Singapura berada pada landasan yang betul untuk memenuhi aspirasi WSH2028 untuk mencapai kadar kematian di bawah satu bagi setiap 100,000 pekerja.
Dalam Laporan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) bagi Januari hingga Jun 2023, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendedahkan kadar kematian tahunan bagi setiap 100,000 pekerja turun separuh kepada 0.8 pada separuh pertama 2023, berbanding 1.6 bagi tempoh yang sama pada 2022.
Terdapat 14 kematian di tempat kerja pada separuh pertama 2023, berbanding 28 kematian pada separuh pertama 2022 dan 18 kematian pada separuh kedua 2022.
Kes 14 kematian di tempat kerja tersebut termasuk dua kemalangan trafik berkaitan kerja (WRTA) yang mengakibatkan maut, tambah laporan itu.
Sementara itu, 311 pekerja mengalami kecederaan besar di tempat kerja pada enam bulan pertama 2023.
MOM berkata kadar kecederaan besar tahunan bagi setiap 100,000 pekerja kekal stabil pada 17.2 pada separuh pertama 2023, serupa dengan 17.3 bagi separuh pertama dan kedua 2022.
“Ini mencerminkan hasil positif daripada Tempoh Keselamatan yang Dipertingkatkan (HSP), yang berakhir pada 31 Mei 2023,” kata MOM.
Menurut MOM, terdapat peluang untuk memperbaiki tahap keselamatan dalam sektor binaan dan perkilangan. Kedua-dua sektor itu merupakan penyumbang terbesar kepada kecederaan besar dan yang membawa maut.
Bagi sektor perkilangan, terdapat penurunan keseluruhan bagi kematian pada separuh pertama 2023.
Bagaimanapun, bilangan kecederaan besar meningkat, terutama dalam subsektor kerja logam, berbanding separuh kedua 2022.
Terdapat 38 kematian dan kecederaan besar berkaitan kerja logam pada separuh pertama 2023, berbanding 18 kematian dan kecederaan besar pada separuh kedua 2022.
Secara keseluruhan, terdapat 88 kematian dan kecederaan besar dalam sektor perkilangan pada separuh pertama 2023 berbanding 65 kematian dan kecederaan besar dalam sektor tersebut pada separuh kedua 2022.
MOM berkata Sistem Mata Demerit akan diperluaskan daripada sektor binaan kepada sektor perkilangan pada Oktober 2023, seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Pasukan Bertindak Keselamatan Tempat Kerja Berbilang Agensi (Mast).
Selain itu, MOM akan mengutamakan pemeriksaan yang disasarkan untuk mengesan dan menghalang kemalangan dalam subsektor kerja logam.
Bagi sektor pembinaan pula, secara keseluruhan, terdapat 87 kematian dan kecederaan besar pada separuh pertama 2023 berbanding 77 kematian dan kecederaan besar pada separuh kedua 2022.
Lebih banyak campur tangan yang disasarkan diperlukan bagi kerja binaan berskala lebih kecil seperti penambahan dan pengubahan, pengubahsuaian serta pengurusan kemudahan, tambah MOM sambil berkata ia akan bekerjasama dengan agensi dan industri berkaitan untuk meningkatkan standard keselamatan bagi kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut.
Dalam pada itu, Mast akan terus mengkaji jika langkah-langkah keselamatan, kebertanggungjawapan, fokus dan pemerkasaan tambahan diperlukan untuk meningkatkan hasil WSH dalam sektor tertentu.
“WSH adalah tanggungjawab bersama. Semua pihak berkepentingan – pemerintah, majikan, pekerja, pemimpin kesatuan sekerja, persatuan industri, profesional WSH dan orang awam – perlu memainkan peranan dalam mencegah kejadian di tempat kerja dan membangunkan tempat kerja yang lebih selamat,” kata MOM.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg