Topik diikuti
Pergi ke BHkuKaji selidik baru di Keat Hong teliti isu kesihatan lelaki
Usaha bertujuan fahami keperluan, cabaran kesihatan lelaki di kawasan Keat Hong sebelum merangka inisiatif kesihatan dan kesejahteraan masyarakat pada 2027
Kaji selidik baru di Keat Hong teliti isu kesihatan lelaki
Kesihatan lelaki, khususnya isu yang sering dianggap sensitif atau sukar dibincangkan secara terbuka, menjadi tumpuan satu kaji selidik masyarakat yang bertujuan memahami dengan lebih mendalam keperluan penduduk lelaki di kawasan tersebut.
Kaji selidik rintis yang dilancarkan sempena karnival Men on the Move pada 29 November itu menyasarkan untuk mengumpul 500 maklum balas daripada golongan lelaki berusia antara 20-an hingga 70-an.
Ia akan dikendalikan Pasukan Petugas Kesihatan Keat Hong dan hasil kaji selidik itu akan digunakan untuk membentuk program kesihatan kaum lelaki yang lebih tertumpu kepada keperluan sebenar mereka.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri) dan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Chua Chu Kang (Keat Hong), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang hadir sebagai tetamu terhormat, berkata bahawa kesihatan lelaki harus menjadi sebahagian daripada perbualan harian masyarakat, dan bukannya hanya dibincangkan apabila masalah kesihatan timbul.
“Menjaga kesihatan bukan tanda kelemahan. Ia satu tanggungjawab – kepada diri sendiri dan mereka yang bergantung kepada kita,” katanya dalam ucapannya di karnival yang diadakan di Kelab Masyarakat Keat Hong itu.
Beliau menggesa kaum lelaki supaya lebih proaktif mendapatkan nasihat perubatan dan menjalani pemeriksaan berkala, sambil menekankan kepentingan pencegahan dan pengesanan awal dalam mengekalkan mutu kehidupan serta kebebasan menjalani kehidupan seharian.
Sesi perbincangan turut diadakan semasa karnival tersebut dengan panel yang terdiri daripada doktor klinik kesihatan lelaki, Dr Taufiq Rashid, dan juga Ahli Fisioterapi Utama, Encik Rethinam Ganesan.
Peserta bukan hanya dapat mendengar nasihat, malah diberi peluang untuk bertanya tentang isu kesihatan daripada pakar-pakar secara peribadi.
Menurut Dr Taufiq, menjaga kesihatan juga boleh membawa perubahan positif kepada kehidupan seseorang, termasuk hubungan dengan pasangan dan keluarga.
Beliau berkata pesakit yang berjaya menangani masalah kesihatan mereka ada yang berasa kembali bertenaga dan seperti diri mereka yang dahulu, sekali gus menikmati hubungan yang lebih baik dengan orang tersayang.
“Mereka berasa seperti lelaki yang lebih muda, berasa seperti diri mereka semula, dan perkahwinan atau hubungan mereka menjadi jauh lebih baik.
“Bukan hubungan sahaja yang bertambah baik, malah kehidupan mereka secara keseluruhan - pekerjaan, malah masa yang dapat diluangkan bersama anak-anak. Segala-galanya bertambah baik kerana mereka menjadi individu yang lebih sihat, sekali gus menjadi pasangan, bapa dan anak yang lebih baik,” katanya.
Bagi peserta acara tersebut, Muhammad Nur Fadzlie, 39 tahun, program seumpama itu penting kerana menurutnya, lelaki cenderung menyimpan kebimbangan sendiri, terutama apabila melibatkan isu sensitif seperti kesihatan seksual dan kesejahteraan dalaman.
Bagi beliau, yang bekerja sebagai penunggang motosikal bomba atau ‘fire biker’, peluang untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada doktor dan pakar kesihatan membolehkannya mendapatkan maklumat yang lebih tepat.
Memandangkan tahap kecergasan dan kesihatan berkait rapat dengan tuntutan tugas hariannya, beliau menyifatkan peluang mendapatkan maklumat terus daripada panel sebagai sesuatu yang bermanfaat.
“Sekarang terlalu banyak maklumat di media sosial, dan kadangkala maklumat yang dikongsi tidak semestinya benar. Sebab itu program seperti ini bagus kerana kita boleh terus bertanya kepada doktor,” katanya.
Melalui inisiatif itu, Pasukan Petugas Kesihatan Keat Hong berharap dapat mengenal pasti isu ketara yang menjejas kehidupan harian penduduk lelaki, serta jenis program yang diinginkan.
Daripada menggunakan pendekatan yang sama untuk semua, maklum balas penduduk akan membantu mereka merangka inisiatif yang lebih praktikal, relevan dan berpandukan keperluan masyarakat setempat mulai 2027.