Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jurutera tertarik sertai industri pusat data selepas jalani latihan amali

Timba pengalaman praktikal, persiap diri bagi cabaran teknologi masa depan dengan sokongan program Singtel
Aug 13, 2025 | 12:15 PM
Azizul Hakim, Tan Kiat How, singtel
Encik Azizul Hakeem Mohamed Saleem (kanan), jurutera muda yang menyertai latihan amali Singtel dan kini berperanan sebagai jurutera bersekutu, menerangkan tentang latihan amali yang diikutinya kepada Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How, di Hari Kerjaya Pusat Data (DC) AI Mampan baru-baru ini, yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur. - Foto SINGTEL

Ketika berusia 20 tahun, Encik Azizul Hakeem Mohamed Saleem, tertarik melihat syarikat gergasi telekomunikasi, Singtel, menawarkan program latihan amali.

Didorong minat bekerja dengan syarikat yang mantap, beliau menyertai program tersebut tanpa menjangka bahawa ia akan membuka laluan kerjaya dalam satu cabang teknologi yang baru baginya iaitu pusat data.

Pusat data merupakan kemudahan fizikal yang menempatkan sistem komputer, peranti penyimpanan dan peralatan rangkaian yang menyokong prasarana dan aplikasi teknologi maklumat (IT).

Dengan latar belakang kelulusan Nitec Lanjutan dalam bidang keselamatan siber, Encik Azizul mengorak langkah berani menceburi bidang yang asing baginya, tetapi kian penting dalam dunia digital hari ini.

“Saya hanya sedar yang saya sedang melakukan kerja pusat data apabila memulakan latihan amali selepas habis pelajaran teori dan peperiksaan.

“Pada ketika itu, saya sendiri tidak pasti apa maksud kerja pusat data. Orang jarang cakap tentang bidang ini dan ia bukan laluan kerjaya yang biasa,” kata Encik Azizul, 22 tahun.

“Namun selepas mula latihan, saya belajar banyak benda dan mula faham peranannya.

“Saya sedar kerja ini penting terutama semasa pandemik Covid-19.

“Banyak kerja lain boleh dilakukan dari rumah, tetapi kerja ini memerlukan kehadiran di tapak untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” tambahnya, yang hadir di Hari Kerjaya Pusat Data (DC) AI Mampan pada 25 Julai.

Sekitar 1,000 pelajar institut pengajian tinggi hadir di acara yang berlangsung di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu.

Encik Azizul juga mengakui pengalaman itu mematangkannya, terutama dengan tanggungjawab yang digalas.

Beliau ditugas mengendalikan sistem dengan tenaga kerja lebih kecil pada waktu malam – pengalaman yang memberinya kesedaran tentang betapa penting dan mencabar bidang ini.

“Semasa syif malam, kami bekerja dengan pasukan yang lebih kecil.

“Jadi saya perlu lebih berdikari untuk memantau sistem pusat data termasuk memeriksa sistem penyejukan serta penggunaan kuasa, dan pastikan tiada masalah.

“Kalau ada apa-apa berlaku, sayalah orang pertama yang perlu bertindak,” katanya.

Pengalaman itu mendorongnya mempertimbangkan program kerja sambil belajar bersama Nxera dan Singtel.

Hanya beberapa hari selepas tamat latihan amalinya, Encik Azizul terus mendaftar bagi program tersebut pada Oktober 2024.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian menerusi program Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) dalam prasarana dan Operasi Pusat Data, selaras dengan minatnya yang semakin mendalam serta permintaan tinggi dalam industri itu.

“Sebaik sahaja saya tamat latihan amali, dalam beberapa hari saja saya sudah mendaftar bagi program WSDip. Saya terus masuk sebab saya nampak peluang itu,” katanya.

Kini, setahun selepas menyertai program tersebut, Encik Azizul terus menumpu kepada penyelesaiannya dan menanam impian menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai salah seorang daripada hanya tiga pelajar dalam kohortnya, Encik Azizul kini berperanan sebagai jurutera bersekutu dan merancang melanjutkan pelajaran selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS).

“Tak ramai daripada kursus saya sampai ke tahap ini, jadi saya tidak ambil ringan.

“Sebagai jurutera bersekutu, saya masih belajar setiap hari.

“Selepas NS, saya bercadang untuk terus melanjutkan pengajian – mungkin mengambil ijazah di bawah Program Pemangkin SIT dan melihat sejauh mana saya boleh berkembang dalam bidang ini,” tambahnya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Encik Tan menekankan bahawa sokongan disediakan bagi lulusan ITE dan politeknik berbakat dalam bidang teknologi.

Seperti contoh sejak 2022, lebih daripada pekerjaan teknologi disediakan pihak majikan bagi lulusan ITE dan politeknik di bawah program Pemacu Kemahiran Teknologi bagi Sekutu ITE dan Politeknik, tambahnya.

Beliau turut menekankan tentang gaji median lulusan politeknik jurusan maklumat dan teknologi digital yang dilaporkan meningkat daripada $2,700 pada 2022 kepada $2,900 pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg