Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan hospital masyarakat kian penting sedang penduduk semakin menua

Ye Kung turut umum latihan karyawan kesihatan bersekutu akan rangkumi modul teras dikongsi dalam tahun pertama kurikulum mulai 2027
Nov 20, 2025 | 5:49 PM
Ong Ye Kung, MOH, hospital masyarakat
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di acara pembukaan rasmi Hospital Masyarakat St Andrew’s (Bedok) di Bedok South Avenue 1 pada 20 November. - Foto ZAOBAO

Hospital masyarakat memainkan peranan semakin penting dalam sistem penjagaan kesihatan Singapura, dengan membantu menyederhanakan beban jumlah pesakit di hospital akut, terutamanya dengan penduduk yang semakin menua, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Dalam keadaan pascapandemik Covid-19, Encik Ong berkata hospital masyarakat dan Kemudahan Penjagaan Peralihan (TCF) telah membantu mengekalkan kadar penggunaan katil nasional di hospital akut pada sekitar 85 hingga 90 peratus.

Ini walaupun jumlah pesakit kian meningkat disebabkan penduduk yang semakin menua.

Meskipun ini mencerminkan beban kerja yang berat, ia “secara keseluruhannya, masih boleh diurus”, tambah beliau ketika berucap di acara pembukaan rasmi Hospital Masyarakat St Andrew’s (Bedok) pada 20 November.

Hospital masyarakat memberi tumpuan pada pemulihan pesakit yang stabil, manakala TCF menyediakan penjagaan dan sokongan kepada pesakit stabil yang memerlukan lebih banyak masa untuk memuktamadkan rancangan keluar hospital.

“Hospital masyarakat semakin penting dan merupakan bahagian integral dalam kesinambungan penjagaan sistem penjagaan kesihatan kita. Hospital ini lebih sesuai untuk kebanyakan pesakit, yang keadaannya stabil dan memerlukan sokongan pemulihan lebih daripada rawatan,” kata Encik Ong.

“Dengan melakukan apa yang mereka mahir, hospital masyarakat membantu menjadikan sistem penjagaan kesihatan kita lebih mampan dan menjimatkan kos,” tambah beliau.

Dengan pembukaan rasmi Hospital Masyarakat St Andrew’s (Bedok) di Bedok South Avenue 1 – yang mempunyai 100 katil hospital masyarakat dan 140 katil TCF – ia akan membantu Hospital Besar Changi (CGH) menangani keperluan penjagaan kesihatan penduduk daerah timur Singapura.

Encik Ong menambah bahawa keadaan akan bertambah lebih baik apabila Hospital Besar Timur di Bedok North dibuka pada 2029.

Dalam ucapannya itu, Encik Ong turut berkata sektor kesihatan bersekutu sedang disemak, antaranya, dengan mengemas kini garis panduan pendapatan yang akan diterbitkan pada 2026.

Ini menyusuli peningkatan pendapatan yang dilancarkan dalam kelompok penjagaan kesihatan awam pada 2025.

Sementara itu, transformasi juga akan dilakukan bagi latihan, dengan semua program latihan relevan untuk karyawan kesihatan bersekutu (AHP) akan mempunyai modul teras yang sama dalam kurikulum tahun pertama mereka.

Modul teras yang sama itu dijangka dilancarkan mulai 2027.

“Program tahun pertama yang sama memberi manfaat kepada pelajar, dengan menyediakan asas lebih kukuh. Ia membantu pelajar membuat keputusan dengan lebih baik tentang pengkhususan mereka setahun kemudian.

“Selepas tamat pengajian, mereka juga berada dalam kedudukan lebih baik untuk meneruskan pembelajaran, memperdalami lagi pengkhususan mereka atau memperolehi kemahiran AHP khusus sampingan yang baru,” kata Encik Ong.

Sejajar dengan pendekatan baru itu, beliau berkata karyawan sedemikian akan dikategorikan dalam tiga bidang.

Bidang pertama ialah psikososial dan tingkah laku, merangkumi pekerja penjagaan kesihatan seperti kaunselor klinikal, ahli psikologi dan pekerja sosial perubatan.

Bidang kedua ialah pemulihan dan fungsian, merangkumi ahli terapi pertuturan, ahli fisioterapi dan pakar podiatri.

Bidang ketiga ialah diagnostik dan terapeutik, merangkumi ahli terapi radiasi dan ahli teknologi makmal perubatan.

Selain modul yang sama dalam tahun pertama, laluan latihan AHP juga akan dibangunkan berdasarkan “blok pembelajaran”, dengan setiap blok mewakili tugas khusus yang dijangka dilakukan golongan karyawan itu dalam persekitaran kerja penjagaan kesihatan.

“Setiap blok juga boleh dikumpulkan untuk mendapatkan pensijilan atau kelayakan rasmi, sekali gus membolehkan AHP mempelbagaikan atau beralih kepada peranan baru sedang keperluan penjagaan berubah kemudian.

“Contohnya, seorang AHP yang dilatih melalui bidang pemulihan dan fungsian, boleh menceburi pengkhususan untuk menjadi ahli fisioterapi semasa pendidikan formalnya dan kemudian dalam kerjayanya, menjalani blok pembelajaran baru untuk turut layak sebagai ahli terapi pekerjaan,” kata Encik Ong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg