Pasangan yang agak berusia dari Singapura memilih untuk melangsungkan perkahwinan secara rahsia atau lebih dikenali sebagai nikah ‘sirri’ untuk mengekalkan hak milik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) masing-masing.
Ini kerana pasangan yang berstatus duda atau janda ini masing-masing mempunyai flat HDB dan jika ingin berkahwin dengan mendaftar pernikahan di Singapura, antara syarat yang ditetapkan adalah dengan menjual salah sebuah flat mereka.
“Saya telah menduda lebih 10 tahun dan bakal isteri saya ketika itu juga telah kematian suami dan mewarisi flat HDB. Namun kami berdua yang telah berusia hampir 60 tahun ini mempunyai ramai anak dan cucu.
“Jika kami jual salah satu flat kami, anak-anak cucu kami yang ramai ini nak tinggal di mana. Jadi cara yang terbaik kami terpaksa bernikah rahsia untuk menghalalkan perhubungan kami dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan flat kami dari terjual.
“Saya tahu nikah rahsia tidak mungkin dilakukan di Singapura. Saya telah buat kajian untuk bernikah di Narrathiwat, Thailand, tetapi kosnya mahal. Kami bernikah ‘sirri’ di Batam,” akui duda lima anak dan datuk tiga cucu itu. Isterinya pula mempunyai empat anak dan empat cucu.
Menurutnya sindiket nikah di Thailand dikatakan mengenakan caj minimum RM3,000 ($863). Beliau berkata telah bernikah di Batam pada awal 2023 dengan disaksikan anak-anaknya.
“Proses akad nikah di kawasan Sekupang, Batam, hanya berlangsung selama 15 minit dan dilakukan pada sebelah pagi dan kami pulang sebelah petang feri terakhir setelah ‘berbulan madu sekejap di Batam,” ujarnya lagi.
“Setiap pengantin akan dibekalkan dengan sijil nikah bagi membolehkan mereka membuat pendaftaran di negeri masing-masing,” katanya.
Seorang kadi Singapura yang meminta namanya tidak disiarkan mengakui pernah didekati ‘beberapa’ pasangan warga Singapura janda dan duda untuk menikahkan mereka secara rahsia atas alasan untuk mengekalkan flat HDB mereka daripada dijual. Beliau menegaskan bahawa beliau menolak untuk melibatkan diri dalam perkahwinan sebegitu.
“Mereka ingin bernikah tetapi tidak ingin mendaftar dengan ROMM (Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam). Ini jelas melanggar aturan negara. Saya mesti menolak permintaan mereka untuk bernikah secara rahsia. Saya tidak tahu ke mana mereka berkahwin.
“Saya rasa mereka mungkin ke Thailand untuk melakukan nikah rahsia. Batam saya tidak pasti kerana saya tidak pernah mendengar bahawa Batam juga menawarkan nikah ‘sirri’ ini,’’ ujar kadi tersebut.
Melalui nikah rahsia ini mereka diberi ruang untuk terus tinggal di dua flat HDB masing-masing dan dapat menguruskan keperluan keluarga masing-masing.
“Adalah penting untuk diperhatikan bahawa perkahwinan jenis ini tidak diiktiraf secara sah di Singapura. Pasangan yang terlibat berisiko menghadapi masalah undang-undang dalam jangka masa panjang,” ujar kadi itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg