Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pemerintah sediakan banyak sokongan perkukuh simpanan CPF pencarum

Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja juga sediakan bayaran tunai, sumbangan CPF kepada pekerja gaji rendah
Feb 7, 2025 | 5:38 PM
Skim CPF direka untuk memenuhi pelbagai keperluan, termasuk kepentingan jangka panjang rakyat seperti persaraan di hari tua, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Skim CPF direka untuk memenuhi pelbagai keperluan, termasuk kepentingan jangka panjang rakyat seperti persaraan di hari tua, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto ST

Meskipun sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) adalah berdasarkan tanggungjawab peribadi, ia tidak bergantung kepada sumbangan individu sahaja dan telah berkembang sejak bertahun lalu, dengan pemerintah telah melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong mereka yang kurang bernasib baik, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Sedang mereka menyaksikan jurang pendapatan semakin meluas dalam masyarakat, Encik Wong berkata pemerintah “secara konsisten sepanjang 20 atau 30 tahun lalu” telah memberikan lebih banyak sokongan dalam usaha menjadikan sistem CPF lebih progresif dan mengurangkan ketidaksamaan dalam masyarakat.

Pemerintah membantu menerusi pelbagai skim, seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja yang menyediakan bayaran tunai dan sumbangan CPF tambahan kepada pekerja bergaji rendah.

Antara lain, Anugerah Kemajuan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) baru, yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, pula akan menyediakan tokokan $5,000 dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) apabila lulusan ITE menyertai program diploma.

Setelah meraih diploma kelak, mereka akan diberi tokokan $10,000 ke dalam Akaun Biasa CPF mereka.

“Ia mencerminkan amat pentingnya kompak sosial, masyarakat yang kita mahukan di Singapura.

“Kita mahu condong ke hadapan untuk menjadikan sistem CPF lebih progresif, untuk mengurangkan ketidaksamaan dalam masyarakat, untuk mempunyai masyarakat yang lebih adil dan inklusif di mana tiada siapa yang ketinggalan di belakang, di mana setiap orang rasa mereka disokong dan boleh meraih manfaat daripada kemajuan negara,” kata beliau.

Encik Wong berkata demikian dalam wawancara mengenai kecukupan persaraan dengan akhbar Lianhe Zaobao, yang dikeluarkan pada 7 Februari.

Akhbar itu turut mengadakan wawancara berasingan bersama Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dan pengerusi Panel Penasihat CPF, Profesor Tan Chorh Chuan, yang juga Setiausaha Tetap Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

Dengan rakyat Singapura hidup lebih lama hari ini, isu dana persaraan yang mencukupi kian menjadi keprihatinan ramai.

Negara ini menangani isu itu dalam dua bidang, kata Encik Wong – yang pertama, rakyat Singapura mesti bersedia bekerja lebih lama; dan yang kedua, simpanan persaraan mesti dibuat untuk bertahan sepanjang hayat seseorang, tidak kira berapa lama.

Antara langkah yang telah diambil pemerintah adalah untuk melaksanakan anuiti CPF Life, sebuah skim insurans umur panjang nasional yang menyediakan bayaran bulanan untuk warga emas, tidak kira berapa lama penerimanya hidup.

Namun, terdapat segolongan rakyat Singapura yang mahukan lebih banyak kawalan ke atas cara mereka menggunakan simpanan CPF mereka.

Memberi respons, Encik Wong berkata sistem CPF adalah sebahagian daripada skim simpanan nasional yang direka untuk memenuhi pelbagai keperluan, termasuk kepentingan jangka panjang rakyat seperti persaraan.

Sistem tersebut sudah pun mempunyai beberapa fleksibiliti – antaranya, pencarum boleh menggunakan simpanan CPF untuk pelaburan, perumahan, dan pendidikan anak-anak.

Namun, jika “terlalu banyak fleksibiliti” dan kesemua simpanan dikeluarkan lebih awal dari masanya, individu mungkin menghadapi masalah dalam kecukupan persaraan kelak, kata Encik Wong.

“Saya memahami keinginan rakyat Singapura untuk mengeluarkan wang mereka daripada CPF lebih awal, dan mereka rasa bahawa ini simpanan mereka sendiri. Cabarannya adalah rakyat Singapura hidup lebih lama, dan anda memerlukan wang CPF anda untuk bertahan sepanjang hayat.

“Jika anda keluarkan wang lebih awal dan belanjakan wang itu, bagaimana anda akan menjamin diri sendiri bahawa anda akan mempunyai simpanan mencukupi bagi persaraan untuk 20, 30, bahkan 40 tahun mendatang?” tambah beliau.

Dalam wawancara berasingan, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan, pula menjawab soalan tentang apakah wang dalam akaun MediSave dapat dikeluarkan oleh individu yang tiada masalah kesihatan supaya dia mempunyai lebih banyak simpanan persaraan.

Menjawab, Dr Tan berkata adalah lebih baik bagi individu terus mempunyai simpanan dalam MediSave daripada bimbang tentang kecukupan wang apabila dilanda penyakit.

Beliau menambah bahawa kos penjagaan kesihatan dijangka meningkat sedang masyarakat menua.

“Tidak kira bagaimana anda melihatnya, pada bila-bila masa, anda akan sentiasa memerlukan penjagaan kesihatan…jadi adalah lebih baik bersedia dengan secukupnya dari segi Akaun MediSave anda, untuk memiliki simpanan, kerana anda tidak tahu bila anda akan memerlukannya.

“Dan MediSave anda bukan hanya untuk diri anda sahaja, ia juga untuk tanggungan anda, untuk orang tersayang anda,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg