Singapura akan menghantar satu lagi pasukan perubatan ke Mesir untuk merawat pelarian Palestin di sana, sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa konflik Gaza.
Buat masa ini satu pasukan doktor dan klinisian dari Singapura sedang berada di Kahirah untuk menyokong Institusi Nasser dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah mengerahkan dua pegawai ke sana untuk menyelaras bantuan dari Singapura.
Selain itu, negara ini juga akan menghantar alat prostetik atau anggota badan palsu untuk sekitar 100 rakyat Palestin yang hilang anggota badan dan sedang dirawat di Jordan atau hospital sementara di Gaza.
Ini di samping sumbangan AS$500,000 ($642,000) di bawah usaha Program Makanan Sedunia untuk meredakan keadaan hampir kebuluran di Gaza.
Bersama sumbangan sekitar $1.2 juta oleh Palang Merah Singapura, pakej bantuan ke-10 itu menjadikan jumlah bantuan kemanusiaan keseluruhan Singapura untuk Gaza lebih $24 juta, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di Parlimen pada 22 September.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai keadaan di Timur Tengah.
Sebanyak 13 soalan Parlimen telah difailkan Anggota Parlimen (AP), termasuk Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast;, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang); dan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), berhubung isu tersebut.
Menyifatkan tindakan Israel sebagai keterlaluan di Gaza, Dr Balakrishnan berkata operasi ketenteraan Israel – yang baru-baru ini dipergiat di Bandar Gaza – telah memburukkan lagi penderitaan berpanjangan dan genting (bagi) orang awam yang tidak bersalah.
Singapura mengecam pembunuhan orang awam yang tidak bersalah, kata Dr Balakrishnan, sambil berkata lebih 60,000 orang dilaporkan terbunuh, dengan sepertiga daripada mereka merupakan kanak-kanak.
Sementara itu, 90 peratus rumah dianggarkan telah musnah atau rosak, dengan sekolah, hospital dan rumah ibadah diserang.
Sekitar 1.9 juta, atau 90 peratus, penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal.
“Ini adalah keterlaluan dan tidak munasabah. Skala kematian orang awam amat mengerikan,” kata Dr Balakrishnan.
“Perbuatan (dengan) sengaja tidak membenarkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam melanggar undang-undang dan tidak boleh diterima.
“Pada pandangan kami, tindakan melampaui batas pemerintah Israel mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Perkhidmatan perubatan tidak berupaya dan tenggelam. Gaza hampir mencapai tahap kebuluran, yang boleh dielakkan sepenuhnya.
“Kita semua telah melihat gambar-gambar menyayat hati rakyat Gaza, termasuk kanak-kanak kecil yang mencari makanan,” tambah beliau.
Dr Balakrishnan berkata Singapura juga akan terus menyokong usaha antarabangsa dalam senario ‘Day-After’ – rancangan pembangunan semula Gaza – termasuk melalui Pelan Pembangunan Semula Arab.
Meskipun terlalu awal untuk berkongsi butiran lanjut, beliau berkata Singapura akan menyumbang bantuan kewangan dan barangan, tetapi “mesti ada gencatan senjata kekal terlebih dahulu, dan semua tebusan mesti dibebaskan tanpa syarat”.
Pada 21 September, Palang Merah Singapura telah menyerahkan bantuan bernilai kira-kira $1.2 juta kepada Bulan Sabit Merah Mesir dalam sumbangan terkininya untuk membantu menangani krisis pelarian Gaza.
Ia diumumkan sempena lawatan negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Mesir.
Singapura juga telah menjalankan beberapa operasi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang digugurkan dari udara sebelum ini, termasuk melalui pengerahan pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) ke Jordan pada Ogos.
Menjawab pertanyaan Encik Saktiandi tentang isu menjaga keamanan, Dr Balakrishnan berkata meskipun idea bagi misi penstabilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza sedang dibincangkan secara tidak rasmi, tiada cadangan rasmi bagi pasukan pengaman PBB di Gaza di peringkat Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
“Singapura akan mengkaji sebarang resolusi UNSC mengenai isu ini dengan teliti dan menilai bagaimana kita boleh menyokong pelaksanaannya, jika ia berlaku pada masa depan,” kata beliau.
Turut menyampaikan kenyataan berhubung isu Timur Tengah itu ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann.
Bercakap dalam bahasa Melayu, Dr Faishal berkata Singapura akan terus menyalurkan sokongan yang praktikal kepada usaha membina keupayaan Penguasa Palestin sebagai persediaan bagi pembentukan negara Palestin yang berdaulat satu hari nanti.
Bersama dengan sumbangan kemanusiaan oleh rakyat Singapura berbilang kaum, dan juga badan bukan pemerintah (NGO) setempat, seperti Humanity Matters, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan Mercy Relief, usaha tersebut akan mewujudkan keadaan yang membolehkan Palestin bangkit dan akhirnya memenuhi kriteria untuk diiktiraf sebagai sebuah negara.
“Saya akur bahawa kita berasa sedih, kecewa, bahkan marah dan jijik terhadap tindakan Israel.
“Namun saya terharu kerana walaupun kita mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai pendirian Singapura dalam isu ini, kita memahami bahawa untuk mencapai keputusan yang terbaik bagi Singapura, dasar luar negara perlu mengambil kira kerumitan di peringkat antarabangsa serta kepentingan nasional kita sendiri,” kata beliau.
Sementara itu, Cik Sim Ann, yang bercakap dalam bahasa Mandarin, berkata konflik Israel-Palestin berpotensi mencetus perselisihan – dalam kalangan sebahagian rakyat Singapura yang mempunyai pendapat berbeza mengenainya – jika tidak diuruskan dengan teliti.
“Jika tidak ditangani dengan baik, ia juga boleh menjejas perpaduan sosial kita. Justeru, pemerintah telah menjelaskan pendekatan dan kedudukan kami dengan teliti,” kata beliau.
“
“Tolak ansur wilayah dan politik adalah penting untuk menyelesaikan konflik ini. Rakyat Israel dan Palestin kededuanya wujud, dan kededuanya mempunyai tuntutan ke atas negara berdaulat di tanah air nenek moyang mereka. Tidak akan ada “sungai-ke-laut” untuk kededua belah pihak... Sebagai rakan kepada kededuanya, kami hanya boleh berharap bahawa dengan masa, akan ada kemahuan politik...daripada kededua pihak untuk mengadakan rundingan langsung mengenai penyelesaian dua negara, selaras dengan resolusi UNSC yang berkaitan.”“
“Saya ingin memberi jaminan bahawa mengiktiraf Palestin sebagai sebuah Negara sememangnya menjadi satu hasrat Singapura dan sesuatu yang sedang pemerintah usahakan. Ini adalah pendirian Singapura demi memastikan keamanan yang berkekalan bagi rakyat Palestin dan Israel… Walaupun buat masa ini kita belum mengiktiraf Palestin, ingin saya menegaskan dengan jelas kepada rakyat Singapura bahawa kita tidak pernah – dan tidak akan – hanya menjadi pemerhati yang berdiam diri terhadap tragedi yang sedang berlaku di Gaza.”“
“Ada yang melihat konflik Israel-Hamas sebagai konflik yang mempunyai sejarah lama dan rumit, dan sangat jauh dari Singapura, sementara yang lain sangat mengambil berat tentang nasib Palestin, khususnya kesakitan dan penderitaan orang awam di Gaza, dan mempunyai pandangan kuat tentang pendirian dasar luar yang perlu diambil oleh Singapura… Jika tidak ditangani dengan baik, ia juga boleh menjejas perpaduan sosial kita. Justeru, pemerintah telah menjelaskan pendekatan dan kedudukan kami dengan teliti.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg