Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mitos dan fakta mengenai gangguan tiroid

Sep 30, 2024 | 5:30 AM
Dr Reyaz Singaporewalla, Pengarah Perubatan Pembedahan dan Pakar Endoskopi ACE.
Dr Reyaz Singaporewalla, Pengarah Perubatan Pembedahan dan Pakar Endoskopi ACE. - Foto ihsan DR REYAZ SINGAPOREWALLA

Dengan perubahan gaya hidup, faktor persekitaran, dan peningkatan trend pemeriksaan kesihatan, bilangan kes gangguan tiroid seperti kelenjar tiroid membengkak yang dikesan pada individu tanpa gejala di Singapura semakin meningkat.

Walaupun kebanyakan benjolan tiroid yang ditemui melalui pemeriksaan ultrasound adalah ‘tidak berbahaya’, pakar tiroid juga melihat peningkatan kes barah tiroid tanpa gejala yang dikesan melalui saringan rutin.

Pengesanan awal barah tiroid semasa pemeriksaan kesihatan telah memberi peluang kepada pesakit untuk menjalani pembedahan dengan lebih cepat dan kembali kepada kehidupan sihat dengan lebih pantas.

MITOS 1: Barah tiroid sebabkan rasa sakit dan cepat berkembang

FAKTA: Pada peringkat awal, barah tiroid atau mana-mana jenis barah di kepala-leher biasanya tidak menyebabkan kesakitan.

Tanda paling biasa bagi barah tiroid adalah bengkak atau ketulan yang tidak sakit di bahagian depan leher.

Tambahan lagi, kebanyakan barah tiroid berkembang dengan perlahan.

Walaupun ia merebak ke nodus limfa di leher, ia masih tidak menunjukkan tanda ketara.

Pesakit biasanya hanya dapat rasa ketulan di bahagian depan atau sisi leher yang tidak hilang.

Individu yang mengalami keadaan itu dinasihatkan supaya tidak menunggu sehingga gejala seperti rasa sakit atau bengkak yang berterusan muncul sebelum mendapatkan rawatan.

Sebaiknya, mereka perlu menjalani pemeriksaan ultrasound pada bahagian tiroid dan leher dengan segera untuk mendapatkan kepastian dan rawatan awal.

MITOS 2: Gangguan tiroid hanya berlaku pada wanita

FAKTA: Masalah tiroid dan bengkak boleh berlaku pada lelaki dan wanita.

Menurut Persatuan Tiroid Amerika, wanita mempunyai lima hingga lapan kali ganda risiko lebih tinggi untuk mengalami gangguan tiroid berbanding lelaki.

Disebabkan kadar masalah tiroid yang lebih tinggi dalam kalangan wanita, barah tiroid juga lebih biasa ditemui pada kaum wanita.

Namun begitu, penting untuk diingat bahawa lelaki mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat barah tiroid berbanding wanita.

Oleh itu, lelaki juga perlu memberi perhatian pada sebarang bengkak atau ketulan di leher kerana ia mungkin merupakan tanda awal barah tiroid.

Usah abaikan tanda-tanda itu dan segera lakukan pemeriksaan untuk mendapatkan kepastian.

MITOS 3: Ubat akan bantu kurangkan saiz nodul tiroid

FAKTA: Walaupun terdapat ubat-ubatan untuk merawat masalah hormon tiroid seperti hipertiroidisme (kelebihan hormon tiroid) atau hipotiroidisme (kekurangan hormon tiroid), pada masa ini tiada ubat yang boleh mengecilkan saiz nodul tiroid atau menghentikannya daripada terus membesar.

Begitu juga dengan ketiadaan ubat yang boleh menghalang nodul tiroid baru daripada terbentuk.

Adalah dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang suplemen kesihatan atau rawatan tradisional yang dijual secara bebas untuk merawat nodul tiroid, selagi tahap hormon tiroid anda normal.

Jika nodul tersebut tidak menyebabkan sebarang gejala, pemantauan berkala dengan imbasan ultrasound sudah memadai untuk mengawasi perkembangannya.

Dr Reyaz Singaporewalla ialah Pengarah Perubatan Pembedahan dan Pakar Endoskopi ACE. Beliau merupakan Pakar Perunding Kanan Bedah dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam Pembedahan Am dan Endokrin-Kepala Leher. Dr Reyaz telah menubuhkan Perkhidmatan Pembedahan Endokrin-Kepala Leher Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) pada 2011 dan menjadi Timbalan Ketua Jabatan Pembedahan dari 2019 hingga 2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg