kerana ini dapat memberikan perlindungan yang sewajarnya kepada mereka.

“Hanya berurusan dengan individu yang berkelayakan, termasuk lihat rekod prestasi mereka dan latar belakang individu yang menjalankan operasi dan pelaburan tersebut. Bertemu secara fizikal bersama wakil tersebut,” tambah jurucakap itu.

Pelabur boleh menyemak Direktori Institusi Kewangan MAS (eservices.mas.gov.sg/fid) untuk mendapatkan senarai lengkap individu atau pegawai yang berkelayakan yang dikawal MAS dan kegiatan yang boleh mereka sediakan kepada pelabur.

“Jika anda melabur dalam produk yang tidak dikawal atau ditadbir oleh MAS, anda tidak dapat dibantu jika anda menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kembali aset anda, atau jika anda mengalami ketidakadilan atau dimanipulasi dalam pelaburan,” kata jurucakap itu.

Jangan terpedaya dengan pelaburan palsu yang menguntungkan. Semak dahulu sebelum anda bertindak.
Jangan terpedaya dengan pelaburan palsu yang menguntungkan. Semak dahulu sebelum anda bertindak. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Berhati-hati dan jangan jadi mangsa pelaburan palsu. Ikuti langkah berikut dan pastikan wang anda selamat.
Berhati-hati dan jangan jadi mangsa pelaburan palsu. Ikuti langkah berikut dan pastikan wang anda selamat. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg