Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kadar bentan lima tahun banduan berkurang

Feb 14, 2024 | 7:29 PM
Laporan Perangkaan 2023 Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG) telah dibentangkan pada 14 Februari dan dikongsi oleh (dari kiri) Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengintergrasian Semula dan Pemulihan, Supt 1A Ong Choon Yong; Penolong Pengarah Kanan (Pembetulan Masyarakat dan Penyelidikan), Encik Cheng Xiang Loong; Pengarah Komunikasi Korporat dan Perkhidmatan, DAC Soh Yen Li; Pengarah Perintahan Pembetulan Masyarakat AC Karen Lee; dan, Pengarah Eksekutif, Bahagian Pemulihan, Cik Karen Tan.
Laporan Perangkaan 2023 Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG) telah dibentangkan pada 14 Februari dan dikongsi oleh (dari kiri) Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengintergrasian Semula dan Pemulihan, Supt 1A Ong Choon Yong; Penolong Pengarah Kanan (Pembetulan Masyarakat dan Penyelidikan), Encik Cheng Xiang Loong; Pengarah Komunikasi Korporat dan Perkhidmatan, DAC Soh Yen Li; Pengarah Perintahan Pembetulan Masyarakat AC Karen Lee; dan, Pengarah Eksekutif, Bahagian Pemulihan, Cik Karen Tan. - Foto ST

Kadar kebentanan lima tahun Singapura untuk kohort banduan yang dibebaskan pada 2018 merupakan kadar terendah dalam tempoh lima tahun lalu, iaitu sebanyak 36.8 peratus.

Namun kadar kebentanan dua tahun Singapura untuk kohort banduan yang dibebaskan pada 2021 pula meningkat kepada 22 peratus pada 2021 berbanding 20.4 peratus pada 2020, walaupun kadar itu kekal antara yang terendah di peringkat antarabangsa.

Demikian menurut laporan perangkaan 2023 oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG) yang dikeluarkan pada 14 Februari.

Laporan itu mengesahkan kadar kebentanan dua tahun Singapura untuk kohort banduan yang dibebaskan pada 2021 telah meningkat sebanyak 1.6 peratus.

Antara pesalah warga Singapura dan penduduk tetap yang dibebaskan daripada tahanan SPS pada 2021, 22 peratus telah ditahan, dijatuhi hukuman penjara, atau diberi perintah pelaporan sehari dalam tempoh dua tahun selepas pembebasan mereka.

Ini lebih tinggi daripada 20.4 peratus untuk kohort banduan yang dibebaskan pada 2020 dan 20 peratus untuk kohort banduan yang dibebaskan pada 2019.

SPS berkata, peningkatan antara kohort 2021 dan 2020 sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kadar penyalahguna dadah yang berulang.

Bercakap kepada media semasa sesi taklimat pada 14 Februari, Pengarah Komand Pembetulan Masyarakat SPS, Penolong Pesuruhjaya Penjara Karen Lee, berkongsi tentang beberapa cabaran yang dihadapi pesalah dadah berulang termasuk kekurangan rangkaian pro-sosial kerana mereka keluar masuk dari sistem, dan ketidakupayaan untuk bekerja secara jangka panjang.

“Banduan yang mempunyai sejarah menyalahgunakan dadah adalah kira-kira tiga kali lebih berkemungkinan untuk melakukan kesalahan berbanding mereka yang tidak menyalahgunakan dadah,” kata SPS.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa kadar serangan di penjara di Singapura ialah 62.6 peratus bagi setiap 10,000 banduan antara April 2022 dan Mac 2023.

Kes-kes ini termasuk sebarang serangan terhadap pegawai penjara atau serangan terhadap banduan lain yang menyebabkan mangsa cedera parah.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Perkhidmatan SPS, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Penjara (DAC) Soh Yen Li berkongsi bahawa populasi Pusat Pemulihan Dadah (DRC) dan kadar serangan dalam penjara adalah membimbangkan.

Mengenai kadar serangan, beliau berkata keselamatan pegawai penjara dan banduan adalah keutamaan SPS.

“Punca serangan bergantung kepada beberapa faktor seperti konflik dan perselisihan faham antara banduan, dan juga profil banduan.

“Kami juga telah memperkenalkan amalan pemulihan untuk membantu banduan membangunkan norma yang sihat dan memahami akibat daripada tindakan mereka dan membantu mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka sendiri,” kata DAC Soh.

“Adalah penting bagi SPS dan YRSG untuk terus menumpukan usaha mereka pada pemulihan dan perpaduan semula penyalahguna dadah dengan bekerjasama dengan sukarelawan dan rakan kongsi masyarakat, majikan, keluarga dan agensi pemerintah yang lain,” tambah SPS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg