Lebih empat daripada lima, atau 84 peratus penduduk Singapura, menemui kandungan dalam talian yang berbahaya dalam tempoh setahun lalu, termasuk kandungan yang menyokong kegiatan haram seperti penipuan dan yang bersifat seksual atau ganas.
Ini menurut dapatan utama dua kajian – Kajian Persepsi Pendigitalan dan Kajian Persepsi Dasar Negara Bijak – yang dijalankan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada awal 2025.
Kajian itu turut menunjukkan sepertiga, atau 33 peratus penduduk, melaporkan mereka juga mengalami tingkah laku dalam talian yang berbahaya.
Ini seperti catfishing (perbuatan seseorang yang menggunakan maklumat dan gambar palsu untuk mewujudkan identiti palsu dalam talian), mesej bersifat seksual yang tidak diingini, dan gangguan dalam talian.
Kandungan dalam talian berbahaya yang paling kerap ditemui responden kajian adalah yang menyokong kegiatan haram, seperti penipuan atau penjualan barangan terlarang (33 peratus).
Ini diikuti dengan kandungan seksual (26 peratus), kandungan ganas (24 peratus), pembulian siber (20 peratus) dan kandungan yang menyebabkan ketegangan kaum atau agama (16 peratus).
“Responden paling kerap menemui kandungan dalam talian yang berbahaya di Facebook, YouTube dan Instagram serta aplikasi mesej WhatsApp dan Telegram.
“Walaupun ini mungkin hasil daripada jangkauan relatif setiap platform, penyebaran luas merentas semua platform adalah membimbangkan,” kata MDDI dalam kenyataannya pada 10 Oktober.
Kajian Persepsi Pendigitalan melibatkan 2,008 rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) berusia 15 tahun dan ke atas, dan telah dijalankan dari November 2024 hingga Februari 2025.
Sementara itu, Kajian Persepsi Dasar Negara Bijak turut melibatkan jumlah dan profil usia responden yang serupa, dan telah dijalankan dari Mac hingga Mei 2025.
Dalam kalangan responden yang menemui kandungan dalam talian yang berbahaya dalam tempoh setahun lalu, 57 peratus menyatakan mereka menemuinya di platform media sosial Facebook.
Ini diikuti dengan YouTube (46 peratus), Instagram (41 peratus), WhatsApp (38 peratus), dan Telegram (22 peratus).
Dengan keprihatinan terhadap bahaya dalam talian itu, sekitar dua daripada tiga, atau 62 peratus penduduk menggesa agar peraturan lebih kukuh dilaksanakan demi melindungi rakyat Singapura, meskipun jika ia mengakibatkan kurang kebebasan bagi pengguna dalam ruang dalam talian.
“Ini menunjukkan majoriti jelas menerima beberapa sekatan kawal selia diperlukan untuk melindungi rakyat Singapura daripada bahaya dalam talian, seperti penipuan dalam talian, kandungan tidak sesuai dan maklumat salah.
“Kami juga akan bekerjasama dengan platform yang terbabit untuk mempertingkat langkah-langkah keselamatan mereka demi menyediakan pengalaman yang selamat untuk semua pengguna,” kata MDDI.
Pemerintah telah mengambil beberapa langkah perundangan untuk melindungi rakyat Singapura daripada bahaya dalam talian.
Antaranya, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), sejak Julai 2023, telah memperkenalkan Tataamalan bagi Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Media Sosial, yang memerlukan khidmat media sosial melaksanakan sistem dan proses untuk menghindari pengguna Singapura, terutamanya kanak-kanak, daripada mengakses kandungan bahaya.
Pada Mac 2025, IMDA turut melancarkan Tataamalan bagi Keselamatan Dalam Talian – Khidmat Pengedaran Aplikasi, di mana gedung aplikasi (app store), antara lain, perlu melaksanakan langkah demi mengelakkan pengguna di bawah usia 18 tahun daripada mengakses aplikasi yang tidak sesuai dengan usia mereka, mulai 31 Mac 2026.
MDDI juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) untuk membentuk Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian baru.
Suruhanjaya ini akan membolehkan mangsa mendapatkan bantuan tepat pada masanya jika mereka menemui bahaya dalam talian dan memastikan pesalah dipertanggungjawabkan.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, dalam satu kiriman di LinkedIn, berkata di mana perlu, pemerintah akan bertindak tegas.
Namun begitu, pihaknya mengambil pendekatan perundingan dan berasaskan hasil, dengan mendekati pemerintah, masyarakat akademik, platform teknologi dan masyarakat demi memastikan undang-undang adalah praktikal dan berkesan.
“Sedang kami bersedia membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban), satu perkara adalah jelas: setiap peningkatan membuka laluan bagi lebih banyak perlindungan untuk mangsa.
“MDDI akan terus bekerja rapat dengan pihak berkepentingan relevan kerana usaha membina sebuah ruang digital yang lebih selamat, dipercayai adalah tanggungjawab bersama,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg