Para penyelidik di Singapura akan memulakan kajian 15 bulan untuk memantau kesan tumpahan minyak pada 14 Jun ke atas biodiversiti di kawasan pasang surut.
Rancangan itu diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee pada bengkel sains marin yang diadakan di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 8 Oktober.
Sebahagian daripada usaha pemantauan termasuk pengumpulan sampel sedimen dari zon-zon pasang surut di kawasan pantai yang terjejas akibat tumpahan minyak, kata Dr Tan Koh Siang, zamil penyelidik utama di Institut Sains Marin Tropika NUS (TMSI).
Dr Tan adalah sebahagian daripada pasukan penyelidik yang bertanggungjawab atas usaha pemantauan pascatumpahan minyak, yang akan turut merangkumi saintis dari Lembaga Taman Negara (NParks), TMSI, Makmal Laut Nasional Pulau St John dan Institut Pendidikan Nasional, lapor The Straits Times (ST).
Para penyelidik akan memantau tapak yang terjejas, termasuk Taman East Coast, Hutan Simpanan Labrador dan Sentosa, serta pantai yang tidak terjejas secara langsung oleh tumpahan minyak, termasuk pantai Changi dan Pulau Coney atau dikenali sebagai Pulau Serangoon, tambah NParks.
Dr Tan menjelaskan bahawa tumpahan minyak boleh menjejas dan membunuh organisma dan membunuh kerana bahan kimia berbahaya daripada minyak mungkin dilepaskan pada kadar yang banyak.
Rancangan pemantauan pascatumpahan minyak diumumkan selepas kapal Belanda, Vox Maxima melanggar kapal bunker Marine Honor di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun.
Kemalangan itu menyebabkan 400 tan minyak bocor ke laut.
Minyak itu dibawa arus ke kawasan yang kaya dengan biodiversiti di sepanjang pantai selatan Singapura pada keesokan harinya, dengan tompokan minyak dilaporkan di beberapa kawasan di Singapura, termasuk Sentosa, Hutan Simpanan Labrador, Kepulauan Selatan, Marina South Pier dan Taman East Coast.
Dr Jani Tanzil, pengarah kemudahan Makmal Marin Nasional Pulau St John, berkata pasukan penyelidik perlu memantau kesan jangka panjang daripada tumpahan minyak dan juga melihat potensi kesan pada alam sekitar.
Pasukan penyelidik boleh memanfaatkan usaha penyelidikan dan pemantauan marin sedia ada seperti Rangkaian Penderiaan Persekitaran Marin (MESN).
Ia adalah satu projek yang bertujuan untuk menubuhkan tiga penyelidikan menggunakan pelampung yang boleh menyampaikan maklumat tentang keadaan air laut Singapura, termasuk suhu, kemasinan, tahap keasidan dan nutrien.
Pada masa ini, hanya satu pelampung digunakan di luar Pulau St John atau dikenali sebagai Pulau Sekijang Bendera.
Dalam beberapa bulan akan datang, dua lagi pelampung akan dipasang,” kata Dr Tanzil.
Data yang dikumpul semasa fasa awal ini akan dinilai sebelum pasukan mencadangkan langkah-langkah mitigasi dan pemulihan untuk melindungi dan memulihkan kawasan biodiversiti yang penting di Singapura.
Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan untuk membantu usaha pemantauan ini boleh melayari laman web NParks untuk maklumat lanjut melalui pautan berikut: https://www.nparks.gov.sg/biodiversity/community-in-nature-initiative/intertidal-watch
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg