Kadar kos menyewa gerai bagi dua bazar Ramadan tahunan utama di Singapura – Bazar Ramadan Geylang Serai dan Bazar Kampong Gelam – secara purata kekal stabil pada 2026, menurut tinjauan Berita Harian (BH).
Bagi Bazar Ramadan Geylang Serai, yang akan bermula pada 14 Februari, harga sewa setanding dengan harga 2025.
Salah seorang penjaja F&B di Bazar Ramadan Geylang Serai berkata beliau jangkakan untuk membayar sekitar $19,000 secara keseluruhan selama 35 hari bazar tersebut dijalankan, dengan yuran sewa asas sebanyak $15,000, serupa dengan apa yang beliau bayar pada 2025.
Bazar Ramadan Geylang Serai dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai (WGS) dan dikendali oleh pengendali pihak ketiga, S-Lite Group.
BH telah menghubungi penganjur dan pengendali bazar tersebut untuk mendapatkan komen.
Bagi Bazar Kampong Gelam pula, sambutan menyewa gerai amat menggalakkan, dengan lebih 90 peratus gerai telah ditempah, menurut pengerusi One Kampong Gelam (OKG), Encik Zaki Ma’arof, yang juga penganjur bazar tersebut.
“Buat masa sekarang kita sudah cecah 90 peratus,” kata beliau.
“Namun, jumlahnya berkemungkinan besar akan meningkat kerana kami masih menantikan bayaran daripada beberapa gerai untuk mengesahkan ruang mereka.”
Malah Encik Zaki turut berkata terdapat sedikit penurunan harga sewa gerai di Bazar Kampong Gelam, yang akan bermula seawal 11 Februari.
“Untuk F&B (gerai makanan dan minimum), kita berada dalam secara purata lingkungan $10,000, $12,000 dan $13,000, bergantung kepada lokasi gerai tersebut,” kata Encik Zaki.
Angka tersebut menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2025, di mana kadar kos sewa F&B berada antara $13,800 dengan $14,500.
Kadar kos sewa bagi gerai runcit pula kekal dalam lingkungan $3,000.
Pada 2025 ia berada di sekitar $3,500 hingga $3,800.
Pada 2024 pula, harga sewa bagi gerai F&B adalah antara $13,300 dengan $13,800, manakala bagi gerai runcit pula adalah antara $3,500 dengan $4,000.
Kededua bazar akan berlangsung selama sekurang-kurangnya 35 hari, dengan hari terakhir Bazar Kampong Gelam jatuh pada 15 Mac, lima hari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada 21 Mac.
Menjelang Hari Raya Aidilfitri, Bazar Ramadan Geylang Serai pula akan kekal buka sehingga 6 pagi 21 Mac, berbanding dengan pada 11:59 malam pada hari-hari yang lain.
Encik Zaki juga berkongsi bahawa terdapat sebanyak 103 gerai di Bazar Kampong Gelam tahun ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, gerai F&B terus mendominasi bazar, merangkumi lebih 70 peratus daripada keseluruhan jumlah gerai.
“Saya pasti akan ada lebih banyak peniaga yang akan membawa makanan viral,” kata Encik Zaki, merujuk kepada trend F&B yang terus menjadi tarikan utama pengunjung bazar Ramadan.
Dari segi penjenamaan, Bazar Kampong Gelam kekal menggunakan tema “Gemilang Kampong Gelam”, yang telah menjadi identiti acara tersebut.
Bagi tarikan dan aktiviti pula, Encik Zaki mengesahkan bahawa tiada projek pemetaan cahaya atau projection mapping buat edisi ini.
Namun, pelbagai aktiviti mingguan masih akan diteruskan, termasuk persembahan ‘busking’, kerjasama dengan badan-badan kebajikan serta penampilan artis jemputan dari luar negara.
Antara yang menariknya juga adalah mereka sedang dalam perancangan untuk mengadakan reruai “pop-up” bagi perniagaan dari rumah (HBB) selain gerai-gerai yang disewakan.
Bazar Kampong Gelam pada 2025 dikunjungi sekitar hampir sejuta orang, setanding dengan jumlah pengunjung pada 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg