Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jururawat utama NUH raih anugerah berprestij atas khidmat gigih 34 tahun

Fatimah Abdul Rahman antara 12 jururawat berdaftar terima anugerah jururawat Tan Chin Tuan 2025
Nov 21, 2025 | 5:00 PM
Fatimah Abdul Rahman, Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan, NUH, Rahayu Mahzam
Jururawat Berdaftar Utama di Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Fatimah Abdul Rahman (kiri), meraih tempat ketiga bagi Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2025 ke-19 dan menerimanya daripada Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, atas perkhidmatan gigihnya selama 34 tahun. - Foto BH oleh KHALID BABA

Jururawat Berdaftar Utama di Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Fatimah Abdul Rahman, sedang hamil hampir lima bulan dengan anak sulung apabila wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) melanda pada 2003.

Meskipun wabak itu meragut nyawa pesakit, malah rakan sekerjanya, Cik Fatimah, tetap gigih melaksanakan tanggungjawab dan terus berkhidmat.

Mengimbau peristiwa itu kepada Berita Harian (BH) pada 21 November, Cik Fatimah, 53 tahun, berkata:

“Walaupun saya risau tentang risiko mendapat Sars, saya juga lihat ketakutan pesakit, keluarga mereka dan rakan kerja… Jadi kami kekal berkhidmat dan memberi dorongan.”

Itu hanyalah satu contoh perkhidmatan gigih Cik Fatimah selama 34 tahun bertugas di NUH.

Semasa pandemik Covid-19 melanda, beliau memainkan peranan penting dalam usaha mengawal jangkitan, melatih rakan sekerja menggunakan respirator pembersih udara (PAPR) dan memastikan amalan keselamatan dipatuhi.

Dedikasinya melayakkan Cik Fatimah menjadi antara 12 penerima Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2025 ke-19 bagi jururawat berdaftar, di mana beliau meraih tempat ketiga, pada 21 November.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan paling berprestij yang meraikan sifat belas kasihan, dedikasi dan kecemerlangan jururawat berdaftar di hospital awam, swasta serta kemudahan penjagaan kesihatan pertengahan (ILTC), termasuk Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Turut hadir di majlis tersebut selaku tetamu terhormat ialah Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Berucap di auditorium Hospital Khoo Teck Puat, Cik Rahayu meraikan pencapaian kejururawatan selama 140 tahun di Singapura dan menonjolkan kerja keras serta dedikasi jururawat yang telah menyumbang dengan sepenuhnya di institusi penjagaan kesihatan hingga ke peringkat kejiranan.

Beliau menekankan “kepentingan jururawat berdaftar dalam pasukan yang memberikan penjagaan yang selamat, berkesan dan menumpu kepada pesakit”.

“... Mereka dilatih untuk memikul pelbagai tanggungjawab di seluruh rangkaian penjagaan. Ada juga yang mengambil peranan diperluas, seperti memberikan ubat mengikut protokol institusi dan melakukan balutan luka yang kompleks,” tambah Cik Rahayu.

Beliau turut menonjolkon perkhidmatan jururawat berdaftar kepada menjamin kesihatan dan kesejahteraan golongan senja yang ada demensia ringan dan mengalami pelbagai cabaran sosioekonomi.

Dalam pada itu, Cik Rahayu turut menampilkan minat jururawat berdaftar untuk meningkatkan kelayakan mereka untuk menjadi jururawat didaftar, atau jururawat registered, melalui diploma kerja sambil belajar dalam bidang kejururawatan selama tiga tahun, yang dilancarkan oleh Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada September 2024.

Cik Fatimah menonjolkan semangat itu melalui minatnya untuk memberikan rawatan terbaik mengikut perkembangan zaman, yang terserlah dalam usaha meningkatkan kemahirannya.

Jururawat seperti Cik Fatimah, biasanya menyokong jururawat didaftar, dan bertanggungjawab memberikan penjagaan harian di katil, termasuk mencegah luka dan menjaga kebersihan pesakit, serta memantau keadaan para pesakit.

Setelah melalui pelbagai kursus dan menyertai inisiatif pembaharuan jururawat berdaftar, Cik Fatimah, ibu tiga anak itu kini boleh melakukan lebih banyak perkhidmatan untuk para pesakitnya.

Misalnya, Cik Fatimah melalui Kursus Sijil Kompetensi (CoC) di ITE.

Cik Fatimah berkongsi, “Kini, saya boleh memberi ubat kepada pesakit dan memasang Kanula Intravena (tiub kepada saluran darah pesakit) secara bersendirian.”

Beliau juga mempelajari cara mengurus dan membangunkan pelan penjagaan individu untuk pesakit kritikal di unit kebergantungan tinggi.

Walaupun proses itu mencabar pada awalnya, Cik Fatimah tetap gembira kerana “ada lebih peluang untuk berinteraksi dengan para pesakit” dan “membina kepercayaan dengan mereka sambil memberi rawatan”.

Selain itu, Cik Fatimah juga belajar memanfaatkan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) daripada jururawat lebih muda, bagi mempertingkat mutu rawatannya.

Cik Fatimah bersyukur menerima anugerah itu sebagai penghargaan terhadap dedikasinya sebagai jururawat sejak 1991.

Beliau berkata, “Saya amat bersyukur kepada keluarga dan rakan-rakan yang telah berjuang bersama saya sepanjang masa ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg