Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian NIE teliti kesejahteraan pelajar perempuan di sekolah menengah terbaik

Jun 9, 2025 | 7:57 PM
Dr Jacqueline Lee Tille, NIE, pelajar perempuan, kesejahteraan
Penolong profesor di Jabatan Psikologi dan Pembangunan Kanak-kanak dan Manusia di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Jacqueline Lee Tilley, berkata ia merupakan kajian berskala besar pertama yang menjejaki remaja perempuan di Singapura dalam tempoh masa yang agak panjang. - Foto ihsan DR JACQUELINE LEE TILLEY

Para penyelidik akan mengkaji bagaimana kehidupan di sekolah-sekolah terbaik di Singapura memberi kesan kepada kesejahteraan pelajar perempuan, yang didapati lebih berisiko mengalami tekanan dan tingkah laku bermasalah.

Kajian Institut Pendidikan Nasional (NIE) itu bertujuan merekrut seramai 4,200 pelajar sekolah menengah daripada tiga sekolah perempuan dan satu sekolah campuran di Singapura.

Sekolah campuran telah disertakan dalam kajian tersebut untuk menyelidik sekumpulan pelajar lelaki yang lebih kecil, sebagai perbandingan, menurut ketua penyelidik kajian tersebut, Dr Jacqueline Lee Tilley.

Kajian tersebut, yang akan dijalankan selama tiga tahun dari 2025 hingga 2028, adalah yang pertama seumpamanya di Singapura.

Ia meneliti pelbagai faktor yang mempengaruhi tingkah laku remaja perempuan di sekolah berprestasi tinggi.

Sekolah tersebut ditakrifkan oleh pasukan penyelidik itu sebagai sekolah di mana para pelajarnya secara konsisten menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan atau kegiatan kokurikulum.

Dr Tilley enggan mendedahkan nama empat sekolah tersebut, namun difahamkan salah satu daripadanya ialah Sekolah Perempuan Methodist, lapor The Straits Times (ST).

Para peserta akan mengambil bahagian dalam satu tinjauan dalam talian selama 45 minit setiap tahun, sehingga mereka tamat pengajian, atau sehingga kajian tersebut berakhir pada 2028.

Mereka juga mungkin akan dipelawa menyertai kajian susulan yang lain.

Soalan yang ditanya akan tertumpu kepada empat bidang iaitu kesejahteraan diri, kecekapan akademik dan pandangan mereka terhadap sekolah dan kehidupan keluarga.

Dr Tilley daripada Jabatan Psikologi dan Pembangunan Kanak-kanak dan Manusia di NIE, berkata ia merupakan kajian berskala besar pertama yang menjejaki remaja perempuan di Singapura dalam tempoh masa agak panjang.

Kajian tersebut akan turut melibatkan ibu bapa, guru, pemimpin sekolah dan kaunselor sekolah, melalui tinjauan, temu bual dan diari harian.

Matlamatnya adalah untuk melihat sama ada terdapat perbezaan pandangan antara golongan dewasa dengan pelajar, jelas Dr Tilley.

Idea kajian tersebut tercetus daripada penemuan kajian pada 1990-an oleh seorang profesor psikologi daripada Universiti Arizona State, Dr Suniya Luther, mengenai pelajar dalam masyarakat berprestasi tinggi di Amerika Syarikat.

“Beliau mendapati bahawa terdapat kadar penggunaan bahan terlarang dan kemurungan yang meningkat dan mengejutkan dalam kalangan remaja tersebut, berbanding apa yang biasanya dijangkakan mengikut norma negara,” kata Dr Tilley.

Dr Luther mendapati bahawa remaja di sekolah berprestasi tinggi di Amerika menunjukkan tahap kebimbangan dan kemurungan yang ketara secara klinikal, kira-kira enam hingga tujuh kali lebih tinggi daripada norma negara.

Selepas Dr Luther meninggal dunia, kajian beliau diteruskan oleh beberapa institut penyelidikan lain di Amerika, yang mula mengenal pasti sekolah berprestasi tinggi sebagai persekitaran berisiko tinggi terhadap kesejahteraan pelajar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg