Terdapat andaian bahawa selesema burung, atau ‘avian influenza’, dijangkiti manusia melalui hubungan rapat tanpa perlindungan dengan unggas yang telah dijangkiti atau persekitaran yang tercemar.
Namun, satu kajian baru telah menemui satu lagi laluan potensi penularan jangkitan kepada manusia.
Menurut kajian itu, kemusnahan habitat melalui aktiviti seperti penebangan hutan di kawasan pesisir pantai, boleh membawa burung hijrah lebih dekat kepada komuniti manusia, dan memudahkan penyebaran penyakit antara burung liar dan manusia.
Kajian yang telah diterbitkan dalam jurnal saintifik, Nature Communications pada 17 Oktober itu dijalankan oleh para penyelidik dari Institut Sains Pandemik di Universiti Oxford, Pusat Penyelidikan Perubatan dan Kesihatan Borneo di Universiti Malaysia Sabah, dan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock (SSHSPH) di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Kajian sampel darah sebanyak 2,000 individu yang tinggal di kawasan utara Sabah di Borneo Malaysia, mendapati pemilik unggas – seperti ayam, itik – dan pemilik bukan unggas, kededuanya mempunyai antibodi kepada selesema burung H5.
Disokong dengan analisis statistik, kajian itu tidak menjumpai sebarang kaitan antara risiko pendedahan kepada H5 dan hubungan manusia dengan unggas.
Kehadiran antibodi di dalam tubuh, menunjukkan bahawa individu itu pernah terdedah kepada sesuatu penyakit – walaupun tanpa mengalami sebarang gejala, dan antibodi itu boleh digunakan untuk memahami sesuatu penyakit dengan lebih mendalam.
Antibodi yang ditemui dalam peserta kajian bertindak balas terhadap strain virus H5 yang khususnya ditemui dalam burung liar, meskipun kawasan tersebut tidak pernah melaporkan sebarang kes flu H5 di kalangan manusia.
Para penyelidik juga mendapati peserta kajian yang mempunyai antibodi ini tinggal berhampiran habitat burung hijrah pantai (migratory shorebirds), lapor The Straits Times (ST).
Selesema burung berlaku secara semula jadi di kalangan burung liar, seperti itik, angsa, dan burung pantai, dan boleh merebak ke unggas yang diternak secara domestik – melalui hubungan langsung atau dengan menyentuh permukaan yang tercemar.
Burung yang dijangkiti boleh melepaskan virus melalui sisa najis, dan titisan dari hidung atau mulut.
Virus itu jarang dijangkiti manusia dan tiada bukti penularan dari manusia ke manusia.
Borneo terletak di Laluan Penerbangan Timur Asia-Australasia, di mana burung hijrah, termasuk spesies burung kedidi (sandpipers, redshanks), bergerak ke selatan antara Ogos dan Mac.
Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami bagaimana manusia mungkin terdedah kepada virus ini melalui burung hijrah di pesisir pantai.
Namun begitu, para penyelidik menyatakan bahawa kajian tersebut menekankan keperluan untuk lebih banyak pemantauan dilakukan di tapak-tapak penghijrahan burung.
Penyelidik di Institut Sains Pandemik, Cik Hannah Klim, berkata kajian itu menyerlahkan laluan penularan virus H5 yang kurang dikaji.
Profesor Madya Kimberly Fornace dari SSHSPH NUS menyatakan bahawa andaian unggas sebagai penyebab utama selesema burung perlu diubah, kerana risiko limpahan penyakit dari haiwan kepada manusia mungkin meningkat dengan pembangunan dan perubahan penggunaan tanah, yang mendekatkan manusia dengan hidupan liar.
Antara 1973 hingga 2015, separuh hutan di Borneo telah musnah akibat industri pertanian, mengancam habitat bakau yang penting untuk burung hijrah.
Penebangan hutan, ditambah dengan perubahan iklim, dipercayai meningkatkan risiko penyakit zoonosis seperti selesema burung.
Justeru, Dr. Fornace menggesa lebih banyak penyelidikan dilakukan untuk memahami bagaimana perubahan ini mempengaruhi penularan penyakit.
Beliau juga memberi amaran bahawa pemusnahan hidupan liar akan mengganggu ekosistem dan meningkatkan risiko penyakit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg