Topik diikuti
Pergi ke BHkuJururawat berpengalaman tekad dalami bidang dialisis seiring perkembangan teknologi
Jururawat berpengalaman tekad dalami bidang dialisis seiring perkembangan teknologi
Diiktiraf Anugerah Pembangunan Tenaga Manusia Penjagaan Masyarakat atas komitmen dalam pendidikan berterusan
Jururawat berpengalaman tekad dalami bidang dialisis seiring perkembangan teknologi
Meskipun sudah berpengalaman luas dalam bidang kejururawatan sejak 2000, Cik Rashidah Mohamad Rais, tetap bertekad bulat mendalami bidang perubatan dan kesihatan yang pesat berkembang.
Sejak kecerdasan buatan (AI) serta sumber teknologi lain semakin kerap digunakan, ibu dua cahaya mata itu memerhatikan kian ramai pesakit terdedah kepada maklumat rawatan dan kesihatan yang kurang tepat.
Pengalaman tersebut mendorong Penolong Jururawat Klinikal di Pusat Dialisis Buah Pinggang Tzu Chi di Buangkok berusia 46 tahun itu mengambil Diploma Lanjutan Kejururawatan (Pengurusan Dialisis Buah Pinggang) di Politeknik Nanyang (NYP) sejak Oktober 2025, agar dapat berkhidmat dengan lebih berkesan mengikut peredaran zaman.
Beliau merupakan antara 134 penerima Anugerah Pembangunan Tenaga Manusia Penjagaan Masyarakat (CCMDA) 2026 oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) pada 7 Mei lalu di Dewan Orchid Marina Bay Sands, atas komitmen beliau terhadap pendidikan berterusan dan pembangunan kerjaya.
Majlis tersebut turut meraikan sembilan individu yang lulus Program Kepimpinan Kejururawatan Penjagaan Masyarakat (CCNLP), yang melengkapkan mereka dengan keupayaan berkhidmat sebagai pemimpin.
Anugerah tersebut menyediakan sokongan dana bagi kakitangan sedia ada serta yang baru untuk melanjutkan pengajian akademik secara rasmi, mengikuti latihan berasaskan kemahiran, serta latihan amali merangkumi khidmat klinikal dan kemasyarakatan.
Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, hadir sebagai tetamu terhormat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan usaha menyeluruh bagi mempertingkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada dan baru amat diperlukan, demi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan di Singapura yang kian meningkat.
“Sambil kami melatih golongan karyawan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masyarakat yang semakin menua, kami juga perlu menilai semula cara penjagaan warga emas dirancang dan disampaikan.
“Kini, rakyat Singapura hidup lebih lama, dan mereka mempunyai pelbagai keperluan kesihatan serta sosial, termasuk sokongan kesihatan mental, pemulihan selepas jatuh sakit atau cedera, sehingga penjagaan paliatif di peringkat akhir hayat,” katanya.
Dalam pada itu, Cik Rahayu menekankan penjagaan itu perlu disampaikan di luar hospital secara lancar dan mudah diakses, terutama dalam kalangan masyarakat.
Melalui langkah meningkatkan kemahiran di peringkat nasional, seperti CCMDA dan CCNLP, lebih ramai pakar penjagaan kemasyarakatan dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk menepati tuntutan penjagaan yang semakin luas, tambahnya.
Sejak dilancarkan pada 2017, Anugerah CCMDA telah menyokong proses pembangunan itu bagi lebih 1,200 individu daripada pelbagai sektor.
Walaupun mempunyai ilmu dan pengalaman lebih dua dekad, Cik Rashidah mengakui bukan mudah untuk beliau menyesuaikan diri dengan rawatan dan tanggungjawab bidang pengkhususan dialisis yang baru.
Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau berkata:
“Meskipun sudah bertahun-tahun berpengalaman, saya tetap berasa kerdil dan keliru apabila beralih dari hospital umum kepada rawatan dialisis.
“Dalam rawatan dialisis, kami mempunyai lebih tanggungjawab tanpa kehadiran doktor.
“Secara perlahan-lahan, saya belajar sekali lagi, malah ada kalanya mengambil nasihat daripada beberapa pesakit juga.
“Dunia kejururawatan sentiasa berkembang dan berubah, dan saya juga perlu mendalami dan mengikuti bidang rawatan dialisis,” kongsinya.
Cik Rashidah memulakan khidmatnya di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 2000, sebelum beralih ke bidang kejururawatan dialisis di Yayasan Dialisis Buah Pinggang (KDF) pada 2015.
Beliau kemudian bertugas di Pusat Dialisis Hospital Kemasyarakatan Thye Hua Kwan (Ang Mo Kio) dari 2018 hingga 2024, dan kini bertugas di Pusat Dialisis Buah Pinggang Tzu Chi di Buangkok.
Sebelum melanjutkan pengajian di NYP, beliau sudah memiliki Diploma Kejururawatan dan Diploma Kejururawatan Lanjutan (Perubatan-Pembedahan).
“Saya tetap mahu menimba ilmu dan kemahiran khas untuk rawatan dialisis.
“Dengan kemahiran lanjutan, saya dapat berkhidmat kepada pesakit dengan lebih berkesan,” kongsinya.
Menerusi kursus tujuh bulan yang menggabungkan teori dan amali, Cik Rashidah kini lebih mahir menguruskan keperluan pesakit ginjal yang menjalani dialisis, lebih cekap mengendalikan mesin rawatan, serta lebih yakin melaksanakan prosedur seperti kanulasi darah – memasukkan tiub – dan selainnya.
Azam yang kukuh untuk meningkatkan mutu khidmatnya itu sebenarnya telah mula dipupuk sejak beliau masih remaja.
“Saya terharu melihat dedikasi dan keikhlasan jururawat yang menjaga bapa saya dengan bersungguh-sungguh setelah diserang angin ahmar.
“Walaupun ibu bapa saya berkata ia satu kerjaya yang mencabar, ia tidak menggoyahkan azam yang telah saya tetapkan,” kongsinya.
Selain perlu membahagikan masa antara tugas sepenuh masa dengan kelas, Cik Rashidah juga perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi dalam pembelajarannya.
“Perbezaannya sangat ketara.
“Pada mulanya, agak sukar untuk saya bertemu dengan anggota kumpulan secara dalam talian, sehinggakan anak-anak sering menyakat saya.
“Namun, mereka jugalah yang banyak membimbing saya,” seloroh Cik Rashidah.
Beliau mengakui kagum dengan kemudahan teknologi masa kini, terutama penggunaan AI untuk mencari bahan penyelidikan dengan pantas, berbanding kaedah tradisional seperti mengunjungi perpustakaan.
“Sepanjang proses itu, saya bersifat rendah hati walaupun saya sudah berpengalaman lama.
“Sokongan padu daripada keluarga dan rakan seperjuangan juga menjadi pemangkin.
“Memang mencabar untuk kembali membelek buku, namun selagi minat masih mendalam, kita seharusnya berani berikhtiar,” kata Cik Rashidah.
Dengan ilmu tambahan yang diperoleh, beliau turut berharap dapat membimbing jururawat muda.
