Persatuan Ostomy Singapura (OAS) melancarkan kad pengenalan perubatan pada 5 Oktober.
Kad yang dikeluarkan persatuan itu khusus bagi mereka yang mempunyai stoma.
Tarikh 5 Oktober itu juga merupakan Hari Kesedaran Ostomy.
Stoma ialah tebukan yang dibuat melalui pembedahan di dalam perut yang membolehkan sisa badan seperti najis dan air kencing keluar daripada badan apabila laluan biasa tidak dapat berfungsi akibat penyakit atau kecederaan.
Dengan kad itu, OAS berharap mereka yang telah menjalani pembedahan stoma dapat berkomunikasi dengan orang awam tentang keperluan mereka dengan lebih mudah.
“Terdapat keperluan untuk mencari tandas yang mempunyai ruang dan kemudahan yang sesuai, seperti singki, tong sampah untuk membuang beg ostomy (kantung yang dipakai di bahagian luar badan untuk mengumpul najis yang dikeluarkan badan) terpakai dan ruang mencukupi untuk menguruskan beg tersebut tanpa diketahui orang,” kongsi Pengarah OAS, Encik Ellil Mathiyan Lakshmanan.
“Sering kali terdapat kekurangan pemahaman dan kesedaran tentang ostomy, yang boleh membuat ostomates (individu yang mempunyai stoma dan menggunakan beg ostomy) rasa terpinggir dan resah untuk menggunakan kemudahan awam,” tambah beliau.
OAS mengharapkan kira-kira 6,000 individu – anggaran pengguna beg ostomy di Singapura – dapat memanfaatkan kad itu, kerana ia diberi percuma kepada anggota OAS.
Buat masa sekarang, OAS mempunyai kira-kira 800 anggota, dan Encik Ellil menganggarkan 50 peratus daripada mereka akan memohon kad tersebut.
Pengguna beg ostomy yang berminat boleh memohon mendapatkan kad tersebut melalui laman web OAS di pautan, https://oas.org.sg/e-form/.
Pemohon dijangka boleh menerima kad mereka dalam tempoh dua minggu setelah permohonan dibuat.
Pengambilan pertama kad itu akan diadakan pada 12 Oktober sempena sambutan Hari Kesedaran Ostomy di Auditorium Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS).
Sambutan pada 2024 bertema, ‘Raikan Pemerkasaan – Bersatu demi Kekuatan & Sokongan’.
Acara anjuran bersama OAS dan Hospital Besar Singapura (SGH) akan berlangsung dari 2 hingga 6 petang.
Senarai program acara itu termasuk sesi perkongsian daripada karyawan penjagaan kesihatan, pesakit dan penjaga, persembahan serta reruai yang menawarkan barang kemas buatan tangan, keperluan mengait, sarung beg ostomy dan banyak lagi.
Terdapat juga reruai bagi ostomates memohon bagi mendapatkan kad pengenalan perubatan mereka.
“
“Terdapat keperluan untuk mencari tandas yang mempunyai ruang dan kemudahan yang sesuai, seperti singki, tong sampah untuk membuang beg ostomy (kantung yang dipakai di bahagian luar badan untuk mengumpul najis yang dikeluarkan badan) terpakai dan ruang mencukupi untuk menguruskan beg tersebut tanpa diketahui orang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg