Masa skrin yang lama dalam kalangan kanak-kanak sebelum mereka menjangkau usia dua tahun akan menjejas perkembangan otak mereka apabila mereka menjadi remaja kelak.
Kajian mendapati terdapat perubahan dalam perkembangan otak yang dikaitkan dengan proses membuat keputusan yang lebih perlahan dan peningkatan perasaan kebimbangan.
Namun, kaitan itu lebih rendah dengan ketara bagi kanak-kanak yang kerap dibacakan buku oleh ibu bapa mereka dari usia tiga tahun dan ke atas.
Kajian itu diketuai Penolong Profesor Tan Ai Peng, seorang saintis utama di Institut Pembangunan dan Potensi Manusia Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star IHDP) (Sains Neurosains Translasi).
Ia merupakan kajian kohort kelahiran terbesar di Singapura yang mengaitkan pendedahan masa skrin bayi dengan perubahan jangka panjang dalam otak dan kesihatan mental remaja.
“Kajian ini memberi kita penjelasan biologi mengapa mengehadkan masa skrin dalam tempoh dua tahun pertama bayi adalah penting.
“Ia juga menekankan kepentingan penglibatan ibu bapa, menunjukkan bahawa aktiviti ibu bapa-anak, seperti membaca bersama, boleh membuat perbezaan yang nyata,” jelas Dr Tan, yang juga seorang doktor-saintis di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Kajian tersebut menjejak 168 kanak-kanak daripada kohort Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes (GUSTO) selama lebih 10 tahun.
Ia juga menjalankan imbasan otak di beberapa titik untuk memetakan kemungkinan urutan reaksi daripada pendedahan masa skrin bayi kepada kesihatan mental remaja.
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada tempoh usia bayi, dan jumlah serta jenis pendedahan skrin semasa, yang sebahagian besarnya ditentukan oleh ibu bapa, penjaga, dan amalan keibubapaan.
Semasa bayi, perkembangan otak adalah paling pesat dan amat sensitif terhadap pengaruh persekitaran.
Dr Tan berkata apabila pasukannya memulakan kajian, mereka ingin melihat bagaimana perkembangan yang berubah dalam jirim kelabu (grey matter) akan mengakibatkan gejala kebimbangan jangka panjang apabila kanak-kanak memasuki usia remaja.
Tempoh remaja itu, tambahnya, adalah masa yang mana kanak-kanak mendapat kawan baru dan terdedah kepada persekitaran sosial yang berbeza.
“Terdapat kemungkinan besar mereka mungkin tidak dapat menghadapinya dengan baik,” ujar Dr Tan.
Kajian itu mendapati kanak-kanak yang mendapat masa skrin bayi yang lebih lama menunjukkan kematangan rangkaian otak yang dipercepatkan, yang bertanggungjawab untuk pemprosesan visual dan kawalan kognitif.
Namun Dr Tan memberitahu The Straits Times (ST), walaupun ramai orang mungkin berpendapat kematangan awal atau pertumbuhan yang dipercepatkan sering dikaitkan dengan sesuatu yang bermanfaat “kepada otak yang sedang berkembang, sebenarnya ia tidak begitu”.
“Beberapa tahun pertama kehidupan adalah ketika otak mula mempelajari pengalaman dunia sebenar.
“Adalah penting buat mereka didedahkan kepada pelbagai jenis rangsangan persekitaran, dan bukan sekadar rangsangan visual yang terlalu berlebihan seperti apa yang mereka dapat di skrin,” jelasnya.
Dr Tan berkata walaupun video di skrin menarik perhatian dan menarik secara visual, ia tidak memberikan gabungan sentuhan, ekspresi wajah atau komunikasi yang baik.
Dr Huang Pei, seorang saintis kanan dengan A*Star IHDP dan pengarang pertama kajian itu, berkata masa di skrin pada usia muda “mengehadkan fleksibiliti dan daya tahan, menyebabkan kanak-kanak kurang berdaya untuk menyesuaikan diri pada hari kemudian”.
Beliau berkata “sosialisasi secara pramatang” membawa kesan yang tidak diingini.
Kanak-kanak yang mempunyai rangkaian otak yang berubah mengambil masa lebih lama untuk membuat keputusan semasa tugas kognitif pada usia lapan setengah tahun.
Dalam pada itu, mereka yang lebih perlahan dalam membuat keputusan melaporkan simptom kebimbangan yang lebih tinggi pada usia 13 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg