Topik diikuti
Pergi ke BHkuDelegasi Palestin lawat CC Keat Hong
Zhulkarnain kongsi peranan kelab masyarakat sebagai tempat pertemuan penduduk, asah kemahiran
Menteri Pemerintah Tempatan Penguasa Palestin (PA), Dr Sami Hijjawi, telah berkunjung ke Singapura dan dibawa melawat Kelab Masyarakat Keat Hong oleh Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, pada 21 Ogos.
Dalam satu hantaran video Facebook pada 27 Ogos, Encik Zhulkarnain, yang juga Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), berkata Dr Hijjawi dan pasukannya berminat mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman Singapura dalam penyampaian perkhidmatan awam dan pendigitalan, ketika mereka membuat persiapan ke arah pembentukan sebuah negara.
“Saya berkongsi tentang kemudahan ServiceSG dan bagaimana Kelab Masyarakat Keat Hong telah berkembang menjadi tempat pertemuan tetap bagi penduduk untuk berinteraksi dan mempelajari pelbagai kemahiran,” kongsi Encik Zhulkarnain.
Semasa lawatan tersebut, beliau berkata mereka turut berpeluang berinteraksi dengan penduduk dan menyertai sesi tarian K-pop.
Di samping itu, Dr Hijjawi juga sempat mencuba aiskrim berbalut roti daripada penjaja aiskrim di kelab masyarakat itu.
Turut mengiringi Encik Zhulkarnain dan Dr Hijjawi serta delegasi beliau semasa lawatan tersebut adalah Wakil Singapura ke Ramallah, Encik Hawazi Daipi.
Dalam video tersebut, beliau berkongsi bahawa sebagai sebuah negara kecil, Singapura mahu membantu Palestin dalam usaha membangunkan keupayaannya.
“Antara Singapura dengan Palestin, kita telah melalui banyak pertukaran.
“Sebagai sebuah negara kecil, kita mahu membantu Palestin dalam usahanya membangunkan keupayaan, dan saya rasa kita boleh melakukan lebih banyak lagi bersama,” katanya.
Menyifatkan Singapura sebagai sebuah negara yang sangat maju, Dr Hijjawi berkata beliau dan delegasinya kagum dengan apa yang telah mereka lihat sepanjang lawatan selama dua hari itu.
“Kami sangat gembira dapat berkunjung ke Singapura. Saya tahu bahawa anda menyokong rakyat Palestin.
“Saya ingin menyampaikan penghargaan ikhlas kami. Saya berharap kita dapat berjumpa lagi tidak lama lagi di Palestin,” kongsi beliau.
