Singapore Post (SingPost) akan menaikkan kadar untuk semua pos domestik biasa sebanyak 10 sen mulai 1 Januari 2026, di tengah-tengah penurunan jumlah pos, peningkatan kos dan usaha pemodenannya.
Kadar baru untuk pos biasa standard dan pos besar standard masing-masing ialah 62 sen dan 90 sen, kata SingPost dalam satu kenyataan pada 9 Disember.
Kadar pos pukal domestik yang digunakan oleh sektor perniagaan juga akan meningkat, lapor The Straits Times (ST).
Perubahan dalam kadar pos akan membolehkan SingPost terus melabur dalam usaha pemodenan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan kecekapan operasi, katanya.
Dalam tempoh 12 bulan terakhir, pihaknya telah berusaha untuk meningkatkan mutu dan kecekapan perkhidmatan termasuk meningkatkan keupayaan e-dagangnya dan mengembangkan perkhidmatannya.
SingPost berkata peningkatan kadar pos juga bertujuan untuk menangani “penurunan struktur berterusan” dalam jumlah pos dan peningkatan kos operasi.
Ia menambah jumlah pos di Singapura telah merosot lebih 40 peratus sejak tahun kewangan 2019/2020.
Kadar yang disemak semula itu juga dibuat di tengah-tengah peralihan kepada komunikasi digital yang menyebabkan penyedia perkhidmatan pos terpaksa mengimbangi peningkatan kos untuk menyediakan perkhidmatan tersebut berbanding kos pos yang dikutip, menurut SingPost.
Ia termasuk kos buruh, tenaga dan infrastruktur.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Mark Chong, berkata kenaikan harga adalah “langkah yang perlu” untuk mengimbangi kos struktur operasi mel domestik sambil menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan yang boleh dipercayai.
“Ia akan membolehkan kami terus memenuhi mandat pos negara sambil memajukan perubahan Singapore Post menjadi peneraju logistik yang dipacu teknologi,” katanya.
Kali terakhir kadar pos, penghantaran bungkusan dan penghantaran bungkusan ke depan pintu dinaikkan ialah pada 2023 disebabkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Sebelum 2023, kadar pos SingPost tidak dinaikkan sejak 2014.
Keuntungan operasi kumpulan SingPost bagi suku pertama yang berakhir pada 30 Jun mencecah $3.4 juta, penurunan 60 peratus tahun ke tahun daripada $8.4 juta.
Penurunan keuntungan operasi itu disebabkan oleh peningkatan tekanan pasaran dan persaingan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg