Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kajian baru kenal pasti 40 perkara penting bagi keperluan isi rumah

Masagos: Keutamaan pemerintah pastikan rakyat dibantu penuhi keperluan harian, dapatan bakal bantu semakan ComCare
Jul 12, 2024 | 6:00 PM
Sebanyak 40 daripada 51 perkara yang ditinjau disifatkan sebagai keperluan isi rumah harian yang penting, menurut Kajian Keperluan Isi Rumah (HNS), yang meninjau 4,014 responden merentasi pelbagai peringkat umur dan kaum.
Sebanyak 40 daripada 51 perkara yang ditinjau disifatkan sebagai keperluan isi rumah harian yang penting, menurut Kajian Keperluan Isi Rumah (HNS), yang meninjau 4,014 responden merentasi pelbagai peringkat umur dan kaum. - Foto fail

Peti sejuk, mesin basuh, alat digital dan kegiatan riadah seperti keluar bersama keluarga dan rakan-rakan.

Itulah beberapa perkara yang dianggap penting oleh majoriti rakyat Singapura, menurut sebuah kajian baru yang dapatannya dikeluarkan pada 12 Julai.

Sebanyak 40 daripada 51 perkara yang ditinjau disifatkan sebagai keperluan isi rumah harian yang penting menurut Kajian Keperluan Isi Rumah (HNS) itu, yang meninjau 4,014 responden merentasi pelbagai peringkat umur dan kaum.

Berucap semasa pelancaran laporan kajian itu pada 12 Julai di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata antara keutamaan pemerintah ialah memastikan setiap rakyat disokong untuk memenuhi keperluan hidup harian mereka.

“Kita telah melabur banyak dalam peralihan sosial untuk memastikan keluarga mempunyai akses kepada pendidikan mampu milik, penjagaan kesihatan dan perumahan.

“Kita juga telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup harian, seperti Pakej Jaminan. Bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut, kita menyediakan bantuan tambahan.

“Sebagai contoh, selama bertahun-tahun, kita telah membangunkan banyak skim untuk memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah dan memberi permulaan baik kepada anak-anak mereka dalam kehidupan. KidSTART, ComLink+, seperti contoh,” kata Encik Masagos.

Kajian tersebut dijalankan dari Mei 2022 hingga Februari 2023, dan diterajui oleh Pengarah Pusat Penyelidikan bagi Penuaan Berjaya (Rosa) SMU, Profesor Paulin Straughan, dan Ketua Makmal Sosial dan Zamil Penyelidik Utama di Institut Kajian Dasar (IPS), Dr Mathew Mathews.

Ia bertujuan mengenal pasti perkara yang dianggap penting oleh rakyat Singapura bagi kehidupan normal di sini dan mengkaji keupayaan rakyat Singapura membeli barangan dan melakukan kegiatan sedemikian, serta sikap dan kepercayaan mereka terhadap punca kemiskinan.

Perkara yang dianggap penting oleh kebanyakan responden termasuk perkakas rumah seperti peti sejuk (100 peratus) dan mesin basuh (96 peratus), serta perkara yang berkaitan dengan akses digital seperti telefon pintar dengan pelan data (93 peratus) dan pelan jalur lebar rumah (89 peratus).

Hingga 90 peratus responden berpendapat ikatan kekeluargaan di luar rumah adalah satu bentuk kegiatan penyertaan sosial penting, manakala 86 peratus berasa mempunyai masa lapang untuk diluangkan bagi hobi mereka adalah penting.

Encik Masagos berkata dapatan kajian itu, yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), akan memberi input dalam semakan berterusan kementeriannya terhadap bantuan ComCare.

“Kami telah melaraskan bantuan ComCare secara berterusan untuk mengikuti perkembangan terkini berdasarkan keperluan yang semakin berubah. Sebagai contoh, bantuan ComCare kini meliputi pelan data alat peranti kerana ketersambungan digital telah menjadi keperluan penting hari ini untuk kita.

“Kami akan terus melaraskan dasar dan program kami, menyedari bahawa keperluan itu akan berkembang dari semasa ke semasa,” kata Encik Masagos.

Menurut kajian itu, dua pertiga responden tidak mengalami sebarang kadar kekurangan, yang ditakrifkan sebagai ketidakupayaan mengakses dan membeli sesuatu yang dianggap penting oleh sekurang-kurangnya separuh responden.

Baki satu pertiga yang mengalami kadar kekurangan tidak mempunyai akses kepada barangan yang dianggap penting seperti simpanan wang kecemasan sekurang-kurangnya selama tiga bulan atau enam bulan buat perbelanjaan, dan percutian tahunan ke negara Asia Tenggara.

Ketika ditanya oleh Berita Harian (BH) sama ada penemuan itu akan mengharapkan agar pemerintah memberi subsidi lebih bagi keperluan asas, Profesor Straughan, berkata ia bukan peranan pemerintah sahaja, malah masyarakat juga boleh tampil untuk membantu.

“Kami berharap kajian ini akan mendorong masyarakat dan mereka yang mempunyai kelebihan untuk tampil dan meneroka cara inovatif bagi menyediakan keperluan penting kepada orang lain juga.

“Sebagai contoh, sukar bagi pemerintah untuk memberi subsidi penghawa dingin untuk semua orang. Tetapi jika kelab masyarakat atau pusat penuaan aktif mempunyai kegiatan di mana penduduk boleh datang, mereka juga boleh menikmati kemudahan penghawa dingin.

“Begitu juga untuk percutian ke negara Asia Tenggara, jika masyarakat boleh bersatu untuk menganjurkan lawatan ke Malaysia, Indonesia, atau tempat lain pada kadar subsidi, itu akan memberi peluang kepada penduduk untuk melancong pada kos yang lebih murah,” kata Profesor Straughan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg