Para pekerja yang menyelamatkan seorang wanita daripada terjatuh ke dalam lubang benam di Tanjong Katong Road South berkata mereka bersyukur dapat membantu seorang insan kembali pulang kepada keluarga tersayang dengan selamat.
Penyelia tapak pembinaan, Encik Pitchai Udaiyappan Subbiah, berkata kepada pihak media di Istana pada 3 Ogos bahawa kejayaan menyelamatkan nyawa merupakan perkara paling bermakna dalam insiden tersebut.
“Kerana kami, sebuah keluarga kini selamat dan gembira – itu yang paling menggembirakan kami,” kata Encik Subbiah, 46 tahun, dalam bahasa Tamil.
“Penghargaan yang kami terima ini sudah lebih daripada cukup.”
Encik Subbiah bersama enam rakan sekerja berjaya menarik keluar wanita tersebut – pemandu sebuah kereta hitam yang terjatuh ke dalam lubang – menggunakan tali nilon.
Kejadian berlaku sekitar jam 5 petang pada 26 Julai, apabila lubang benam terbentuk di persimpangan Tanjong Katong Road dan Mountbatten Road, berhampiran kondominium One Amber.
Kesemua tujuh pekerja itu telah dijemput oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam ke rumah terbuka Hari Kebangsaan di Istana pada 3 Ogos.
“Kamu telah selamatkan nyawanya, terima kasih,” kata Presiden Tharman ketika berbual dengan pekerja tersebut di luar pejabatnya.
Presiden Tharman dan isterinya, Cik Jane Ittogi Shanmugaratnam, turut bertemu dengan 11 lelaki lain yang terlibat dalam operasi menyelamat ketika kebakaran di sebuah rumah kedai di River Valley pada April.
Dengan menggunakan perancah dari tapak binaan berdekatan, pekerja itu berjaya menyelamatkan beberapa kanak-kanak yang terperangkap di belebas tingkat tiga akibat kebakaran tersebut.
Encik Subbiah turut menyertai ribuan pengunjung ke kawasan Istana sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura.
Hujan renyai yang turun pada waktu tengah hari tidak menghalang para pengunjung daripada menikmati keindahan landskap tanam-tanaman.
Antara aktiviti ditawarkan termasuk lukisan muka, sukan inklusif seperti bola tampar duduk, serta seni dan kraf tangan.
Dianggarkan sekitar 12,000 orang hadir.
Encik Subbiah, yang telah bekerja di Singapura selama 22 tahun, berkata beliau gembira dapat melawat Istana buat kali pertama, setelah sekian lama hanya melihatnya dari luar.
Beliau pernah melihat Presiden Tharman secara langsung pada 2005 semasa satu acara masyarakat di Teban Gardens, tetapi amat berbesar hati dapat bertemu beliau kali ini sebagai tetamu jemputan.
Seorang lagi daripada tujuh penyelamat itu, pengendali jentera pengorek, Sathapillai Rajendran, berkata beliau berharap lebih ramai akan tampil membantu apabila berlaku kecemasan.
“Saya cuma rasa sangat bersyukur kerana wanita itu selamat,” kata lelaki berusia 56 tahun itu.
Presiden Tharman mengucapkan selamat maju jaya kepada para pekerja dan berterima kasih atas tindakan berani mereka.
Selepas pertemuan tersebut, setiap pekerja menerima cenderamata daripada Istana – sebatang pen berukir lambang Presiden – yang lazimnya diberikan kepada tetamu Presiden sebagai kenangan.
Selepas insiden lubang benam itu, organisasi sokongan pekerja migran ItsRainingRaincoats melancarkan kutipan dana bagi membantu para pekerja yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.
Kutipan awam itu berjaya mengumpul lebih daripada $72,000 yang akan diagihkan secara sama rata kepada mereka.
Organisasi tersebut merancang untuk mengadakan majlis kecil di premis mereka di Henderson Road pada 10 Ogos bagi menghargai jasa para pekerja dan mengumumkan penyaluran sumbangan ke akaun bank masing-masing.
ItsRainingRaincoats sebelum ini juga pernah mengumpul dana bagi pekerja-pekerja yang menyelamatkan kanak-kanak dalam kebakaran di River Valley.
15 pekerja yang terlibat menerima kira-kira $3,770 daripada jumlah $57,660 yang dikumpulkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg