Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar faedah minimum 4% akaun Khas, MediSave, Persaraan CPF dilanjut akhir 2027
Kadar faedah minimum 4% akaun Khas, MediSave, Persaraan CPF dilanjut akhir 2027
Pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bakal mendapat kadar faedah minimum 4 peratus bagi Akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) sehingga akhir 2027, dengan kadar faedah kekal tidak berubah bagi suku tahun mendatang.
Lanjutan kadar minimum SMRA itu akan terus membantu pencarum meningkatkan simpanan persaraan mereka serta memberikan kepastian terhadap pulangan CPF di tengah-tengah persekitaran ekonomi dan kadar faedah yang tidak menentu.
Demikian menurut satu kenyataan bersama Lembaga CPF (CPFB) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 22 September.
Kadar faedah SMRA akan kekal tidak berubah pada kadar minimum 4 peratus bermula 1 Oktober hingga 31 Disember.
Ini kerana kadar sandaran – iaitu purata hasil 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS) bagi tempoh 10 tahun ditambah 1 peratus – adalah lebih rendah daripada kadar faedah minimum 4 peratus.
Menurut laman web CPFB, kadar hasil purata dari Ogos 2025 hingga Julai 2026 adalah 3.06 peratus.
Kadar faedah bagi Akaun Biasa (OA) akan kekal pada 2.5 peratus dari 1 Oktober hingga 31 Disember.
Ini kerana kadar sandaran OA – iaitu purata tiga bulan kadar faedah bank utama tempatan (0.32 peratus dari Mei hingga Julai) – lebih rendah daripada kadar faedah minimum 2.5 peratus, menurut laman web CPFB.
Sejajar dengan itu, kadar faedah konsesi pinjaman rumah HDB, yang disandarkan 0.1 peratus melebihi kadar OA, akan kekal pada 2.6 peratus setahun.
Selain itu, pencarum CPF akan terus menerima faedah tambahan ke atas simpanan CPF mereka.
Mereka yang berusia di bawah 55 tahun akan menerima tambahan faedah 1 peratus bagi $60,000 pertama dalam baki akaun gabungan mereka, dihadkan pada $20,000 bagi OA.
Bagi mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas pula, pemerintah akan memberikan faedah tambahan 2 peratus ke atas $30,000 pertama baki akaun gabungan – dihadkan pada $20,000 untuk OA – serta tambahan 1 peratus ke atas $30,000 berikutnya.
Faedah tambahan daripada simpanan OA akan dimasukkan ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan pencarum.
Selain itu, peserta skim Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia (CPF LIFE) yang berusia 55 tahun dan ke atas akan tetap menerima faedah tambahan ke atas baki akaun gabungan CPF mereka, termasuk simpanan yang digunakan untuk CPF LIFE.