Murid-murid Darjah 1, Tadika 1 (K1), dan sekolah menengah di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) akan memulakan tahun persekolahan baru pada 2 Januari 2026.
Murid-murid Darjah 2 hingga 6 serta Tadika 2 (K2) akan mula bersekolah pada 5 Januari.
Hari terakhir persekolahan bagi pelajar tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah MOE adalah pada 20 November, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOE pada 30 Julai, lapor The Straits Times (ST).
Tarikh mula sekolah bagi pelajar tahun pertama di Maktab Rendah (JC) dan Institut Millennia (MI) ialah 4 Februari 2026.
Sementara itu, pelajar JC2 dan pelajar MI yang berada di tahun kedua atau ketiga akan kembali ke sekolah pada 12 Januari 2026.
Hari terakhir persekolahan bagi institusi yang digunakan sebagai tempat peperiksaan bertulis GCE Peringkat ‘O’ adalah pada 23 Oktober.
Pelajar JC1 dan pelajar MI tahun pertama atau kedua akan tamat sekolah pada 27 November.
Salah satu daripada tiga cuti sekolah yang dijadualkan pada 2026 ialah 6 Julai, yang jatuh pada Isnin selepas Hari Belia pada 5 Julai. Cuti lain termasuk Hari Guru pada 4 September dan Hari Kanak-Kanak pada 2 Oktober, kedua-duanya jatuh pada Jumaat.
Cuti umum untuk Hari Raya Puasa dijangka jatuh pada Sabtu, 21 Mac. Sekolah akan ditutup pada 23 Mac, namun ini masih tertakluk kepada pengesahan.
Oleh kerana Hari Vesak, Hari Kebangsaan dan Deepavali jatuh pada Ahad, Isnin berikutnya akan diisytiharkan sebagai cuti umum.
Jadual penggal dan cuti sekolah bagi 2026 boleh didapati di laman web MOE di https://www.moe.gov.sg/calendar.
Penduduk Singapura akan menikmati enam hujung minggu panjang pada 2026, menurut senarai cuti umum yang diwartakan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 16 Jun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg