Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurutera LTA marah pekerja tapak binaan diberi kaunseling selepas video tular  

Aug 25, 2025 | 3:29 PM
Jurutera LTA, marah pekerja tapak binaan, kaunseling, video tular  
Dalam video yang tular itu, seorang lelaki yang memakai topi keselamatan putih dilihat menampar kepala pekerja yang memakai topi keselamatan kuning dengan sesuatu yang kelihatan seperti lesen memandu pekerja tersebut. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK SG ROAD VIGILANTE

Seorang jurutera Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang bertugas di tapak binaan di Tanah Merah telah diberi kaunseling selepas rakaman video kejadian membabitkan beliau dan seorang kakitangan kontraktor LTA tersebar di media sosial.

Salah satu rakaman video itu, yang dimuat naik di laman sosial Facebook Singapore Road Vigilante pada 24 Ogos, menjadi tular.

Setakat 25 Ogos, video tersebut menarik sekurang-kurangnya 370 komen, 580 reaksi dan 147,000 tontonan, dengan ramai netizen mengkritik kelakuan jurutera tersebut.

Video sama turut dimuat naik di laman media sosial lain, lapor The Straits Times (ST).

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang memakai topi keselamatan berwarna putih dilihat sedang memarahi seorang pekerja yang memakai topi keselamatan berwarna kuning, sambil menyoal pekerja itu tentang lesen memandu dan latihan yang diterimanya.

Menurut undang-undang Singapura, mereka yang bekerja di tapak binaan wajib memakai topi keselamatan berwarna bagi menunjukkan peranan masing-masing. 

Topi putih biasanya dipakai oleh pemilik, arkitek, jurutera atau kakitangan tapak.

Topi kuning pula dipakai oleh pekerja tapak binaan yang tidak mempunyai peranan penyeliaan.

Dalam video tersebut, lelaki bertopi putih itu turut dilihat menampar kepala lelaki bertopi kuning dengan sesuatu yang kelihatan seperti lesen memandu pekerja tersebut.

Beliau kemudian meninggikan suara, menyoal pekerja tersebut tentang apakah yang telah diajar di sekolah memandu, termasuk sama ada beliau diajar untuk memakai tali pinggang keselamatan ketika memandu.

Lelaki bertopi keselamatan putih itu kemudian mencampakkan kad tersebut ke tanah.

Dalam satu kiriman di Facebook pada 25 Ogos, LTA berkata: 

“Kami sedar tentang satu kejadian membabitkan seorang jurutera kami dan kakitangan kontraktor.

“Meskipun jurutera itu sedang menegur (pekerja tersebut) mengenai kelemahan dalam mematuhi keselamatan di tapak kerja, cara beliau melakukannya adalah tidak wajar.

“Kami tidak menyokong tingkah laku sedemikian.

“Jurutera tersebut juga telah diberi kaunseling dan diingatkan tentang piawaian tingkah laku yang perlu dipatuhi semua kakitangan.

“Beliau telah meluahkan rasa sesal atas tindakannya dan memohon maaf kepada kakitangan yang terlibat.

“Kami memandang serius perkara ini dan akan terus menekankan pentingnya tingkah laku profesional dan menghormati (pekerja) ketika menegakkan piawaian keselamatan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg