Hampir separuh belia warga Singapura berusia antara 15 tahun dengan 21 tahun ‘gunakan telefon bijak secara bermasalah’, menurut satu kajian baru yang turut mencadangkan kelakuan sedemikian ada kaitan dengan kesihatan mental lebih buruk.
Penyelidik dari Institut Kesihatan Mental (IMH) yang melaksanakan kajian itu berkata penggunaan telefon bijak bermasalah merujuk kepada masa yang diluangkan seseorang untuk menggunakan telefon bijak dan kebergantungan terhadap alat tersebut.
Ia juga mengambil kira masalah yang timbul.
Ini termasuk sama ada pengguna berasa kurang sabar atau tidak tentu arah apabila terpisah daripada telefon bijak dan sentiasa berfikir mengenai telefon bijak masing-masing.
Masalah yang disebabkan penggunaan telefon bijak termasuk rasa sakit di bahagian pergelangan tangan, di bahagian belakang leher atau apabila seseorang tidak pergi ke pejabat atau gagal memberi tumpuan dalam kelas kerana menggunakan telefon bijak.
Kajian itu, yang dihasil dengan menggunakan dana Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan, mendapati individu yang terjejas, berbanding dengan individu yang tidak mengalami penggunaan telefon bijak bermasalah, tiga kali lebih cenderung menunjukkan tanda-tanda kemurungan kadar sederhana atau keterlaluan, sifat kebimbangan dan bermasalah tidur.
Ini adalah kajian seluruh negara pertama yang bertujuan meninjau penggunaan telefon bijak bermasalah dalam kalangan warga Singapura berusia antara 15 tahun dengan 65 tahun, dan kaitannya dengan isu-isu kesihatan mental.
Kajian itu mendapati 46.4 peratus daripada warga Singapura berusia antara 15 tahun dengan 21 tahun gunakan telefon bijak secara bermasalah.
Sekitar satu pertiga, atau 30.2 peratus warga Singapura berusia antara 15 tahun dengan 65 tahun menunjukkan masalah yang serupa.
Penyelidik berkata walaupun individu lebih muda lebih berkemungkinan mengalami masalah ini, dapatan kajian itu tidak menghairankan.
“Orang dewasa lebih berusia biasanya menguruskan emosi dalam beberapa cara lain, seperti melakukan kegiatan fizikal atau berhubung secara langsung dengan orang lain, berbanding belia yang biasanya akan menggunakan telefon bijak,” kata ketua kajian, Dr Mythily Subramaniam, yang juga penolong pengerusi Lembaga Perubatan IMH untuk penyelidikan.
Beliau berkata belia lebih bergantung pada telefon bijak untuk tujuan kegiatan sosial dan secara umum kurang kawalan diri.
Data yang digunakan dalam kajian ini diperoleh daripada kajian kependudukan lebih besar, iaitu Kajian Kesihatan dan Gaya Hidup yang bertujuan mendapatkan maklumat mengenai ketagihan dalam kalangan penduduk di Singapura.
Kajian itu melibatkan 6,509 peserta dalam tempoh 15 bulan, dari April 2021 hingga Julai 2022.
Kajian yang dilakukan IMH pula melibatkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan julat usia lebih luas.
Dr Mythily berkata dapatan kajian memberi pemahaman mengenai keadaan kesihatan mental yang dialami pengguna menggunakan telefon bijak secara bermasalah.
“Dengan kajian ini, jika ada orang muda menunjukkan keadaan kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan masalah tidur, pengamal (perubatan) boleh memeriksa sama ada ia berhubung kait dengan penggunaan telefon bijak bermasalah dan mencadangkan cara-cara untuk menanganinya,” kata beliau.
“Bilangan masalah kesihatan mental dalam kalangan belia telah bertambah sejak telefon bijak diperkenalkan,” kata Dr Mythily.
“Ia memudahkan akses. Internet kini berada dalam saku anda.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg