Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jururawat S’pura sahut panggilan sumbang kepakaran bantu mangsa Gaza

Cik Noor Haziah Hussain antara tiga petugas perubatan yang dikerah ke Kahirah, Mesir pada Sep
Sep 30, 2025 | 8:31 PM
Jururawat, sumbangan, Gaza
Pengurus jururawat kanan di jabatan pediatrik Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Noor Haziah Hussain, 46 tahun. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ukiran senyuman di wajah kanak-kanak Palestin yang sedang dirawat di Hospital Institut Nasser telah membuka hati Cik Noor Haziah Hussain, 46 tahun, seorang pengurus jururawat kanan di jabatan pediatrik Hospital Universiti Nasional (NUH) yang dikerah ke Kahirah, Mesir pada September.

Malah, peluang untuk berkongsi kepakarannya sebagai seorang pakar rawatan dialisis kanak-kanak yang berdepan dengan penyakit ginjal, merupakan detik keemasan dan peluang yang amat beliau mensyukuri dan tidak ingin beliau melepaskan.

Berbekal pengalaman kejururawatan lebih 26 tahun sejak berusia 19 tahun, Cik Noor Haziah merupakan antara 3 petugas perubatan Singapura yang telah diterbangkan oleh Singapura ke hospital tersebut atas permintaan pemerintah Mesir dari 20 hingga 22 September bagi membantu mangsa konflik dari Gaza.

Tugas mereka, antaranya, adalah untuk menjalankan rundingan pakar dan pemeriksaan wad bersama rakan sejawat Mesir di Hospital Institut Nasser.

Berkongsi pengalamannya di Podcast BHerbual No Tapis yang dihoskan oleh Koresponden Berita Harian (BH), Encik Anwar Saleh, Cik Noor Haziah berkata beliau bersyukur dapat diberikan peluang untuk menabur bakti mewakili Singapura dalam usaha tersebut.

“Kanak-kanak ini menghidapi penyakit kronik, tetapi mereka tetap mengukir senyuman yang murni dan sering kelihatan gembira. Saya dapat melihat keperluan mereka - makanan, minuman, mandi - semua terjaga dengan baik.

“Jadi sebagai seorang jururawat, ia memberi kesan kepada saya apabila melihat senyuman mereka. Ini satu nikmat bagi saya dan saya turut bersyukur dapat memberikan khidmat kepada kanak-kanak ini,” kata Cik Noor Haziah.

Cik Noor Haziah berkata beliau hanya diberitahu “lebih kurang tiga minggu” untuk membuat persiapan dan “serta-merta menyahut panggilan” tersebut memandangkan kepakaran beliau diperlukan untuk membantu merawat kanak-kanak Palestin yang terjejas akibat konflik di Gaza.

Selain beliau, pasukan Singapura tersebut merangkumi Profesor Yap Hui Kim, 71 tahun, ketua dan konsultan emeritus bagi jabatan nefrologi pediatrik, dialisis dan pemindahan buah pinggang di Institut Perubatan Kanak-Kanak Universiti Nasional Khoo Teck Puat di NUH.

Seorang lagi adalah Profesor Madya Klinikal Joyce Lam Ching Mei, 48 tahun, iaitu konsultan kanan bagi hematologi dan onkologi pediatrik di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).

Pada April, sebuah pasukan dari Singapura telah melawat Kahirah dan mengenal pasti penyakit darah dan buah pinggang sebagai isu yang memerlukan perhatian pakar.

Justeru, pasukan tiga orang ini telah dipilih berdasarkan tujuan lawatan tersebut kerana mereka mempunyai pengalaman meluas dalam merawat kanak-kanak.

Cik Noor Haziah berkata “semangat keakraban” bekerjasama dengan rakan sejawat di Mesir merupakan pengalaman manis baginya kerana mereka dapat berkongsi pengalaman, kepakaran dan pandangan meskipun mereka merupakan jururawat dan pakar perubatan dari negara yang berbeza.

“(Pakar perubatan di Mesir) amat peramah dan menyambut baik kehadiran kami bertiga dengan begitu meriah sekali. Mereka tahu ini bantuan daripada Singapura dan mereka amat menghargai.

“Dan kita juga berjaya menjalin hubungan dengan mereka dan melihat bagaimana kita dapat menolong mereka dan memberi penjagaan yang lebih baik berkaitan bidang khusus yang diperlukan oleh mereka,” kata Cik Noor Haziah.

Ketika ditanya sama ada beliau ingin dikerah sekali lagi sekiranya diberikan peluang, Cik Noor Haziah berkata:

“Kalau mereka memerlukan kepakaran saya untuk memberi rundingan, insyaAllah saya akan pergi, tapi jika mereka memerlukan kepakaran lain, saya ingin memberi peluang kepada orang lain dan amat mengalu-alukan mereka untuk menyahut panggilan ini”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg