Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bermain bola lantai satukan masyarakat sambil beramal

Jul 28, 2025 | 5:30 AM
play4good, bola lantai, amal
Berbekalkan minat dan misi murni, Cik Eliya Mohamed Fawzi (kiri) dan Cik Hana Dafina Zulkiffli menerajui inisiatif ‘Play4Good’, acara bola lantai amal. - Foto BH oleh HUMAIRA SAFIYA MOHD HELMI

Dalam membakar semangat patriotik Hari Kebangsaan untuk berbakti melebihi jangkaan, dua anak muda menunjukkan bahawa sumbangan bermakna tidak semestinya datang daripada tokoh besar atau pertubuhan rasmi.

Kadangkala, ia bermula dengan hanya satu impian berbekal satu bola, dengan sandaran satu pasukan dan satu niat ikhlas.

Play4Good, satu inisiatif bola lantai amal 5-lawan-5 dengan pasukan bercampur jantina, diasaskan oleh anggota Kelab Bola Lantai Tampines, Cik Hana Dafina Zulkiffli, 23 tahun dan Cik Eliya Mohamed Fawzi, 21 tahun.

Mereka merupakan dua sahabat yang berkongsi minat mendalam terhadap sukan di samping prihatin pada masyarakat.

Apa yang bermula sebagai sesi santai ketika musim rehat, kelab mereka telah berkembang menjadi acara tahunan yang menyatukan semangat kesukanan seiring semangat memberi.

“Ia bermula daripada satu sesi kecil sahaja, tapi sambutannya luar biasa,” kongsi Cik Hana Dafina, perunding kewangan yang turut menggalas amanah sebagai penjaga gol pasukan.

Bersama Cik Eliya, seorang jururawat dan pelajar sambilan (Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan dari King’s College), mereka menyedari yuran yang dikenakan untuk bermain bola lantai boleh dimanfaatkan untuk tujuan lebih besar.

Maka lahirlah Play4Good, satu wadah sukan riadah.

Melaluinya, yuran dan jualan barangan disalurkan kepada badan-badan amal.

Daya usaha terkini mereka yang diusahakan pada Februari 2025 berjaya mengumpulkan $1,546 untuk wadah amal dalam talian, SedekahSG, manakala acara terdahulu turut menyokong inisiatif badan kemanusiaan, LoveAidSG.

Peserta turut diberi ruang mengundi badan pilihan mereka, menjadikan pengalaman memberi lebih bersifat kemasyarakatan.

Anjuran kali ketiga inisiatif Play4Good di Red Quarters Kallang.
Anjuran kali ketiga inisiatif Play4Good di Red Quarters Kallang. - Foto SXTY3.VISUALS

“Kami tidak melakukan inisiatif ini untuk menjadi hebat, sebaliknya kami cuma guna apa yang kami ada dan salurkan dengan niat yang baik,” kata Cik Hana Dafina.

Barangan eksklusif, Play4Good, yang direka sendiri oleh Cik Hana Dafina Zulkiffli dan Cik Eliya Mohamed Fawzi, menjadi pelengkap acara, memupuk rasa kebersamaan dan menyumbang kepada kutipan dana.
Barangan eksklusif, Play4Good, yang direka sendiri oleh Cik Hana Dafina Zulkiffli dan Cik Eliya Mohamed Fawzi, menjadi pelengkap acara, memupuk rasa kebersamaan dan menyumbang kepada kutipan dana. - Foto SXTY3.VISUALS

Namun, menganjurkan acara bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila dilakukan di luar waktu kerja.

Daripada mencari penaja, menyusun pasukan, mempromosi acara, hinggalah menguruskan logistik dan kutipan dana, semuanya dilakukan secara sukarela.

Namun, sokongan peserta dan rakan-rakan menjadi sumber pembakar semangat mereka menyebabkan ia terus membara.

Di sebalik cabaran yang dihadapi, dua pengasas projek itu percaya Play4Good memberi mereka peluang untuk mengetengahkan nilai yang tidak selalu dapat diketengahkan melalui kerjaya harian mereka.

Bagi mereka, hidup bukan sekadar mengejar pendapatan yang baik, bahkan tentang mencipta ruang untuk memberi dan mencari makna dalam tindakan kecil yang membawa kesan besar.

Antara kekuatan utama Play4Good ialah jalinan sokongan daripada perniagaan tempatan.

Lebih 10 penaja termasuk Broti, Authentic Katira, Brownieshbites dan Niskala Bakes, menyumbang dari segi produk dan dana, membuktikan bahawa usaha bersatu padu mampu digerakkan melalui kerjasama dan kepercayaan.

Cik Hana Dafina dan Cik Eliya bercita-cita mempertingkat skala Play4Good, bukan hanya dari segi kutipan dana, malah sebagai satu ruang masyarakat yang berterusan.

Mereka ingin mengukuhkan rangkaian kerjasama bersama perniagaan, membuka peluang bagi sukarelawan baru, dan memastikan lebih ramai belia dapat menikmati sukan sambil menyumbang.

Play4Good ialah satu contoh nyata bagaimana rakyat Singapura, walaupun dengan sumber terhad, mampu mencetus perubahan.

Ia meraikan kreativiti, daya usaha dan semangat muhibah, semuanya dalam bentuk yang menyeronokkan dan mudah disertai.

Sempena Hari Kebangsaan pada 9 Ogos ini, kisah Cik Hana Dafina dan Cik Eliya mengingatkan bahawa perpaduan dan sikap baik budi bukan sekadar cogan kata.

Ia sesuatu yang boleh dimulakan oleh sesiapa saja, di mana-mana jua, dengan apa yang ada di dalam tangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg